Abang kehilangan kata-kata untuk menulis. Mungkin kerana lelah mengharungi sungai ini sepanjang hari. Abang berada di Sungai Mekong, sungai ke 12 terpanjang di dunia. Abang menyewa sebuah boat house menyusuri sungai yang selalu meniti bibir pengembara yang cintakan khazanah alam. Tidak seperti di Pulau Perak yang penuh gelora, Sungai Mekong lebih tenang arusnya. Angin bertiup lembut. Perlahan-lahan fikiran abang melayang mengenangkan Hara. Apa yang Hara sedang lakukan di saat ini? Abang sedang mencicip kopi panas sambil membaca terjemahan al-Quran.
Abang membaca Surah Faathir ayat ke 12 yang berbunyi “Kedua laut itu tidaklah sama. Yang ini tawar, segar, dan boleh di minum dan yang lain asin lagi pahit. Dan dari (masing-masing lautan) itu kamu dapat memakan daging yang segar (ikan-ikan), dan kamu dapat mengeluarkan perhiasan yang kamu pakai (mutiara), dan di sana kamu melihat kapal-kapal berlayar membelah laut agar kamu dapat mencari kurnia-Nya, mudah-mudahan kamu berterima kasih kepada-Nya”. Sungai Mekong dan Pulau Perak; sungai dan laut, tawar dan masin. Semuanya jelas tertulis cantik di lembaran al-Quran.
Malam di Sungai Mekong tidak begitu sunyi seperti di Pulau Perak. Kelapangan yang ada abang gunakan untuk membaca puisi karangan Latiff Mohidin berjudul Sungai Mekong. Puisi ini di angkat memenangi Hadiah Satera 1973. Memang sengaja abang bawa karya Latiff Mohidin ke sini. Abang mahu menikmatinya seperti mana abang menikmati Laut Tak Biru di Seberang Takir tulisan T. Alias Taib ketika abang menyusuri alunan ombak di Seberang Takir tidak lama dulu. Sungguhpun abang selesa berada di laut, abang tidaklah begitu mencintainya seperti Arena Wati yang selalu menjadikan laut sebagai latar belakang penulisannya.
_
Abang tak mahu balik ke KL. KL sunyi tanpa Hara. Segalanya hambar. Kopi yang abang cicip di waktu pagi terasa pahit sekali. Hidup abang hilang seri, tidak lagi berwarna-warni. Salah abang juga kerana merasakan perpisahan sementara antara kita sesuatu yang mudah untuk abang lalui walhal sebenarnya tidak. Perpisahan dalam apa juga bentuk sekalipun tidak pernah mudah. Abang berharap masa berputar dengan pantas. Abang mahu Hara kembali ke pangkuan abang secepat mungkin. Barangkali abang hampir sasau seperti Qais yang merindui Laila. Cinta selalu membuat manusia menjadi gila.
Hara bertanya tentang SOAS. Abang belum ada perancangan buat masa ini. Kesibukan mengikuti HarvardX sudah cukup membuat abang sibuk sepanjang hari. Abang sedang mengikuti kuliah Environmental Studies, Energy and Earth Sciences, dan Food and Nutrition. Semesta ini abang hanya ambil 5 subjek berbanding 4 subjek pada semesta lepas. Abang mendapat jemputan menyertai projek pembangunan tenaga dan persekitaran. Atas sebab itu abang ambil keputusan untuk meneroka ilmu melalui kuliah atas talian yang banyak di sediakan hari ini yang sesetengahnya adalah percuma.
Sampai di sini dahulu untuk kali ini. Abang akan menulis lagi di masa nanti. Abang doakan yang baik-baik saja buat Hara. Perpisahan selalu membuat kita cemas, seringkali mencipta duka di wajah kita. Tapi ingatlah bahawa jarak bukan apa-apa bila hati saling bertaut. Jarak malah membuat kita lebih bahagia bila saling merindu. Seperti yang selalu abang katakan, rindu di kala berjauhan lebih manis. Usahlah Hara gusar, seperti tertulis dalam Surah Faathir ayat ke 4 “Dan kepada Allah di kembalikan semua urusan”. Begitulah abang berharap agar impian tak kunjung padam ini di makbulkan Tuhan.
Lelaki yang mengikat hatimu,
Imran
Sungai Mekong,
13 Disember 2017, 9.50 malam