Tuesday, December 12, 2017

Pengikat kasih antara jiwa

Orang kata, laut selalu bergelora. Begitulah hati abang saat ini. Abang berada di lautan, membawa hati yang penuh kerinduan ini lari sebentar dari rawan yang sudah mula berperang dalam hati. Detik ini abang rasakan sungguh berat sekali. Abang menjangkakan perpisahan sesuatu yang mudah dan dapat di lalui dengan tenang. Sebenarnya tidak. Hati abang semakin rindu, rindu pada seorang perempuan yang kini diam-diam mendiami penjuru hati paling dalam, dalam diri abang. Hara, perpisahan ini sungguh membuat abang resah tak berpenghujung. 

Abang ke Pulau Perak, sempadan antara Malaysia, Indonesia dan Thailand. Pulau ini adalah syurga bagi kaki pancing. Abang datang ke sini sekadar ingin mententeramkan jiwa. Abang langsung tak berniat untuk memancing kerana sejak kecil, ini adalah antara aktiviti yang paling tidak abang gemari. Malangnya, Huda sangat suka memancing. Bagi memenuhi hasrat Huda yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan lepas, dia menagih janji - kerana itu abang ke sini, bagi menunaikan janji. Huda kelihatan begitu riang sekali.

Selain melukis, Huda sangat suka memancing. Ya, kegemarannya unik sekali. Kata Huda, memancing mendatangkan kepuasan - sama seperti melihat hasil lukisan. Sudah beberapa kali dia merengek minta di bawa ke laut untuk memancing. Cuma sahaja abang malas turun ke samudera kerana Umar sering membantah - kata Umar, kulit mukanya cepat gelap bila berpanas-panas di tengah lautan! “Kalau Kakak nak ikan, kita beli di pasar. Kan senang”. Begitulah perbualan mereka adik-beradik bila bercakap soal laut. Tentu sahaja Umar tidak suka memancing, dia suka bermain golf.

Setelah membuat sedikit bacaan, abang dapati 10 hingga 12 haribulan adalah hari paling baik untuk turun ke laut. 10 haribulan di anggap sebagai “air penghulu” bagi kaki pancing kerana laut ketika ini mengalami “air besar fasa kedua”. Lautan tidak bergelombang, arus pula tidak begitu deras dan kelajuan angin dalam keadaan sempurna untuk aktiviti perairan. Huda memasang tali tangsi dengan cekap sekali sedang abang masih terkial-kial. Umar tak mahu menyentuh pancing kerana takut akan mata kail yang katanya selalu ada sumpahan. 

Hara tahu apa yang sedang bermain di fikiran abang? Hara. Tentu sahaja Hara. Abang sebenarnya menyimpan hasrat di dalam hati ingin bawa Hara menaiki sampan berdua-dua di tengah lautan melihat bintang. Bukan sahaja melihat bintang, tentu sahaja lebih dari itu. Membayangkan saja sudah cukup membahagiakan. Sampai saatnya nanti, abang benar-benar ingin bawa Hara melihat seluruh langit malam di tengah lautan. Mungkin kita akan makan malam bersama-sama sambil melihat bulan di antara kepulan awan. Ada sesuatu yang bahagia ingin abang lakukan di sini.

Abang yakin hati Hara sudah boleh meramal keinginan seorang lelaki. Mungkin saja saat menulis ini abang terbuai dengan lembut bayu di tengah lautan. Kerinduan yang kian mendalam, hasrat hati yang terpendam. Setiap hari abang menjadi penanda setia di kalendar, menghitung hari Hara akan pulang ke pangkuan abang. Dalam diam-diam abang berjanji bahawa kita tak akan terpisah lagi. Perpisahan selalu menduga kesetiaan, sering membuat kita tak keruan. Moga jarak yang tercipta antara kita menjadi ramuan pengikat kasih antara jiwa. Moga kita tidak tewas di uji jarak dan masa.



Rasa nak terkam,
Abang





Pulau Perak
3.55 pagi, 10 Disember 2017

Monday, December 04, 2017

Sepetang bersama Hara

Selesai sahaja urusan pembelian syarikat bas ekspres yang hampir bankrap, saya bawa Hara keluar minum petang. Pada mulanya saya bercadang ke Common Man Coffee Roasters yang terletak di Taman Tun Dr. Ismail ataupun Plan B di Mid Valley. Kafe-kafe ini mempunyai kelas yang tersendiri. Sayangnya kerana tidak memiliki sijil halal daripada Jakim. Kafe ini bersifat pork-free tapi di percayai masih menjual minum keras kepada pelanggan.

Itulah masalah sebenarnya berada di Malaysia. Begitu banyak makanan yang di sajikan tidak memiliki sijil halal. Saya begitu terkilan sekali kerana minum pagi bersama Hara di Lexis Hibiscus Port Dickson, minggu lepas setelah di beritahu rakan bahawa Jakim telah menarik balik sijil halal yang telah di keluarkan. Sememangnya ia suatu yang mendukacitakan kerana saya sangat berhati-hati memilih makanan dan tempat menjamu selera. 

Saya begitu cerewet tentang hal makanan. Saya hanya makan makanan yang biasa saya makan. Saya jarang sekali mencuba makanan baru baik yang diperkenalkan rakan terapat, adik-beradik mahupun anak-anak. Ketika sedang kembara sekalipun, saya jarang sekali mencuba local food seperti pengembara lain. Mungkin kerana sudah terbiasa, makanan saya hanya rutin yang bergilir mengikut jadual setiap hari. Segala-gala dalam hidup saya berjadual termasuklah pemakanan.

Menurut Makcik Siti, sayalah lelaki yang paling mudah di jaga perutnya. Makanan saya perlu berkuah kerana itu adalah kebiasaan saya sejak kecil. Perihal nasi pula, saya suka nasi panas. Lauknya perlu di masak tanpa menggunakan cili (walau sekecil cili padi). Perut saya sangat manja. Pedas sedikit sahaja sudah cukup menyebabkan saya berulang ke tandang berkali-kali dan hal ini selalu menjadi jenaka dan bahan ketawa keluarga saya.

Minuman pula, saya sangat suka minum kopi pekat tanpa di campur susu mahupun gula. Setiap hari saya minum sekurang-kurangnya 2 cawan kopi. Jika sedang menyiapkan kerja, sekurang-kurangnya saya akan minum 6 cawan kopi. Saya memang pengemar kopi sejak remaja. Mungkin kerana kecintaan yang tinggi terhadap kopi, saya membeli coffee machine dan letakkan di rumah. Saya hanya minum kopi. Perut saya tak menyukai Nescafe dan Milo.

Petang tadi, Hara minum hot cocoa bersama raspberry cream cheese cake. Kami minum petang sambil bermain catur. Hari Khamis, jam 11.00 malam Hara akan menaiki pesawat ke Amerika. Tentu saja saya akan merinduinya. Selepas dia pergi nanti, saya kembali sendirian tanpa teman bermain catur. Dia selalu membantu saya menyelesaikan teka silang kata yang sengaja gagal saya lengkapkan. Saya begitu senang berada di sampingnya. Pastinya detik ini akan selalu saya rindui.

“Kenapa tengok Hara macam tu?”
“Sedap, manis, lemak berkrim hmmm”
“Hish abang ni”
“Hahaha abang cakap pasal kopi. Hara fikir apa?”
“Eleh abang tu”
“Hara tak ada nanti sunyilah abang. Tak ada member minum petang”
(diam)
“Hara, pandang sini”
“Tak naklah. Abang bukan handsome pun”
“Pandanglah”
(pejam mata)
“Mujur je. Mujur je belum nikah. Kalau tak kena dah”
“Kena apa je”
“Cium hahaha”
“Eeee gatal!”
“Hahahahaha”

Sunday, December 03, 2017

Yang terindah dalam hidupku adalah kamu



Hari ini saya turunkan sebahagian lagi buku-buku perubatan dari rak. Dari kaca mata anak-anak, perbuatan saya seperti ingin melupakan kisah silam yang terlalu lama membelenggu hidup saya. Mungkin sahaja mereka sedih melihat buku-buku ini diturunkan dari rak dan di masukkan ke dalam kotak. Bagi mereka, ini adalah petanda “Daddy tak mahu lagi melihat “Mama” berada di dalam rumah”. Buku-buku ini adalah lebihan dari buku-buku perubatan yang telah saya turunkan dari rak beberapa bulan lepas. Saya menurunkannya tanpa ada sebarang alasan; bukan kerana menyakitkan mata atau berasa sayu.

Saya tidak lagi selesa melihat buku ini di rak lantas saya ambil keputusan untuk menurunkannya. Tidak banyak buku, cuma ada beberapa Medical Dictionary, Glosari Perubatan Umum, buku-buku berkaikan kanser dan hadiah sempena hari lahir yang tak sempat saya berikan padanya; The Canon of Medicine karya Ibnu Sina. Buku itu saya dakap lama-lama. Tertulis di halaman pertama, “Selamat Hari Lahir Sayang. Yang terindah dalam hidupku adalah kamu”. Saya tak berikan hadiah ini kerana saat itu dia sudahpun berikan hatinya pada lelaki lain yang lebih berwibawa berbanding saya. 

Air mata tetap juga membasahi mata sungguhpun tahun depan sudah memasuki tahun ke empat kami berpisah. Tiga tahun berpisah bukanlah terlalu lama sedang saya membaja cinta sejak di usia muda. Perpisahan tidak pernah menyenangkan sesiapapun. Perpisahan selalu membuat kita sedih dan tak keruan. Saya ingin lari sejauh mungkin dari ceritera silam. Saya mahu berlari tanpa henti, tanpa menoleh lagi. Saya kira derita berpisah tidak pernah habis. Saya masih terkenangkannya; selalu; setiap hari. Tak ada satu pun yang saya lupa tentang dirinya; sifat nakalnya, kerenah manjanya, juga senyuman manisnya.

Semuanya tak pernah luput dari ingatan. Kadang-kadang bila saya melihat jam menginjak ke angka 5 petang, saya tahu dia dalam perjalanan pulang dari tempat kerja. Bila jarum menunjukkan angka 7, saya tahu dia sedang dalam perjalanan ke tempat kerja. Rutinnya, saya hafal setiap hari. Saya tahu kadang-kadang dia juga mengingati saya; mungkin setiap hari; mungkin setiap waktu. Mungkin, ingatan tentang saya membuat matanya kabur kerana air mata - mungkin. Kami agaknya terlalu mencintai hingga tak mahu berenggang. Kami agaknya sudah sebati hingga tak mampu di pisahkan lagi. 

Hingga satu masa pernah Hara katakan pada saya “Kalau abang tak mampu, lepaskan Hara. Abang sudah cukup lama menderita. Hidup dengan kenangan masih membahagiakan, kan abang? Hara tak akan berjuang untuk tempat di hati abang. Hara tak akan menang dan Hara tak akan merebut tempat dia dalam hati abang. Kalau abang perlu berjujur, jujurlah dengan diri abang. Jangan memaksa perasaan”. Begitulah kata-kata Hara ketika kami sama-sama mencicip kopi panas di Renaissance Hotel tidak lama dulu. Dalam nada yang cukup tenang, Hara matang memilih kata-kata. 

Semua buku perubatan telah saya masukkan ke dalam kotak kecuali karya agung Ibnu Sina. Buku ini kembali saya dakap dengan erat. Ia adalah mahar cinta saya buatnya. Cinta luhur yang mengalir dalam seluruh jiwa saya. Cinta yang tak ternilai harganya. Saya balut buku ini dengan kain baldu berwarna biru dan letakkan di dalam laci. Saya selalu mahu berterima kasih padanya atas segala kenangan yang penah di rasai bersama. Kecil tapi bermakna seperti kata pujangga “And even if you’re not here to stay, I’m happy the universe allowed your soul to stop by”.


If I could turn back the clock
I'd make sure the light defeated the dark
I'd spend every hour, of every day
Keeping you safe

And I'd climb every mountain
And swim every ocean
Just to be with you
And fix what I've broken


You Are The Reason
Calum Scott

Friday, December 01, 2017

Happy moment


Yes, we're engaged!
Dec 01, 2017