Saturday, March 08, 2014

3.22am

Maaf, saya moody beberapa hari lepas.

***

Doktor kata saraf tunjang saya tidak lagi berfungsi. Doktor cuma tidak pasti (memerlukan lebih banyak pemeriksaan lanjut) sama ada saraf tunjang saya rosak sepenuhnya  (complete transaction) atau rosak di bahagian tertentu (incomplete cord injury).

Kecederaan saraf tunjang sepenuhnya bermaksud kehilangan sepenuh kawalan saraf dan deria rasa (sensasi) dan fungsi otot dan organ pada bahagian yang cedera serta ke bawah tahap kecederaan terbabit.

Kecederaan saraf tunjang yang tidak sepenuhnya pula bermaksud saraf tunjang pada bahagian yang tercedera masih berfungsi.

Selain itu, katanya, wujud risiko kedua-dua tangan dan kaki lumpuh jika kecederaan terjadi pada bahagian saraf tunjang servikal (di tengkok).

Jika kecederaan saraf tunjang itu terjadi pada bahagian tulang belakang bawah (lumbar dan thorako-lumbar) ia boleh menyebabkan kedua-dua kaki lumpuh. Kawalan bagi pundi kencing dan anus juga akan mengalami kerosakan.

***

Saya sudah lama lumpuh. Kaki dan tangan sudah tidak berfungsi. Pundi kencing juga begitu. Tak lama lagi fungsi kelakian saya juga akan berakhir.

Sesi di hospital hampir tiga jam. Bila saya dengar saraf tunjang saya sudah tidak lagi berfungsi; saya tak beri perhatian pada butiran lain – saya fikirkan tentang kelakian saya.

Hal ini membuatkan saya sedih, tertekan dan kecewa yang amat sangat. Saya beritahua awak “Saraf tunjang saya rosak”. Saya tak pasti awak memahami maksud sebenar yang ingin saya sampaikan atau tidak.

Dan selepas itu saya bercakap tentang hal yang tak ingin awak dengar, hal yang tak mahu kita bincangkan, hal yang terlalu pahit untuk di bualkan.