Monday, October 23, 2017

Visiting scholar

Ketika usia muda, abang mengejar cinta. Di saat kawan-kawan masih bingung dengan keputusan yang abang ambil, abang tekad pulang ke Malaysia mengejar cinta yang tertunda. Abang, seperti kata Katherine yang sangat marah ketika itu, melepaskan peluang keemasan yang tak akan datang buat kali kedua. Abang tak pernah menyesal melepaskan peluang itu demi cinta. Manusia selalu buta kerana cinta. Manusia selalu menurut kata hati demi cinta. Cinta pada manusia adalah segala-galanya. Walaupun pada akhirnya abang di campak tak ubah seperti sampah, tak pernah sekali pun abang menyesal dengan keputusan yang abang ambil. 

Kita adalah hasil daripada keputusan yang kita ambil. Melalui pilihan-pilihan yang kita saring, inilah diri kita pada hari ini - produk dari pilihan dan keputusan yang pernah kita buat suatu masa dulu. Kita pernah berbual tentang banyak perkara misalnya tentang impian abang di masa hadapan, hal-hal silam yang pernah abang sesalkan, kehidupan ideal yang abang mimpikan. Hara juga seperti abang, punya impian setinggi awan. Mahukah Hara tinggalkan semua impian demi seorang lelaki yang penuh luka seperti abang? Abang sendiri pasti Hara tak pernah bermimpi akan mengahwini seorang lelaki yang penuh parut di tubuh. Berbaloikah Hara tinggalkan semuanya demi abang? 

Abang tahu abang tak banyak habiskan masa bersama Hara. Abang hanya bertemu Hara sekali dalam seminggu. Pertemuan yang singkat; kadang-kadang tak sampai sejam. Abang tahu abang pentingkan kerjaya dan ya mungkin kadang-kala abang mengabaikan dan tidak memberi perhatian kepada Hara. secukupnya. Masakan tidak. “Hara nak pinjam masa abang 15 minit boleh?”. Itu agaknya antara petanda bahawa abang telah mengabaikan Hara kerana terlalu memberi fokus pada kerjaya. Maafkan abang jika Hara terasa abang tak begitu menghargai Hara. Abang bawa Hara ke mana saja, dalam hati abang. Zahir yang tak terucapkan. 

Jam di sini sudah 3.03 pagi dan abang masih berkerja. Abang buka kotak emel. Nah! Ada emel dari Hara. Emel yang pendek tapi sungguh manis sekali. Terima kasih kerana menceriakan hari-hari abang dengan lagu-lagu dan petikan-petikan manis dari buku. Abang sangat menghargainya. Senyuman panjang abang terhenti bila abang buka fail lampiran yang Hara kepilkan bersama emel. Surat tawaran dari universiti terulung di Amerika. Universiti yang sangat di hormati di seluruh dunia. Siapa yang tidak kagum dan gerun bila mendengar Ivy League University? Dan Hara, wanita muda di jemput sebagai visiting scholar di situ. Tak dapat di nafikan, abang agak teruja sebenarnya.

Sebagai seorang lelaki, abang tak pernah merendahkan martabat Hara. Abang sangat kagum dengan Hara. Menamatkan ijazah kedoktoran pada usia 29 tahun di Ivy League University sudah cukup membanggakan apatah lagi di jemput sebagai profesor pelawat di situ. Dengan penuh kecintaan pada ilmu, abang mahu Hara pergi. Pergilah Hara. Perpisahan sementara, jarak antara benua, masa yang berbeza, tidak akan pernah mengubah haluan cinta kita. Kita akan terus bercinta hingga menutup usia. Abang mahu Hara ke sana, mengejar impian. Abang tahu Hara tak mahu berpisah dengan abang, tapi abang sangat berharap agar Hara terima dengan penuh kesyukuran di hati.. 

Dua atau tiga bulan yang lepas abang ambil keputusan untuk berpindah ke Kanada hujung tahun ini. tanpa sebarang sebab yang spesifik. Abang ingin berpindah mungkin sahaja kerana abang tak selesa tinggal terlalu lama di satu-satu tempat. Abang suka suasana baru dengan demografi yang berbeza. Abang mahu menetap di sana selama setahun. Awal 2019, abang bercadang ingin tinggal di India. Abang tak ada sebarang projek pembangunan di Kanada mahupun di India, abang hanya mahu bertukar angin seperti kata Harun Yahya “I always wonder why birds choose to stay in the same place when they can fly anywhere on the earth, then I ask myself the same question.”


Frankfurt, Germany
9.50 malam, 13 Oktober 2019