Saturday, August 11, 2012

Pinjaman dari Tuhan

Segala-galanya Tuhan pinjamkan buat kita. Dari harta benda, ibu bapa, anak-anak, kawan-kawan dan segalanya – pinjaman dari Tuhan buat kita. Kehilangan orang-orang yang kita sayang bukan mudah untuk di tempuh. Mengambil masa untuk sembuh.

Masalah kita ialah kita tak sedar segala-gala ialah pinjaman dari Tuhan. Kita selalu fikir bahawa mereka ialah hak mutlak kita. Sebenarnya tanpa kita sedari kita menafikan bahawa segala harta benda dan orang-orang yang kita sayang itu milik Tuhan.

Tuhan pinjamkan kita tubuh yang sihat. Tapi Tuhan juga boleh ambil kembali kesenangan yang Dia beri. Kadang-kadang Tuhan cuma tarik nikmat yang Dia beri buat sementara waktu kerana Dia mahu menguji kita.

Nilai kita telah banyak berubah. Kita lebih sayangkan harta benda dari ibu bapa. Kita lebih kisahkan kerja dari anak-anak. Kita kejarkan kesenangan lantas mengorbankan nilai kasih sayang. Masa kita terlalu berharga untuk insan-insan yang berada di sekeliling mereka. Tanpa kita sedar mereka telah tiada.

Kita tidak akan pernah bersedia untuk kehilangan insan-insan ini. Perpisahan sesuatu yang amat memeritkan. Kesedihannya sukar di gambarkan dengan kata-kata. Kerana kita tak bersedia maka kita lalai dalam menghargai mereka dan Tuhan tak akan berikan kita notis bila kita akan kehilangan orang-orang yang DIA pinjamkan buat kita. 

Saya tak punya ibu ayah untuk saya salam dan kucup tangan mereka di pagi raya. Moga-moga orang yang masih punya insan yang istimewa dan agung ini menghargai mereka sebaiknya. Mereka adalah anugerah yang Tuhan pinjamkan buat kita.

Lantas kerana kesibukan kita tak punya banyak masa buat mereka. Gunakanlah masa yang ada sebaik-baiknya supaya di hujungnya nanti kita tidak sekali-kali menyesal kerana mengabaikan pinjaman dari Tuhan ini.

Awak, pinjaman Tuhan terhebat buat saya.