Wednesday, March 07, 2018

Tanub

Malam terasa begitu sepi sekali. Sudah 9 hari Hara hilang tanpa khabar berita. Pagi tadi abang cuba mengumpul seberapa banyak maklumat bermula dari kampus ke perpustakaan ke kedai buku, kafe, restoran dan kawasan sekitar. Nampaknya, usaha mendapatkan maklumat agak sulit memandangkan Hara bukanlah warga tempatan. Tambahan pula Hara kurang bergaul dengan masyarakat sekeliling. Dua minggu lepas Boston di landa ribut serta angin kencang yang mengakibatkan paras air meningkat. Sebahagian bandar Massachusetts di landa bah yang agak dahsyat.

Abang sudah laporkan kehilangan Hara pada pihak berkuasa dan minta hal ini di rahsiakan. Mereka juga sedang giat mengumpul maklumat dan mengerakkan unit-unit tertentu mencari Hara. Hingga saat ini segala usaha daripada pihak abang mahupun pihak berkuasa belum menunjukkan sebarang hasil. Hara, bertahanlah. Teruslah menjadi kuat demi abang, demi masa depan kita bersama. Abang tak mahu kehilangan Hara. Sungguh abang takut kehilangan Hara buat selama-lamanya. Abang masih belum bersedia kehilangan seorang wanita yang memberi sinar dalam hidup abang. 

Usah khuatir. Mei dan Ogos, arnab dari baka Holland Lop yang abang hadiahkan sempena pertunangan kita tempoh hari masih sihat. Hara menjaganya dengan baik sekali. Ketika abang tiba di rumah Hara tempoh hari, palet dalam bekas makanan baru sahaja habis. Cuma kedua-duanya kehausan yang amat. Abang telah bawa arnab Hara ke veterinar untuk menerima rawatan. Doktor kata Mei dan Ogos sihat. Abang telah bersihkan sangkar, tukar saluran air yang tersumbat dan berikan kedua-duanya vitamin. Doktor kata Mei sedang mengandung. Tentu anak Mei comel-comel belaka.

Ketika berbaring di couch, abang terpandang rak buku Hara yang tersusun rapi dengan barisan buku yang kemas mengikut aturan warna kulit buku. Dari jauh, susunan ini nampak cantik, tersusun rapi dan kemas. Jarang sekali abang bertemu dengan pembaca yang menyusun buku mereka mengikut warna pada kulit depan sesebuah buku. Hara agak unik dalam hal ini. Kebanyakkanya buku Hara dalam bidang sains; hampir 90% merangkumi bidang kimia, forensik, histologi, sitologi, patologi, kimia analisis, kimia fizik dan entomologi. Buku-buku genre ini tidak banyak di rak buku abang. Kita agak berbeza.

Abang menjumpai diari Hara yang tersembunyi di dalam laci meja. Ada desakan kuat menyuruh abang menyelak satu per satu halaman bertinta biru namun abang tutup kembali dan menyimpannya di tempat asal. Abang kira, itu hal peribadi yang tak perlu abang tahu. Semalam juga abang buka Facebook Hara dan membaca setiap perkara yang Hara titipkan di dinding Facebook. Hampir semua status melibatkan hal-hal seputar karier yang Hara cintai. Antara catatan yang paling abang sukai tentulah ulasan buku yang telah Hara baca.

Ketika meneliti kertas kerja Hara, abang kehausan. Abang ke dapur mencari kopi. Malangnya tak ada. Hara bukanlah pengemar kafein. Abang bancuh teh kosong tanpa gula. Banyak juga koleksi teh dalam simpanan Hara. Berpinar juga mata saat abang ingin memilih teh yang sesuai untuk di minum di malam hari. Abang terlelap di couch di ruang tamu. Mungkin sahaja kerana kepenatan. Mungkin juga kerana kerinduan yang mendalam. Abang memilih untuk tidur di couch dan bukannya di bilik Hara. Entah kenapa abang rasa tak manis pula abang tidur di katil milik Hara. 

Sehingga berjumpa lagi. 


Lelaki di penjuru hatimu,
Abang