1.
Seingat saya, kita
mula rapat bila awak lahirkan rasa tak puas hati pada suatu malam. Ayah ugut
untuk tarik balik perbelanjaan pengajian atas sebab awak keluar malam. Ayah tak
benarkan awak keluar malam atas alasan awak perempuan (walaupun untuk apa
tujuan sekalipun). Alasan yang paling berbulu awak dengar. Gender bias kata awak.
Pada malam itu
kita berbual panjang dan saya hanya menadah telinga mendengar awak membebel marahkan
ayah. Seingat saya, saya tak banyak memberi komen dan kebanyakan komen saya
seperti menyokong ketidakpuasan hati awak. Dan saya benar-benar ikhlas
berkongsi pandangan yang sama dengan awak; bukan sebab nak ambil hati.
Saya rasa lelaki
dan perempuan tak banyak perbezaan kecuali yang telah di tetapkan sejak azali.
Saya tak memandang wanita dengan pandangan yang lemah. Oleh sebab saya lebih banyak
habiskan masa dengan Ummi maka pandangan alam saya terhadap wanita tidak banyak berat sebelah.
2.
Kawan-kawan saya
selalu kata perempuan tak ada harga. Perempuan boleh datang dan pergi. Senang
di cari. Senang di tukar ganti. Perempuan tak ada apa-apa nilai kecuali di
lahirkan untuk seks, melahirkan anak dan menyenangkan kerja di rumah. Saya tak
bersetuju dengan pandangan mereka. Kebanyakan mereka yang berpandangan begini
adalah mereka yang di besarkan oleh seorang ayah.
Saya tak pernah
menyenangi bila perempuan hanya di jadikan bahan lawak, tanda aras kejantanan
dan bahan perjudian. Saya tidak menyenangi bila lelaki tidak tahu menghormati
perempuan. Saya bertambah meluat bila lelaki selalu perasan mereka lebih hebat
dari perempuan.
Kalangan
kawan-kawan saya banyaknya yang begini. Agaknya sebab itulah saya tak banyak
kawan. Saya tak suka lelaki yang tak hormat perempuan sebab saya di ajar lelaki
harus menghormati perempuan; hormati perempuan kerana mereka juga manusia. Dan
saya tak tahu kenapa perempuan selalu di sinonimkan dengan sifat lemah.
3.
Untuk perempuan
besi dalam hidup saya; Selamat Hari Wanita. Terima kasih atas segala kebahagian
yang di berikan setiap hari sungguhpun mata awak tak pernah surut dari air
mata. Saya menyanjung tinggi segala kerja keras yang awak curahkan setiap detik
untuk membahagiakan orang lain.
#SelamatHariWanitaSedunia