Hari ini menginjak hari ke 5 tanpa sebarang khabar berita daripada Hara. Abang tak mampu lagi bersabar jadi abang ambil keputusan datang ke Boston mencari Hara. Abang telah berjanji pada keluarga Hara untuk bawa Hara pulang ke Malaysia tak kira dalam apa jua keadaan, sama ada Hara masih bernyawa atau sebaliknya. Abang berjanji pada mereka abang akan berusaha sehabis daya mencari Hara.
Abang sayangkan Hara sepenuh hati abang. Jangan tinggalkan abang. Abang tak mahu hidup dalam kesepian yang berpanjangan. Abang mengimpikan untuk hidup bersama Hara, membina impian dan sebuah keluarga yang bahagia. Abang berharap Hara masih teguh dan tak putus semangat. Hara tahu bukan yang abang akan mencari Hara hatta ke hujung pelusuk dunia sekalipun. Hara adalah tanggungjawab abang.
Abang teringat perbualan kita beberapa bulan lepas. Hara berikan abang senarai password; iPhone, Facebook, Instagram dan segala media sosial yang Hara gunakan. Hara kata, kalau terjadi apa-apa di kemudian hari, abang boleh akses media yang Hara gunakan dengan mudah. Hingga saat ini, abang belum terlintas untuk akses semua media peribadi Hara. Mungkin saja nanti apabila abang perlukan apa-apa, abang akan buka satu persatu.
Hati abang begitu gundah sekali saat ini. Abang risaukan Hara. Abang takut sesuatu yang buruk berlaku pada Hara. Sungguh, abang sangat takut kehilangan Hara. Hara adalah cahaya yang menyinari hidup abang. Hara adalah harapan. Hara adalah impian. Hara adalah nyawa dan jiwa abang. Abang mohon agar tidak ada sebarang kecelakaan berlaku pada Hara. Abang berharap agar Tuhan lindungi Hara sebaik-baiknya.
Hara adalah nadi abang. Abang tak mahu nadi abang terhenti saat abang sedang bahagia di buai cinta yang indah bersama Hara. Kita bukan lagi pucuk muda yang sedang bercinta. Kita adalah insan dewasa yang tahu dan kenal maksud cinta yang sebenar-benarnya. Hara mengajar abang tentang banyak perkara. Kata Hara “Tanpa hujan, tidak wujud pelangi. Tanpa ujian, tidak wujud kebahagiaan”
Hara pada mata abang sangat indah. Meliputi segala keindahan dunia. Keindahan itu hilang bila Hara tak bersama abang. Hari-hari yang abang lalui terasa begitu lambat sekali, suram tanpa keceriaan. Hidup abang terasa begitu kosong. Abang baca setiap mesej Hara. Hati abang bertambah rindu. Terlalu banyak perkara yang abang ingin lakukan bersama Hara. Abang mohon jangan tinggalkan abang. Hara, bertahanlah.