Monday, December 11, 2017

Pengikat kasih antara jiwa

Orang kata, laut selalu bergelora. Begitulah hati abang saat ini. Abang berada di lautan, membawa hati yang penuh kerinduan ini lari sebentar dari rawan yang sudah mula berperang dalam hati. Detik ini abang rasakan sungguh berat sekali. Abang menjangkakan perpisahan sesuatu yang mudah dan dapat di lalui dengan tenang. Sebenarnya tidak. Hati abang semakin rindu, rindu pada seorang perempuan yang kini diam-diam mendiami penjuru hati paling dalam, dalam diri abang. Hara, perpisahan ini sungguh membuat abang resah tak berpenghujung. 

Abang ke Pulau Perak, sempadan antara Malaysia, Indonesia dan Thailand. Pulau ini adalah syurga bagi kaki pancing. Abang datang ke sini sekadar ingin mententeramkan jiwa. Abang langsung tak berniat untuk memancing kerana sejak kecil, ini adalah antara aktiviti yang paling tidak abang gemari. Malangnya, Huda sangat suka memancing. Bagi memenuhi hasrat Huda yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan lepas, dia menagih janji - kerana itu abang ke sini, bagi menunaikan janji. Huda kelihatan begitu riang sekali.

Selain melukis, Huda sangat suka memancing. Ya, kegemarannya unik sekali. Kata Huda, memancing mendatangkan kepuasan - sama seperti melihat hasil lukisan. Sudah beberapa kali dia merengek minta di bawa ke laut untuk memancing. Cuma sahaja abang malas turun ke samudera kerana Umar sering membantah - kata Umar, kulit mukanya cepat gelap bila berpanas-panas di tengah lautan! “Kalau Kakak nak ikan, kita beli di pasar. Kan senang”. Begitulah perbualan mereka adik-beradik bila bercakap soal laut. Tentu sahaja Umar tidak suka memancing, dia suka bermain golf.

Setelah membuat sedikit bacaan, abang dapati 10 hingga 12 haribulan adalah hari paling baik untuk turun ke laut. 10 haribulan di anggap sebagai “air penghulu” bagi kaki pancing kerana laut ketika ini mengalami “air besar fasa kedua”. Lautan tidak bergelombang, arus pula tidak begitu deras dan kelajuan angin dalam keadaan sempurna untuk aktiviti perairan. Huda memasang tali tangsi dengan cekap sekali sedang abang masih terkial-kial. Umar tak mahu menyentuh pancing kerana takut akan mata kail yang katanya selalu ada sumpahan. 

Hara tahu apa yang sedang bermain di fikiran abang? Hara. Tentu sahaja Hara. Abang sebenarnya menyimpan hasrat di dalam hati ingin bawa Hara menaiki sampan berdua-dua di tengah lautan melihat bintang. Bukan sahaja melihat bintang, tentu sahaja lebih dari itu. Membayangkan saja sudah cukup membahagiakan. Sampai saatnya nanti, abang benar-benar ingin bawa Hara melihat seluruh langit malam di tengah lautan. Mungkin kita akan makan malam bersama-sama sambil melihat bulan di antara kepulan awan. Ada sesuatu yang bahagia ingin abang lakukan di sini.

Abang yakin hati Hara sudah boleh meramal keinginan seorang lelaki. Mungkin saja saat menulis ini abang terbuai dengan lembut bayu di tengah lautan. Kerinduan yang kian mendalam, hasrat hati yang terpendam. Setiap hari abang menjadi penanda setia di kalendar, menghitung hari Hara akan pulang ke pangkuan abang. Dalam diam-diam abang berjanji bahawa kita tak akan terpisah lagi. Perpisahan selalu menduga kesetiaan, sering membuat kita tak keruan. Moga jarak yang tercipta antara kita menjadi ramuan pengikat kasih antara jiwa. Moga kita tidak tewas di uji jarak dan masa.



Rasa nak terkam,
Abang





Pulau Perak
3.55 pagi, 10 Disember 2017