Wednesday, August 15, 2012

[2]

1
Kena jumpa psikiatri. Kemungkinan selepas raya perlu ambil rawatan susulan. Saya mengidap Post Traumatic Stress Disorder (PTSD). 


2
'Kekasih' abang saya bersalin lagi. Anak kedua. Nama bayi  di beri  hampir-hampir dengan nama abang saya atau lebih tepatnya nama yang pernah abang saya idam-idamkan bila dia ada anak nanti.

Kebetulan yang sukar di terima.

Siapalah wartawan yang tak berlesen yang beritahu hal ini kepada Ocio. Tak perlu pun saya rasa. Cukuplah, biarlah Ocio hidup bahagia.


3
Aiman datang dan akan bincang tentang Adam. Bila Aiman dapat kerja mustahil dia dapat jaga Adam. Dan mustahil kita akan biarkan Aiman hantar Adam kembali ke rumah kebajikan.

Kalau kita jaga Adam macam mana?


4
Umar merajuk sebab Huda pasang lagu Najwa Latif feat Sleeq.


5
Saya sayang awak. Tolong jangan jatuh cinta dengan jejaka Scottish sebab saya lebih kacak, macho, handsome lagi bergaya.

Jaga diri sayang.

xoxo

Tuesday, August 14, 2012

Kegembiraan yang di kongsi akan menjadi berlipat ganda

Pagi tadi Umar telah serahkan hasil jualan bazar kepada pihak yang mengutip derma untuk bantu kaum Rohingya dan beberapa buah rumah anak yatim. Gerai kami telah di tutup secara rasminya menjelang minggu ketiga Ramadhan.

Minggu ketiga Ramadhan lebih sesuai di gunakan untuk meraikan Ramadhan. Tambahan pula tidak lama selepas itu adalah malam Lailatulqadar. Selepas habis jualan di gerai, Umar menjual biskut raya. Saya pun tak pasti dari mana dia dapatkan stok biskut raya. Sedar-sedar ada lori hantar berkotak-kotak biskut ke rumah.

Semuanya habis malah ada tempahan yang tak dapat di penuhi kerana stok yang di ambil kali kedua juga sudah habis. Umar memang pandai berniaga. Huda agak malu-malu sedikit bila berdepan dengan orang ramai. Lagipun, Huda perlu siapkan tempahan untuk satu majlis yang akan di adakan pada bulan September. Tempahan berbentuk kraf.

Semuanya sudah di selesaikan. Rasanya selepas ini saya mungkin tak beri keizinan untuk Huda mengambil sebarang tempahan kerana separuh dari masanya di gunakan untuk menyiapkan tempahan dan saya kasihan melihat dia yang keletihan.

Selepas beberapa hari tanpa aktiviti kemasyarakatan, hari ini Umar cadangkan satu aktiviti yang sudah lama saya tinggalkan - menyediakan menu sahur untuk di berikan kepada orang yang kurang mampu sekitar Ipoh. Aktiviti ini hanya di buat suka-suka sahaja. Lagipun tinggal beberapa hari lagi menjelang hari raya.

Aktiviti memasak dan memberikan kepada geladangan merupakan antara aktiviti kegemaran saya dan adik-beradik yang lain. Aktiviti ini sama seperti apa yang di buat oleh skuad Food Not Bomb. Saya rasa gembira kerana dapat beramal serba sedikit. Berkongsi sedikit rezeki dengan orang lain. Sebenarnya kita bukan sahaja berkongsi rezeki tetapi kebahagiaan dan kegembiraan.

Kegembiraan yang di kongsi akan menjadi berlipat ganda - John Ray

[1]

1
Saya dapati ada sebuah novel berjaya membuat mata saya mengantuk lalu tidur dengan lena. Wah! Saya suka novel ini (sebab membantu saya tidur). Semalam dan tengah hari tadi saya tidur dengan nyenyaknya.


2
Umar main bunga api. Pertama kali dalam hidup! Dan dia sangat happy!

Daddy: Mana Umar dapat bunga api?
Umar: Adik beli dari pasal[r]an t[g]elap.
Daddy: Amboi! Dahsyatnya!
Umar: *muka bangga*


3
Kakak pasang lagu Kaka feat Zizan. Umar merajuk! Akhirnya...ada juga lagu lain selain suara Maher Zain.

Umar: Kakak buli adik.
Daddy: Kakak buat apa?
Umar: Kakak tak pasang lagu Maher Zain.
Daddy: Okey apa. Daddy pun suka.
Umar: [S]Temua o[r]lang buli adik. Adik nak ngadu dekat mama.
Daddy: *gelak suka*

Sunday, August 12, 2012

Pinjaman dari Tuhan

Segala-galanya Tuhan pinjamkan buat kita. Dari harta benda, ibu bapa, anak-anak, kawan-kawan dan segalanya – pinjaman dari Tuhan buat kita. Kehilangan orang-orang yang kita sayang bukan mudah untuk di tempuh. Mengambil masa untuk sembuh.

Masalah kita ialah kita tak sedar segala-gala ialah pinjaman dari Tuhan. Kita selalu fikir bahawa mereka ialah hak mutlak kita. Sebenarnya tanpa kita sedari kita menafikan bahawa segala harta benda dan orang-orang yang kita sayang itu milik Tuhan.

Tuhan pinjamkan kita tubuh yang sihat. Tapi Tuhan juga boleh ambil kembali kesenangan yang Dia beri. Kadang-kadang Tuhan cuma tarik nikmat yang Dia beri buat sementara waktu kerana Dia mahu menguji kita.

Nilai kita telah banyak berubah. Kita lebih sayangkan harta benda dari ibu bapa. Kita lebih kisahkan kerja dari anak-anak. Kita kejarkan kesenangan lantas mengorbankan nilai kasih sayang. Masa kita terlalu berharga untuk insan-insan yang berada di sekeliling mereka. Tanpa kita sedar mereka telah tiada.

Kita tidak akan pernah bersedia untuk kehilangan insan-insan ini. Perpisahan sesuatu yang amat memeritkan. Kesedihannya sukar di gambarkan dengan kata-kata. Kerana kita tak bersedia maka kita lalai dalam menghargai mereka dan Tuhan tak akan berikan kita notis bila kita akan kehilangan orang-orang yang DIA pinjamkan buat kita. 

Saya tak punya ibu ayah untuk saya salam dan kucup tangan mereka di pagi raya. Moga-moga orang yang masih punya insan yang istimewa dan agung ini menghargai mereka sebaiknya. Mereka adalah anugerah yang Tuhan pinjamkan buat kita.

Lantas kerana kesibukan kita tak punya banyak masa buat mereka. Gunakanlah masa yang ada sebaik-baiknya supaya di hujungnya nanti kita tidak sekali-kali menyesal kerana mengabaikan pinjaman dari Tuhan ini.

Awak, pinjaman Tuhan terhebat buat saya.