Hai Min,
Antara perkara yang paling memilukan bagi seorang anak yatim ialah mereka tidak mempunyai bahan bacaan. Sejak lebih dua dekad yang lalu, aku sentiasa berazam untuk menyediakan sebuah perpustakaan mini di setiap rumah anak yatim. Aku beli buku dari serata dunia untuk dibawa pulang ke perpustakaan yang sedang aku usahakan. Tahun ini aku berpeluang mengunjungi beberapa pesta buku antarabangsa, terutamanya ketika lawatan kerja ke India dan Sri Lanka. Sekarang sedang berlangsungnya Karachi International Book Fair di Pakistan.
Minggu lalu pula berlangsungnya Pune International Literary Festival di Fergusson College, anjuran National Book Trust (NBT). Festival kali ini sangat istimewa kerana menampilkan pemenang Booker Prize, Banu Mushtaq. Nampaknya dunia kesusasteraan India sudah jauh meninggalkan kita. Penulis mereka sudah berjaya mencipta nama dalam anugerah buku yang berprestij sementelahan sastera kita masih berada di takuk lama. Sastera kita tidak banyak yang berubah. Jauh sekali untuk mencipta nama di peringkat tinggi.
Tahun lepas, aku sempat ke Big Bad Wolf di Sunway Piramid pada 19 Disember 2024 ketika menunggu Huda tiba dari Amerika. Aku pergi pada waktu malam. Kelmarin, 4 Januari 2026, BBW telah melabuhkan tirai bagi edisi 2025. Tidak banyak yang aku beli kali ini. Aku hanya fokus kepada box set seperti Harry Potter: The Complete Collection, The Hobbit & The Lord Of The Rings Boxed Set, Deluxe Hunger Games Collection, The Chronicles of Narnia, Anne of Green Gables, dan The Homer Collection: Iliad and Odyssey. Harga penawaran sesuai dengan kualiti karya.
Sejujurnya, aku tak pernah baca semua judul di atas kecuali Iliad and Odyssey - itu pun tidak habis. Pada tahun 2024, aku ke Melaka bersama keluarga makan angin. Ketika inilah aku kenal satu penerbit mandiri bernama Pipit Press yang giat menerbitkan karya terjemahan novelis hebat dunia seperti Dostoyevsky dan Camus. Terjemahan mereka agak baik, walaupun masih ada ruang untuk dipertingkatkan dari segi kualiti penyuntingan. Tahun ini aku mendapat tahu AJM menerbitkan semula karya penulis kegemaran aku — Pendeta Za'ba yang tajam fikrahnya.
Oh, barulah aku tahu bahawa Za'ba pernah menukang terjemahkan karya terkenal William Shakespeare seperti As You Like It, The Tempest, King Lear dan Hamlet. Sudah tentu setiap karya Za'ba wajar dimiliki. Setakat ini aku telah mendapatkan Empat Karangan, Bahasa Melayu: Kelebihannya dan Kekurangannya, serta Kemiskinan Melayu dan Jalan Kepulihannya. Sebelum itu, aku juga telah membeli Perangai Bergantung kepada Diri Sendiri, Mencapai Keluhuran Budi, Mencapai Ketinggian Dunia Akhirat, Asuhan Budi dan Falsafah Takdir.
Catatan tarikh & tempat: Tiada catatan
Disunting sepenuhnya di Urumqi, Xinjiang, China pada 4 Julai 2026, jam 2:26 pagi