Ketika mengemas bilik bacaan, saya keluarkan dua buah kotak buku yang sengaja dari sorok dari pandangan umum. Saya menyimpannya secara berasingan kerana buku-buku ini berkaitan seks. Kebanyakannya adalah buku kama sutra yang sukar di dapati di Malaysia kerana telah di haramkan. Saya membelinya sebagai koleksi peribadi dan hingga kini masih belum di baca. Secara peribadi, saya kurang minat membaca buku-buku begitu - mungkin kerana saya takut saya tidak dapat mengawal nafsu. Semua orang tahu nafsu seorang lelaki ibarat seekor kuda liar yang sukar di jinakkan.
Makcik Siti memberi saranan dan galakan halus agar saya menjadi lebih terbuka dan bersedia membaca buku-buku yang terdapat dalam kotak tersebut. Katanya, saya harus menyiapkan diri untuk menjadi seorang lelaki yang bakal mengemudi sebuah bahtera. Dia mahu saya menjadi seorang ketua keluarga yang bertanggung jawab, berprinsip, lemah lembut, murah dengan kasih sayang, tegas dalam mendidik dan bersifat pelindung. Katanya, sebagai seorang lelaki dewasa, saya haruslah bersifat lebih terbuka untuk mendalami hal ehwal rumah tangga terutama berkaitan batiniah.
Kebimbangan dan kerisauan yang melanda diri saya sejak akhir-akhir ini dapat di kesan dengan baik oleh Makcik Siti. Tentu sahaja saya tidak dapat menyembunyikan apa-apa dari pengetahuannya kerana dia adalah pengasuh saya sejak saya berusia 2 tahun. Hampir keseluruhan sifat yang ada dalam diri saya dalam pengetahuannya. Dia sangat arif membaca riak dan bahasa tubuh saya. Oleh sebab itu, akhirnya saya membuka mulut dan melepaskan keresahan yang melanda diri saya sejak kebelakangan ini. Hal ini berpunca dari preskripsi SSRI yang di berikan oleh psikiatri.
Salah satu kesan pengambilan SSRI adalah mengurangkan daya seksualiti dan ini akan menjejaskan hubungan seks. Kegagalan seorang lelaki berfungsi sebagai seorang suami menandakan hubungan yang di bina akan berakhir dengan perpisahan. Menurut hukum agama, seorang suami yang gagal berfungsi harus melepaskan isterinya. Mungkin kerana itu Makcik Siti mahu saya bertindak cepat, sekurang-kurangnya untuk mengurangkan risiko yang bakal di hadapi pada masa akan datang. Makcik Siti menyuruh saya mengambil herba tradisional dan mengamalkan beberapa petua lama.
Sebelum Hara berlepas ke AS, saya mengusulkan kepada Hara agar hubungan kami di noktahkan kerana saya tak mahu Hara menderita di kemudian hari. Hara tak mahu berganjak dari keputusan dan mahu pernikahan kami di teruskan seperti yang telah di rancangkan. Kata Hara “Yakinlah dengan Qada dan Qadar yang Allah tetapkan buat kita. Hal zuriat bukan urusan kita. Hara sanggup hidup bersama abang”. Itulah kali pertama saya mendengar dia menangis teresak-esak di telefon. Hara tak mahu lagi saya bangkitkan soal perpisahan dan saya pula serba-salah. Berat benar dugaan ini.
Saya harus mempersiapkan diri dengan semua kemungkinan yang ada. Mungkin juga ada baiknya saranan yang di berikan Makcik Siti. Setelah selesai sarapan saya menyelongkar 2 kotak buku yang sekian lama tersorok di balik rak. Di dalam kotak ini terkandung beberapa kitab lama antara lain Kitab Mengenal Nafkah Batin, Tongkat Nakhoda, Permata Yang Hilang, Risalah Hukum Jima’, Mutiara Taman Wangi (untuk wanita) dan lain-lain. Buku-buku kama sutra memang banyak dalam simpanan kerana saya gemar membeli untuk di hadiahkan pada adik-beradik atau kenalah rapat sebagai hadiah perkahwinan mereka.
Buku terbaru berkaitan seksualiti rumah tangga telah di cetak semula dari karya klasik Imbang Jaya berjudul Rahsia Pengantin Baharu terbitan Klasika Media dengan kerjasama Akademi Jawi Malaysia. Saya beli buku ini dua naskah - senaskah untuk saya dan senaskah lagi untuk di hadiahkan kepada Hara semasa majlis akad nikah kami nanti. Saya akan bergelar suami tidak lama lagi. Dalam keterujaan hidup berdua, saya tetap berasa gemuruh dengan segala perencanaan Tuhan buat saya dan Hara. Hingga saat ini saya masih belum memutuskan destinasi bulan madu kami.