Hari ini abang ada mesyuarat di KL. Selesai sahaja mesyuarat abang ke Kino. Dulu, setiap hari Selasa adalah hari yang di tunggu-tunggu - kita akan bertemu di sini, berbalas pandangan, bertukar senyuman. Kecintaan kita pada buku membuatkan kita jatuh cinta. Abang berada di Kino sekitar 15 minit sahaja kerana ada mesyuarat lain yang perlu abang hadiri. Hari yang agak memenatkan kerana pasaran saham masih belum pulih setelah jatuh terduduk buat pertama kali dalam sejarah berada di bawah paras 1700. Selesai makan tengah hari, abang ambil keputusan untuk balik ke Penang.
Dalam perjalanan pulang, abang pandu ke pejabat Hara, parkir kereta di tepi, matikan enjin dan merenung tempat kita selalu berbual mesra di hadapan pintu bangunan. Ada ketikanya abang menghantar makanan melalui Don jika Hara bekerja lebih masa. Ada ketikanya abang sendiri yang menghantar makanan untuk Hara dan staf yang lain. Kadang-kadang abang menyamar sebagai penghantar makanan dan Hara gagal mengesan penyamaran abang hinggalah abang berlalu meninggalkan pejabat. Maafkan abang kerana suka menyamar ketika masuk ke pejabat untuk ‘bertemu’ Hara. Ia adalah permainan yang amat mengujakan.
Abang agaknya suka berada di pejabat Hara. Ruang luas yang di penuhi susun atur pelbagai jenis buku serta ribuan fail kes. Ruang peribadi yang Hara miliki ini amat menakjubkan dan sangat memberi inspirasi. Dekorasinya sangat cliché dengan latar kerjaya Hara. Agaknya hampir semua yang berlatar belakangkan pendidikan / kerjaya seperti Hara akan memilih dekorasi seperti ini kerana cetusan citarasa atau ilham yang sama. Itu hanya pandangan abang - boleh jadi tebakan abang tidak begitu tepat dan semuanya hanya kebetulan sahaja. Ruang ini amat selesa dan abang senang berada di dalamnya.
Abang naik ke pejabat Hara sekadar ingin melihat dari jauh seolah-olah Hara berada di dalam ruang peribadi menekuni setiap butiran kes. Abang tersenyum sendiri mengimbau beberapa kenangan manis di sini. Sedang abang termenung, ada seseorang memegang bahu abang dari belakang. Rupanya bakal ayah mertua ada di sini. Ayah Hara mengajak abang masuk ke pejabat Hara. Kami berbual tentang banyak perkara. Lebih kurang 30 minit dia tinggalkan abang kerana perlu menjawab panggilan telefon. Ketika menunggu, abang hampiri rak buku dan membaca sepintas lalu.
Usai minum kopi dengan bakal ayah mertua, abang balik ke Penang. Sampai di rumah, Hara tahu apa yang terjadi? Adam bawa balik musang! Mula-mula dia bawa balik kura-kura - katanya jumpa atas jalan raya (3 ekor), kemudian anak kambing kecil (comel) yang katanya tersesat, Tak lama kemudian dia bawa balik kucing bukan seekor dua tapi 8 ekor anak kucing (bayangkanlah!). Baru-baru ini dia bawa balik 2 ekor monyet yang cedera parah di langgar kereta. Adam bawa ke klinik untuk rawatan lanjut. Monyet semakin sihat dan Adam berhasrat ingin membelanya.
Sampai di sini saja. Jumpa lagi di lain masa.
xoxo