Abang di Janda Baik, Pahang. Treehouse dan kabin di Ipoh telah abang jual pertengahan Mac yang lepas. Abang ambil keputusan untuk pindah ke Bukit Tunku. Sengaja abang berpindah tanpa apa-apa sebab; sekadar untuk menukar angin dengan harapan segala rusuh di hati akan hilang. Huda masih bersekolah di Semenyih tapi tak lagi tinggal di asrama. Atas pilihan sendiri, Umar mengikuti aliran agama berkurikulumkan British. Adam pula mengikuti sekolah yang menggunakan kurikulum Jepun.
Hampir dua bulan di Kenny Hills. Semuanya berjalan dengan baik. Setiap pagi abang hantar anak-anak ke sekolah. Kalau tiada kerja, abang ambil mereka dari sekolah. Huda balik jam 2 petang. Kadang-kadang jam 3. Umar balik pukul 1. Adam habis kelas pukul 12 tengah hari. Adam cakap dia suka sekolah di sekolah aliran Jepun. Sekolah Adam kecil, tak banyak prasarana. Mungkin kerana tak ramai murid. Kelas Adam cuma 11 orang. Guru-gurunya semua datang dari Jepun.
Jumaat hingga Ahad biasanya abang bawa anak-anak keluar dari KL. Hujung bulan April ke Kota Kinabalu, sebelumnya, semasa mereka cuti semesta selama 17 hari abang bawa anak-anak ke Morocco. Morocco sangat cantik; menjelajahinya seminggu masih belum puas rasanya. Selesai berjalan di Morocco, abang bawa anak-anak mengikuti tour menaiki kereta api mengelilingi Switzerland selama 5 hari 4 malam. Swiss sangat cantik.
Minggu lepas abang bawa anak-anak ke Kota Bahru. Anak-anak tak pernah sampai ke Kelantan. Di Kota Bahru ketika itu berlangsung Klate Folk Arts Festival (Festival Kelate Kito). Banyak juga acara yang dipersembahkan - mak yong, wayang kulit, menora dan rebana ubi. Agak lama sebenarnya abang tak menonton acara tradisional. Lepas juga rindu menonton wayang kulit. Abang beli Sri Rama dan Sita Dewi sebagai buah tangan. Esoknya pula abang ke Dataran Pantai Geting untuk melihat pertunjukan wau.
_
Abang bina sebuah glass house yang menyamai konsep deck house di Janda Baik. Rumah ini siap ketika kita berpisah. Konsep glass house sangat popular di Janda Baik. Abang tak terketinggalan membina sebuah rumah dengan konsep yang hampir sama untuk keluarga kita. Tujuan asal abang bina rumah ini untuk awak - sebagai getaway dari penat bekerja di wad. Hujung minggu atau bila-bila saja kita boleh datang ke sini melepaskan lelah dan mengeratkan hubungan yang mungkin ada cacat-cela di mana-mana.
Hari ini abang jejakkan kaki di sini tanpa awak. Tak mengapa. Abang tahu awak selalu ada dengan abang cuma kita masing-masing tak mahu memulakan langkah, tak mahu menambah luka, tak mahu menjadi lebih sengsara. Glass house kita tak nampak dari jalan raya. Abang bina di dalam hutan dan agak terpencil sifatnya. Sifat yang sukar di buang - sejak di US hinggalah ke Ipoh membawa ke Janda Baik (suka benar nampaknya abang membuat rumah di dalam hutan). Malam di sini sejuk. Abang mencicip kopi berseorangan.
Jam sudah 2.30 pagi. Abang mengantuk. Memandu dari KL tidaklah jauh. Dengan kelajuan melebihi 220km/j, pemanduan menjadi lebih singkat. Abang suka ke Pahang. Lebuh rayanya besar dan mempunyai banyak lorong. Abang boleh memandu dengan laju dan paling penting tiada kesesakkan lalu lintas. Biasanya kalau abang ingin hangat enjin kereta, abang ke sini. Boleh di katakan semua pemandu yang suka memandu laju hangat enjin kereta mereka di sini. KL sudah terlalu padat. Jangan mimpi hendak memandu seperti di litar.
Abang agaknya akan merindui awak sampai bila-bila. Awak yang manis, yang tak pernah gagal buat hati abang terhibur. Kita tak sehaluan dalam banyak perkara; hampir semua perkara, tapi ketidaksehaluan kita yang selalu abang rindui. Sejak awak tak ada, abang tak lagi dapat second opinion walaupun yang awak hujahkan kadang-kadang ekstrim, abang selalu takjub dengan awak cuma abang tak selalu, jarang sekali tunjukkannya. Setiap hari abang jatuh cinta dengan awak, sungguhpun kisah kita sudah tamat sejak tiga tahun lepas.
_
I wrote your name in my heart and forever it will stay.
— Rumi
Janda Baik, Pahang
2.50am