Syukur Alhamdulillah. Bila “mendapat berita” orang yang kita sayang akan berkahwin dan kita berjaya untuk tidak menangis walau pada awalnya emosi sedikit terganggu dan air mata hampir menitik. Harapnya dapat mengawal momentum emosi agar menjadi lebih baik dan positif untuk hari-hari mendatang. Kita tak ada pilihan kecuali cuba sedaya upaya untuk keluar dari zon rusuh.
Kita harus meraikan fasa baru dalam hidup orang yang kita sayangi. Kita harus sedar bahawa hidup ini berjalan terus dan tidak menunggu. Hidup ini tidak pernah menunggu sesiapa. Masa terus berjalan dan ia tidak harus di isi dengan kesedihan yang berpanjangan seperti kata Indah Hanaco “Hidup tidak pernah menunggu orang yang berlama-lama dengan kesedihannya”.
_
Saya perlu belajar dari Boiling Frog Syndrome. Saya barangkali harus bangkit dan sedar bahawa nikmat yang Tuhan berikan pada saya amat banyak. Selain di berikan nikmat kesihatan setelah hampir 6 tahun bertarung dengan kanser dan penyakit lain, saya sembuh dan mampu menjalani hidup seperti sediakala. Nikmat kesihatan adalah antara nikmat Tuhan yang paling besar.
Saya terbelenggu terlalu lama mengenangkan kehilangan insan yang amat saya sayangi. Perginya dia dari hidup saya umpama hilang separuh dari nyawa. Saya terkapar-kapar, tak mampu bernafas dengan sendiri seperti kata John Keats dalam suratnya kepada Fanny Brawne “My love is selfish. I cannot breathe without you”. Saya hilang punca. Setiap hari saya menangis dan kesihatan saya semakin terjejas.
Pagi ini saya bangun dengan senyuman. Saya berlari sejauh 30 kilometer bukan lagi untuk lari dari apa-apa tapi untuk melihat keindahan alam. Dulu, saya hampir buta kerana sel kanser yang cepat merebak. Mata adalah indera yang amat berharga. Tanpanya kita tidak mampu melihat apa-apa. Dunia menjadi gelap-gelita. Tuhan Maha Mengasihani. Dia pulangkan semula indera ini kepada saya.
Mungkin kerana saya mempunyai trauma yang agak teruk ketika menjadi penyelam profesional satu masa dulu, saya selalu jauhkan diri dari air. Lewat kebelakangan ini, mungkin kerana desakan anak-anak, saya ikutkan juga ragam mereka - turun ke laut untuk menyelam. Petang tadi saya kira saya sudah selesa dengan air apabila saya habiskan 10 lap di kolam renang tanpa rasa gelisah.
Seperti kata mereka, semua yang berlaku ada hikmahnya. Saya tidak lagi berdendam atau mempunyai rasa cemburu yang keterlaluan. Kata orang, jodoh yang Tuhan hantarkan lebih baik daripada pilihan kita sendiri. Itulah yang saya fikirkan sekarang bila tiba angin rindu datang menyapa. Saya berharap dia lebih bahagia, gembira dan maju kehadapan. Kebahagiaan itu, dia layak menerimanya.
Life has knocked me down a few times. Its shown me things I never wanted to see. I've experienced sadness and failures. One thing is certain, I always get up! - Anonymous