Friday, March 09, 2018

“I want to be close to you. Always.”

Abang sedang sarapan pagi - 5 biji telur mentah, segelas susu segar, satu sudu besar madu dan 3 keping roti. Pemandangan hari ini masih sama seperti hari-hari sebelumnya. Hari yang abang lalui di penuhi kesedihan, kesunyian, kesepian dan keseorangan. Abang merindui Hara sedalam-dalamnya. Agaknya, mungkin kerana terlalu memendam perasaan, dada abang terasa terbeban sekali. Hari ini merupakan hari ke 10 Hara hilang tanpa sebarang berita. Bagaimana keadaan Hara hari ini? Abang mahu Hara terus bertahan. Abang akan cari Hara. Abang akan bawa Hara balik. Itu janji abang. 

Semalam, ketika abang mengemas meja kerja Hara, abang terjumpa sekeping gambar - gambar makan malam pertama kita. Saat abang membaca catatan di belakang gambar - “I want to be close to you. Always.” - abang tak dapat menahan sebak. Tak pernah abang rasa sayu begini. Abang menangis semahu-mahunya. Sudah lama abang tak menangis sebegini teruk. Abang menangis hingga tertidur. Abang terjaga kira-kira jam 4 pagi setelah mengalami mimpi ngeri yang agak menakutkan. Beberapa pihak mengatakan harapan menemui Hara semakin tipis tapi abang tetap yakin Hara masih hidup.

Malam ini abang tak tidur di rumah Hara kerana abang akan bergerak ke tempat lain. Melalui beberapa orang kenalan, abang mendapat maklumat baru tentang kebarangkalian keberadaan Hara di situ. Abang akan pergi selama 2 atau 3 hari. Cuaca di sini amat menyukarkan pergerakan abang. Usaha mencari Hara juga sedikit terencat kerana faktor cuaca. Hara bersabarlah. Kuatkan hati. Tenang, usah gusar. Kita akan bertemu dan abang akan mencari Hara dengan usaha yang berlipat kali ganda. Abang berjanji akan mencari Hara. Abang tak akan tinggalkan Hara sendirian melalui semua pengalaman pahit ini. 

Pagi tadi, ketika abang menelefon Umar, kata-katanya sangat memujuk - “Allah sedang menguji cinta daddy”. Dia sedang sibuk dengan kelas bahasa Jerman. Katanya dia mahu menyaingi Hara yang fasih bertutur 7 bahasa. Adam seperti biasa menyibukkan diri dengan aktiviti peribadinya - mengumpul gambar-gambar haiwan untuk di rekodkan. Ketika berbual di telefon, dia beritahu abang tentang spesis ular kapak. Adam kata mengikut kajian yang dia lakukan, ular kapak terdapat 5 jenis iaitu ular kapak bakau, ular kapak bodoh, ular kapak gunung, ular kapak malas, ular kapak tokong dan ular kapak belang.

Janganlah ketawa. Abang sendiri baru tahu terdapat spesis ular kapak yang di kenali sebagai ular kapak bodoh dan ular kapak malas. Kata Adam, nama-nama ular ini di ambil dari rekod rasmi jabatan kerajaan. Adam sememangnya mempunyai hobi yang agak janggal namun abang tak pernah menghalang minatnya asalkan tidak merbahaya. Jika dia tidak menonton siaran National Geographic, dia lebih suka menyusun melodi muzik atau menghabiskan masa berjam-jam lamanya menyunting video. Sekarang dia lebih gemar merakam pergerakan haiwan berbanding manusia. 

Huda seperti biasa masih menumpukan perhatian pada lukisan. Baru-baru ini lukisan Huda terjual RM 5 ribu ringgit. Abang sendiri yang menghantar lukisan tersebut pada pembeli. Suku dari hasil jualan lukisan digunakan untuk membeli peralatan melukis. Separuh lagi di dermakan pada badan amal dan sebahagiannya seperti biasa digunakan untuk belanja Umar dan Adam. Kali ini Huda belanja mereka makan sushi. Sudah menjadi rutin, setiap kali dia menjual lukisan pasti dia berbagi kebahagiaan bersama adik-adiknya. Huda sedang menyiapkan tempahan baru iaitu lukisan harimau, permintaan seorang peminat seni.

Sehingga bertemu lagi, sayang.



Lelaki yang merindui
harum baumu,
Imran