1.
Kesihatan
semakin merosot. Cuaca mendung. Hari-hari hujan lebat. Hampir setiap malam tak
dapat tidur. Selain sakit kepala dan muntah, badan kekejangan. Harap-harap
Umar, Huda & Adam semakin sabar bila daddy tak dapat dengar dan faham
setiap patah yang di ucapkan atau Huda, Umar & Adam tak dapat faham apa
yang daddy tuturkan. Percakapan daddy semakin tidak teratur. Ada objek yang
daddy tahu tapi tak tahu nak sebut. Semacam hilang.
Terima kasih
sebab tak pernah putus harap.
2.
Berhari-hari
tidak ke pusat komuniti. Tak dapat mengajar. Terlantar di katil. Doktor juga
tak dapat jalankan kimoterapi kerana badan semakin lemah. Badan bertambah lemah
bila tidur tak lena akibat gangguan mimpi-mimpi ngeri. Mimpi yang datang
bertalu-talu. Sungguhpun begitu malam-malam saya amat bahagia bila awak
sentiasa ada dengan saya. Terima kasih kerana menemani saya setiap malam.
Banyak hari awak korbankan waktu tidur. Saya tahu kebelakangan ini awak selalu
menangis. Melihat, mendengar awak menangis membuatkan saya sangat sedih.
Saya sepatutnya
buat awak tersenyum...
3.
Lama tak
berjumpa Hazem. Harap Hazem masih datang belajar di pusat komuniti. Beberapa
minggu lepas sempat mengajar Hazem membaca. Petang itu Hazem tak dapat datang
ke padang permainan. Dia perlu bekerja lebih masa untuk mencari duit. Hazem
berusia 11 tahun dan bekerja sebagai pencuci kereta.
Setelah habis
mengajar, belanja dia makan nasi goreng. Sebelum makan Hazem bahagikan nasi
gorengnya kepada 4 bahagian. Dia hanya makan satu bahagian. Tiga bahagian lain
untuk di bungkus. Di bawa pulang buat emak, kakak dan adik perempuannya. Hujan
lebat malam itu dan Hazem akan mengayuh basikal sejauh 25 kilometer. Bermakna
setiap hari Hazem akan mengayuh basikal sejauh 50 kilometer untuk ke tempat
kerja.
Saya belanja
Hazem makan dan bungkus 3 nasi untuknya. Hantar dia pulang ke rumah. Tak sampai
hati melihat Hazem mengayuh basikal dalam keadaan hujan lebat. Dia menolak
dengan alasan sudah biasa mengayuh basikal sejauh ini dalam keadaan hujan
lebat. Sebenarnya, Hazim risau kalau-kalau pakaiannya yang comot akan
mengotorkan kereta saya.
4.
Harga minyak
naik. Barang keperluan ikut naik. Gaji Hazem masih sama. Orang-orang sepertinya
akan lebih terbeban. Dan kita masih sibuk dengan iPhone 5s...