1.
- 7.30 pagi – 10.00 malam
- 7.30 pagi – 3. 00 petang, (masuk semula) 9.00 malam – 3.00 petang (keesokannya)
- Sekali seminggu off
Posting baru dengan jadual kerja
baru. Saya faham awak kepenatan yang amat. Posting lama dapat dua hari off.
Posting baru cuma dapat sehari off. Saya harap awak tabahkan hati, banyakkan
bersabar, kurangkan merungut dan jangan fikir untuk berhenti kerja tahun depan
bila “sudah-dapat-kelayakan-doktor”.
Hari ini kita tak dapat habiskan
banyak masa bersama. Mata saya pedih, muntah dan pengsan sepanjang hari. Saya
harap bila awak off nanti kita dapat “duduk-tanpa-buat-sebarang-perkara”. Saya
rindu nak dengar cerita. Awak sudah lama tak bercerita apa-apa dengan saya.
2.
Saya rindu awak. Kalau di ikutkan
rasa rindu saya tak mahu awak tidur awal. Tapi kalau awak tidur lewat, nanti
tentu penat, esok kena kerja. Dan kerja memerlukan tenaga. Kita masing-masing
kena berkorban waktu. Walaupun saya kisah, saya kena bertolak-ansur.
Saya tak mahu pergi hospital
untuk dua minggu ini. Saya belum bersedia untuk sesi kimoterapi. Saya tak mahu kimoterapi. Kalau tak buat kimoterapi, sakit akan bertambah
tenat. Hidup tak ada banyak pilihan.
Saya risau kalau suatu hari nanti
saya tak ingat awak. Ingatan saya tidak begitu baik. Semakin hari banyak
perkara yang saya lupa. Ada beberapa waktu saya terlupa nama anak kita. Dan
saya menangis teresak-esak seorang diri di dalam bilik ketika awak tak ada.
3.
Cinta suatu yang sangat indah.
Saya tak pasti keindahan yang saya rasa sama seperti awak atau tidak.
Setiap hari saya cuba menulis serangkap puisi – sejak 5 bulan lalu. Tapi saya
gagal hasilkan sebarang puisi. Saya tak mampu menulis puisi agaknya. Kata
- kata telah mati.
Saya akan mati suatu hari nanti.
Tapi cinta saya untuk awak akan terus hidup. Terima kasih kerana hadir dalam
hidup saya, membalas rasa cinta saya dan lebih penting menemani saya
sehari-hari. Kasih dan cinta awak pada saya amat bermakna.
Semoga sampai bila-bila awak
hanya untuk saya.