Wednesday, August 14, 2013

Cinta pertama selalunya indah



1.

Bulan Mei berat naik 1KG. Bulan Jun naik 1KG lagi. Hasil makan biji aprikot. Tapi bulan Julai berat turun 3 kilogram. Mungkin sebab bulan puasa. Tak ada good news lain kecuali berat naik beberapa bulan lepas dan hari ini berat turun kembali. Doktor kata perlu buat kimoterapi selewat-lewatnya bulan depan. Kimoterapi tak pernah menyeronokkan...

Melihat orang mati sebab kanser sesuatu yang memedihkan. Sesuatu yang sukar untuk di ungkap dan perkatakan. Melihat orang terlantar sakit juga sesuatu yang memeritkan. Dua atau tiga tahun lepas doktor mengatakan bahawa masa yang tinggal antara 6 – 12 bulan. Tapi hari ini, masih hidup walaupun nyawa-nyawa ikan. 

Hidup segan mati tak mahu.


2.

Kadang-kadang saya tertanya-tanya adakah saya masih berlegar-legar di dunia ini bila saya sudah mati nanti dan melihat orang-orang yang saya cintai. Agaknya saya terpengaruh dengan filem-filem yang pernah saya tonton. Ia sesuatu yang menyeksakan. Melihat orang yang kita sayang dari jauh dan dia tak mampu melihat kita kembali. 

Melihat dia menangis dan kita tak mampu mengesat air matanya atau sekurang-kurangnya memberi satu pelukan hangat untuk meredakan kesedihan. Sayang, kalau boleh saya tak mahu di bekukan dan di letakkan dalam balang kaca. Saya tak mahu dan tak mampu melihat awak bersedih (menangis) kerana teringatkan saya.

Ia suatu yang menderitakan.


3.

Jadi, saya tak nak awak bekukan saya dan letakkan saya dalam balang kaca. Kita akan sama-sama lebih derita. Saya tak mahu awak habiskan seluruh usia awak mengenangkan saya. Mengenangkan kasih sayang kita. Ada banyak perkara yang kita harap kita boleh ubah tapi kita tak mampu nak ubah apa-apa. Kita cuma mampu menulis di atas kertas segala yang kita mahu. Tapi, bukan semua yang kita mahu kita akan dapat. 

Banyak perkara yang kita mahu dan kita tak dapat.


4.

Cinta pertama selalunya indah dan awak adalah keindahan dalam hidup saya.



Krabi 
130813