Friday, July 03, 2026

Hai Min,

Ada banyak perkara yang ingin aku tuliskan. Surat ini asalnya bertarikh 8 Januari 2025. Aku tak sempat kemas kini, lalu terbiar begitu saja sehingga hari ini — 26 Disember 2025. Masa berlalu begitu pantas, namun ingatanku terhadapnya tidak pernah surut. Aku cuba sembunyikan sebaik mungkin agar tidak mengguris hati isteri yang setia di sisi. Sekembalinya ke Malaysia, aku agak sibuk di rumah anak yatim. Keluar pagi, balik petang. Kemudian bersiap pula ke masjid. Begitulah rutin aku sejak beberapa hari ini — sibuk mengalahkan YB.

Asrama anak yatim telah berpindah ke tempat baharu. Awal tahun lalu, aku membuat beberapa pembaharuan, namun tempat itu masih banyak yang perlu dibaiki. Tidak lama kemudian, pada bulan Februari, Ara memberitahu tentang sebuah bangunan yang ingin dijual. Tempat ini suatu ketika dahulu sangat mahsyur. Ia merupakan dua bangunan tiga tingkat dengan dua blok berasingan serta lif yang masih belum dibaiki. Di sekelilingnya masih terdapat baki tanah yang agak luas. Banyak yang aku rancangkan untuk tempat ini.

Projek pengubahsuaian bermula pada bulan Mei 2025 dan baru sahaja selesai. Projek ini dilaksanakan secara berperingkat. Bangunan ini sebenarnya sudah mempunyai lantai mozek dan kelengkapan asas seperti sofa, almari pakaian, meja makan, katil, tilam serta kemudahan mandi air panas. Bekalan air dan elektrik juga masih ada. Aku hanya gantikan bahagian yang perlu sahaja, seperti siling dan bumbung yang bocor serta ditumbuhi kulat. Kulat bukan sahaja merosakkan bangunan, malah boleh menjejaskan sistem pernafasan.

Sistem paip saliran dan pendawaian elektrik turut dinaik taraf. Bangunan ini juga dicat semula supaya kelihatan lebih cantik dan kemas. Aku memasang kipas siling lapan bilah (Mava Troca). Hasilnya, aliran angin menjadi lembut tetapi tetap kuat, seolah-olah berada di tepi pantai. Perbezaan antara kipas tiga, lima dan lapan bilah bukan terletak pada jumlah angin yang dihasilkan, tetapi pada corak aliran serta keselesaan tiupannya — misalnya, untuk bilik kecil dan panas, kipas tiga bilah lebih sesuai. Setiap pemilihan memerlukan perincian yang teliti dan rapi.

Selain itu, aku turut memasang exhaust fan untuk mengatasi masalah bilik panas. Asrama ini hanya dilengkapi kipas dan tidak mempunyai penghawa dingin. Aku mahu sediakan tempat yang selesa untuk mereka diami. Satu lagi masalah di asrama ini ialah sebahagian penghuni enggan mandi pada waktu pagi kerana kesejukan. Aku sendiri sudah lama berazam untuk memasang pemanas air. Mujurlah di bangunan ini semuanya sudah tersedia. Harapnya, mereka tak lagi takut untuk mandi pada waktu pagi dan lebih bersih setiap kali ke sekolah.

Setiap penghuni ditempatkan mengikut peringkat umur — 2–5 tahun, 6–9 tahun, 10–12 tahun, 13–15 tahun dan 16–17 tahun. Bagi penghuni berusia 10 hingga 17 tahun, setiap bilik dihuni oleh dua orang. Kelengkapan asas tersedia, termasuklah meja belajar dan lampu meja. Tujuannya untuk memudahkan mengulang kaji pada waktu malam jika ada peperiksaan. Penghuni berusia 2 hingga 9 tahun ditempatkan di bilik yang memuatkan empat orang. Bagi kanak-kanak berusia 2 hingga 4 tahun, aku sediakan katil dengan penghadang.

Bangunan ini dibahagikan kepada beberapa bahagian — perpustakaan, surau, kafe internet, kantin, ruang menonton televisyen, dobi, dewan aktiviti, pejabat dan bilik mesyuarat. Di luar pula, terdapat taman permainan, gelanggang badminton / sepak takraw, lapangan memanah serta meja ping pong. Aku turut sediakan kawasan untuk projek penanaman sayur menggunakan polibeg. Sistem perairan menggunakan tadahan air hujan. Hasil pertanian boleh dijual untuk menambah baik fasiliti  atau membiayai program berteraskan pendidikan.


Catatan terakhir: 26 Disember 2025

Disunting sepenuhnya di Urumqi, Xinjiang, China pada 3 Julai 2026, jam 11:45 malam