Sunday, May 28, 2017

Hal-hal baik akan tumbuh

Lampu di tutup tepat jam 10.00 malam. Di wad ini tak ada nurse. Pelatih perempuan tak di benarkan bertugas di wad lelaki kerana wad ini bahaya. Hampir 89% pesakit mengidap schizophrenia dan semua orang tahu betapa bahayanya penyakit ini.

Di sini, malamnya tidak dapat tidur dengan tenang. Seringkali terdengar suara orang menangis, menjerit dan meraung. Terjaga jam 2.20 pagi bila terdengar suara orang meracau dari katil sebelah. Setelah di beri dos thioridazine, dia kembali tenang.

Tak dapat di bohongi, wad ini seram dan terdapat gangguan. Semalam bunyi kanak-kanak ketawa. Tadi pula bunyi guli melantun ke lantai. Di bilik mandi ternampak bayang tanpa kepala. Suasana di dalam hutan tidak seseram ini.

Hari ini minta izin dari staf untuk solat tarawih 20 rakaat bersama 3 witir. Perlu maklumkan pada staf kerana sebelum tidur perlu (wajib) makan ubat. Bila makan ubat selalunya cepat mengantuk. Tak mampu buat apa-apa kerja. Hendak membaca pun tak mampu buka mata.

Rugi rasanya kalau tak solat tarawih. Dari dulu tak pernah tinggal. Selesai solat tarawih rasa gembira di hati, rasa sedikit tenang sebelum terdengar suara orang meracau dengan kuat. Lepas makan 2 keping roti dan minum teh serta makan ubat mata mulai mengantuk.

. . .

Dia gugurkan dedaun kuning
dari hatimu,
agar daun-daun hijau segar dapat tumbuh di tempatnya
Dia cabut akar-akar busuk,
agar akar-akar baru
yang bersembunyi di bawah
akan tumbuh di tempat apa pun.
Yang kesedihan gugurkan dari hatimu,
hal-hal yang jauh lebih baik akan lahir di situ.


(Jalaluddin Rumi)

Saturday, May 27, 2017

ECT

Menjalani rawatan electroconvulsive therapy atau lebih di kenali sebagai electroshock therapy. Rawatan yang paling di takuti kebanyakan pesakit mental.

Siyam

Penderitaan menurut Jalaluddin Rumi adalah hadiah. Di dalamnya tersembunyi kasih. Menurutnya lagi, Tuhan meletakkan kita dalam kesulitan supaya kita bersangka baik padanya. Apa yang menyakitimu, memberkatimu.

Anak-anak gusar. Mereka tamat sesi persekolahan antara jam 1.00 tengah hari hingga 2.00 petang. Perjalanan dari rumah kira-kira 310 kilometer dengan kelajuan minimum 120km/j, sampailah mereka di hospital dalam tempoh dua jam.

Tahun ini kali pertama berpuasa tanpa anak-anak; sahur dan berbuka tanpa mereka. Belum apa-apa, Huda sudah mengalirkan air mata mengenangkan tak dapat iftar bersama-sama selama dua minggu. Setelah di pujuk barulah berhenti menangis.

Waktu melawat adalah terhad. Isnin hingga Jumaat dari jam 9.00 pagi hingga 7.00 petang kecuali Selasa jam 6.00 petang. Hari Sabtu dan Ahad pesakit tidak menerima pelawat. Waktu yang singkat untuk anak-anak datang melawat.

.

Lamalah sudah aku menunggu
Menunggu gelora beriak tenang
Menanti angin bertiup reda
Mengharap langit berbintang terang
Supaya perahu menepi pantai

Lamalah sudah aku rindu
Rindu duka bertukar girang
Mengharap senyum bertukar berang
Supaya bersama di alam permai

Tetapi ya Illahi Tuhan Semesta
Bukan rindu makin menjelma
Hanyalah gelombang meninggi gunung
Hanyalah mega bertambah suram

Hanyalah taufan makin membadai
Hanya badan bertambah sansai
Sehingga durja makin muram
Seperti luka di bubuhi asam

Yang demikian ya Illahi Tuhan Rabbana
Bukanlah hamba berputus asa
Terus mendoakan kepada-Mu sahaja
Supaya cita lekas menjelma


(Rindu...Majlis, 1936)

Friday, May 26, 2017

Lunatic

Admitted for two weeks in a psychiatric hospital or better known as a mental hospital.