Wednesday, August 08, 2012

Merdeka


1.
Saya sedang muat turun 10 Tahun Sebelum Merdeka, sebuah dokumentari Fahmi Reza. Dokumentari ini pernah menjadi kontroversi tidak lama dulu. Perkara yang di bangkitkan oleh Fahmi Reza adalah perkara di luar pengetahuan masyarakat Malaysia iaitu Peristiwa Hartal 1947.

Saya bercadang menyambut kemerdekaan dengan menonton 1957: Hati Malaya karya Suhaimi Baba dan dokumentari menarik 10 Tahun Sebelum Kemerdekaan. Pembikinan dokumentari ini kemas dan teratur. Susunan runut bunyi juga agak baik untuk sebuah dokumentari. 

Filem adalah  cerminan budaya. Filem juga merupakan alat propaganda yang paling mudah untuk membina hegemoni. Melalui 1957: Hati Malaya, propaganda kerajaan di cucuk halus ke minda penonton. Mana-mana pembikin filem pastinya mempunyai  tujuan dan agenda tertentu dalam menghasilkan sebuah karya. 

Saya tidak mendidik anak-anak dengan ideologi tertentu. Saya juga tidak cuba untuk menerapkan ideologi tertentu kepada anak-anak sementelahan kami berdua (saya dan dia) masing-masing mempunyai haluah berbeza. Kami tidak sepakat mengenai politik.

Saya cuba bukakan jalan untuk anak-anak meneroka perkara baru tidak kiralah dari perspektif kiri atau kanan. Tidak semua yang datangnya dari haluan kiri itu bagus dan sebaliknya. Perspektif kita di bentuk oleh alam sekeliling. 

Mungkin ada yang akan cakap budak-budak kecil tidak sepatutnya di dedahkan dengan politik kerana mereka tidak matang. Pada saya, anak-anak tidak kira kecil, besar sepatutnya di beri peluang untuk berfikir sendiri. 

Ibu bapa tidak boleh beranggapan bahawa anak-anak mereka tidak matang dan sukar untuk berfikir secara kendiri. Tanggapan ini salah sekali. Sejak kecillah kita perlu terapkan budaya ilmu supaya mereka terbiasa hingga dewasa.


2.
Sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini amat suram. Tidak banyak kenderaan/rumah yang mengibarkan bendera. Rasanya seperti rakyat Malaysia kehilangan semangat untuk meraikannya. Mungkin juga ramai beranggapan bahawa sambutan ini tidak perlu kerana ‘negara kita tidak pernah di jajah’ oleh mana-mana kolonial.

Ada banyak isu kenegaraan yang masih belum selesai. Ada banyak perkara yang perlu di dedahkan dengan jujur oleh pihak-pihak tertentu. Ada wira-wira yang masih belum terpahat nama mereka dalam kalangan orang yang harus di beri penghargaan. Hal-hal inilah yang memerlukan kajian akademik yang tinggi supaya rakyat Malaysia tahu fakta sebenar.


 3.
Laman sesawang ini di beri nama Cloudfable dan Tribefable, baru di buka. Saya kira laman ini amat baik kerana mempunyai penulis yang berbakat dan berpengetahuan tinggi seperti Fadli al-Akiti dan Wan Nor Azriq. Ada banyak perkara yang boleh di manfaatkan di sini.