Friday, May 26, 2017

Siyam

Penderitaan menurut Jalaluddin Rumi adalah hadiah. Di dalamnya tersembunyi kasih. Menurutnya lagi, Tuhan meletakkan kita dalam kesulitan supaya kita bersangka baik padanya. Apa yang menyakitimu, memberkatimu.

Anak-anak gusar. Mereka tamat sesi persekolahan antara jam 1.00 tengah hari hingga 2.00 petang. Perjalanan dari rumah kira-kira 310 kilometer dengan kelajuan minimum 120km/j, sampailah mereka di hospital dalam tempoh dua jam.

Tahun ini kali pertama berpuasa tanpa anak-anak; sahur dan berbuka tanpa mereka. Belum apa-apa, Huda sudah mengalirkan air mata mengenangkan tak dapat iftar bersama-sama selama dua minggu. Setelah di pujuk barulah berhenti menangis.

Waktu melawat adalah terhad. Isnin hingga Jumaat dari jam 9.00 pagi hingga 7.00 petang kecuali Selasa jam 6.00 petang. Hari Sabtu dan Ahad pesakit tidak menerima pelawat. Waktu yang singkat untuk anak-anak datang melawat.

.

Lamalah sudah aku menunggu
Menunggu gelora beriak tenang
Menanti angin bertiup reda
Mengharap langit berbintang terang
Supaya perahu menepi pantai

Lamalah sudah aku rindu
Rindu duka bertukar girang
Mengharap senyum bertukar berang
Supaya bersama di alam permai

Tetapi ya Illahi Tuhan Semesta
Bukan rindu makin menjelma
Hanyalah gelombang meninggi gunung
Hanyalah mega bertambah suram

Hanyalah taufan makin membadai
Hanya badan bertambah sansai
Sehingga durja makin muram
Seperti luka di bubuhi asam

Yang demikian ya Illahi Tuhan Rabbana
Bukanlah hamba berputus asa
Terus mendoakan kepada-Mu sahaja
Supaya cita lekas menjelma


(Rindu...Majlis, 1936)