Saturday, May 20, 2017

Permata jiwa

Abang di Cherating. Cadangnya nak bawa anak-anak ke Taman Negara Bako, Kuching tapi memandangkan cuma ada 3 hari untuk have fun, rasanya tak berbaloi. Jadi abang bawa anak-anak ke sini. Cherating tak ramai pengunjung seperti dulu. Umar ajak ke Redang tapi abang tak mahu. Pulau Redang terlalu ramai orang. Huda ajak ke Pulau Perhentian. Abang tak nak pergi sebab kali terakhir awak ke Pulau Perhentian kita sedang perang dingin, kita bergaduh. Awak pergi scuba tanpa beritahu abang. Mungkin awak sudah lupa. Tak apa, kisah lama.

Cherating tidak sibuk seperti dahulu. Pelancong tak ramai. Suasana tak lagi seperti dulu. Agaknya, Cherating juga seperti kita. Banyak perubahan yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Abang bawa anak-anak pusing pulau dengan bot. Kemudian bawa menyelam. Abang menyelam dengan Huda. Kalau awak ada, tentu lebih seronok. Umar belum dapat lesen scuba. Tahun depan baru cukup umur. Dia dan Adam, abang bawa pergi snorkeling. Bila semua sudah dapat lesen scuba, bolehlah pergi menyelam sama-sama. 

Seperti Cherating yang sunyi tanpa pengunjung, begitulah hidup abang sunyi tanpa awak. Awak mungkin sudah lama lupakan abang. Awak mungkin sudah jauh tinggalkan abang. Awak barangkali sedang menikmati detik-detik bahagia dengan insan tersayang. Tak, abang tak cemburu jauh sekali berdendam. Abang tentu sekali ingin awak bahagia. Kegembiraan awak satu kebahagiaan buat abang walaupun kita tak lagi berkongsi apa-apa. Abang tahu cerita kita sudah sampai pada noktah paling akhir dan abang sendiri tak berharap apa-apa.

Abang cuma mahu pulihkan diri. Dari 15 Mei yang lepas, selama empat hari abang menjalani rawatan psikiatri di wad mental. Abang tak sangka abang memerlukan rawatan psikiatri akibat putus kasih. Doktor kata abang mengalami depression di tahap kritikal dan memerlukan banyak rawatan susulan untuk pulih. Abang tak ada pilihan selain mengikuti jadual yang di berikan. Tahun lepas 5 minggu abang di masukkan ke wad. Tahun ini tak tahulah berapa lama. Mungkin lebih lama dari tahun lepas. Abang tak mahu jadi gila. Abang nak pulih seperti biasa.

Kehilangan awak meragut hampir keseluruhan hidup abang. Abang tak salahkan awak. Salah abang, abang tak hargai awak sebaiknya. Bila muncul orang lain, awak mudah terpaut hati. Cerita itu, walau kadang-kadang masih datang mengetuk memori, cuba abang singkirkan. Abang tak mahu di belenggu kisah lama. Kalau boleh abang mahu hidup seperti orang lain. Abang betul-betul mahukan sebuah kehidupan yang lebih baik dari sekarang. Abang tetap akan melawan sehabis daya untuk kembali menjalani hidup yang abang mahukan. 

Anak-anak sudah tidur. Agaknya terlalu penat. Cherating tak sediakan banyak aktiviti. Ketika di Tumpat tempoh hari, abang bawa anak-anak ke gelanggang sambung ayam. Ketika salah seekor ayam terkena taji dan berdarah, Huda menangis ketakutan. Agaknya, dia terlalu terkejut dan tak biasa. Saat ayam yang terkena taji itu berdarah dah jatuh, abang bayangkan itulah abang - di taji oleh lelaki lain dan jatuh, rebah, tersungku,r berdarah, dan tak mampu bangun semula. Abang kalah di gelanggang kasih. Satu kekalahan yang tak pernah abang jangkakan.

Abang juga bawa anak-anak melihat perlawanan tomoi (haram). Abang sebenarnya berminat hendak masuk satu pusingan tapi bila mengenangkan Huda akan melihat darah, lebam dan segala jenis permainan kotor, abang pendamkan saja. Mungkin lain kali. Ramai orang datang melihat pertandingan tomoi. Kebiasaannya untuk meletak wang pertaruhan. Abang sengaja bawa anak-anak melihat dunia lain. Dunia yang tak biasa mereka saksikan. Pengalaman sekali seumur hidup. Abang sedikit ralat kerana tak dapat menyaksikan upacara Main Puteri. Mungkin tak sesuai kerana abang bawa anak-anak. 

Abang berkira-kira dalam hujung tahun ini atau awal tahun depan ke Everest Base Camp. Abang nak daki Gunung Everest. Yuran pendakian kira-kira RM 48,000 untuk seorang pendaki. Dulu kita janji nak pergi mendaki sama-sama. Bulan November ini jika tiada aral abang akan daki Gunung Kinabalu. Kalau semuanya berjalan lancar dan tiada halangan sampailah abang di puncak gunung kesayangan orang Sabah. Sementara abang mendaki, anak-anak bercadang ke Tunku Abdul Rahman National Park dan Muzium Negeri Sabah. Selepas raya nanti abang akan ke Kundasang, Ranau, Pulau Gaya dan Semporna. 

.

“.. but life would move on. I wanted that, to move on, to forget, to start with a clean slate. I wanted to be able to breathe again.”

― Khaled Hosseini




Cherating, Pahang
11.09 pm