Friday, October 27, 2017

Janji temu

Beberapa minggu kebelakangan ini, saya sangat sibuk dan jarang bersua muka dengan Hara. Berbalas pesanan, berbual di telefon juga semakin kurang. Kerja selalu mencuri masa saya dari orang lain. Hari ini, setelah menyelesaikan semua kerja, saya mengajak Hara ke Muzium Kesenian Islam Kuala Lumpur. Biasanya orang berjanji temu di pagawam menonton wayang, saya tidak begitu romantik, jadi saya pilih untuk bawa Hara ke muzium. Selain muzium, tempat janji temu saya bersama Hara ialah cafe dan kedai buku. Kedai buku adalah tempat yang sangat menakjubkan. Kita melihat pasangan kita asyik tenggelam dalam buku-buku kegilaannya. 

Semalam saya bawa Hara ke Muzium Kesenian Islam Kuala Lumpur. Muzium yang sangat cantik. Pertama kali saya ke muzium ini bersama anak-anak. Ini adalah kunjungan kali pertama Hara ke sini. Dan, kali inilah janji temu saya bersama Hara paling lama sekali. Kami menghabiskan sekurang-kurangnya 4 jam di sini - menikmati keindahan kesenian Islam. Mungkin kerana saya dan Hara datang dari latar belakang berbeza malah tidak memiliki kelayakan seni atau seni bina jadi pengamatan kami tidaklah mencapai tahap amatur. Saya amat tertarik dan sungguh kagum dengan Galeri Senibina dan Galeri Quran dan Manuskrip yang berada di tingkat pertama. 

Sedang Hara terbuai dalam dunianya sendiri apabila berada di Galeri Syiling di tingkat dua. Hara, perempuan pengumpul syiling purba begitu lama merenung, meneliti, mencatat segala butiran yang ada di galeri ini. Dia sungguh taksub dan takjub! Hara kemudian bercerita tentang sejarah syiling yang ada dalam simpanannya. Dari situlah saya mendapat tahu bahawa Hara mewarisi syiling purba dari arwah moyangnya yang baru sahaja meninggal dunia dua tahun lepas. Tidaklah menghairankan jika koleksi syiling yang Hara miliki kini amat istimewa dan tidak ternilai harganya. Syiling purba banyak pemburunya terutama di pasaran gelap. 

Muzium Kesenian Islam Kuala Lumpur mempunyai sebuah perpustakaan yang di namakan The Scholar’s Library. Perpustakaan yang menempatkan hampir 16 000 koleksi buku, monograf, jurnal, majalah kesenian, himpunan foto dan banyak lagi. Banyak juga buku langka di perpustakaan ini antaranya Malay Sketches oleh Sir Frank Althelstane Swettenham yang di terbitkan pada tahun 1913. Buku ini telah di terbitkan semula dan di jual di Silverfish Books dengan harga mampu milik. Koleksi lain yang bernilai ialah Plans, Elevations, Sections and Details of the Alhambra oleh Pascual de Gayangos yang di terbitkan pada tahun 1842.  

Saya kemudiannya membeli beberapa buah buku terbitan Muzium Kesenian Islam sebagai hadiah buat anak-anak, tanda kenangan buat Hara dan diri sendiri. Antara buku yang saya beli ialah Between Eden & Earth: Gardens of the Islamic World, Rhythm & Verses: Masterpieces of Persian Calligraphy, Islamic Bookbinding, Mosques of the United States of America: The Dar Al Islam Mosque and Complex In Abiquiu, New Mexico, Dala’il al-Khayrat: Prayer Manuscripts From The 16th To 19th Centuries, The Timeline of Islamic Civilisations: Featuring the collection of the Islamic Arts Museum Malaysia, Malay Manuscripts: An Introduction, dan Divine Inspiration – Seven Principles of Islamic Architecture.

Acara yang sedang berlangsung di Muzium Kesenian Islam ialah Islamic Bookbinding Exhibition yang juga di kenali sebagai Pameran Seni Jilid Islam yang bermula dari 8 Mei hingga 31 Disember 2017. Pameran ini mempamerkan pelbagai jenis artifak dunia pembukuan yang meliputi hampir keseluruhan dunia Islam. Artifak yang dipamerkan telah dikumpulkan dan diberi nama Islamic Bookbinding. Kompilasi ini di jual dengan harga RM145 dengan potongan sebanyak 20% ketika pameran masih berlangsung. Bersesuaian dengan namanya, pameran ini memberi fokus kepada teknik dan bahan yang digunakan untuk menjalankan proses penjilidan buku.



Bukit Antarabangsa
11.30 malam, 26 Oktober 2017