1.
Melihat
buku-buku di rak membuatkan hati sedih. Buku-buku di rak kecil di tepi katil
masih belum habis di baca. Ada pelbagai genre yang belum terusik. Ada yang
hanya baca beberapa halaman. Tahun ini sehingga bulan Julai hanya baca sebuah
buku. Hanya sebuah.
Agaknya mata
tidak lagi dapat bertahan. Kadang-kadang tiba-tiba saja blur dan tak nampak
apa-apa. Dua jam kemudian akan okey. Kadang-kadang ambil masa hingga 3 atau 4
hari. Mata semakin pedih. Sakit kepala menjadi-jadi juga sakit belakang.
Melihat buku
yang menimbun membahagiakan meskipun masih belum di baca. Huda rajin meletakan buku di riba. Menyentuh kertas buku halaman demi halaman walau tidak membaca. Ia semacam
kedamaian.
2.
Hari ini ke KLCC
untuk beli baju raya juga Kino dan membeli beberapa naskah novel.
Meskipun tahu buku-buku ini entah bila dapat di baca, beli juga untuk kepuasan
diri. Nikmat membaca bukan semua orang dapat merasainya.
Bila kita tahu
mata kita akan buta, kita akan lebih menghargai setiap apa yang kita ada walaupun sebenarnya
deria-deria lain juga kurang
berfungsi. Untuk orang sakit, makan apa pun tidak akan mendatangkan hasil yang
berbeza bila lidah tak mampu merasa masin, masam, pedas, manis.
Masih dapat
mendengar muzik. Masih dapat menghayati alunan indah biola gesekan Ocio atau
sesekali mendengar Umar memetik gitar atau Huda bermain cello. Masih dapat
mendengar rusuk kiri kadang-kadang menyayangi bila dia happy dan mendengar gelak ketawa Adam. Ini semua membahagiakan.
3.
Kembali ke TTDI
setelah lama tidak datang ke sini. Tidak ada banyak yang berubah. Tempat
membesar, tempat mendapat kasih sayang, tempat belajar tentang kehidupan. TTDI
tak banyak membawa memori yang indah. Beberapa kali talkin di baca di sini
untuk Am, Om, Iman, dan Karl. Kehilangan beberapa orang tersayang antaranya
Poci, daddy & ummi yang semuanya pernah terpotret di sini.
Rumah ini tidak
mesra lagi. Gema kesepian, kesunyian dan kehilangan masih terasa. Baik Kak Ain
mahupun Ocio sendiri jarang ke sini. Masing-masing menafi realiti (mungkin)
atau tidak mahu di lingkar kenangan lalu. Kenangan yang manis untuk di
kenang-kenang. Rumah ini amat meriah suatu ketika dulu. Kini menjadi suram.
Kenangan lama memang manis dan nyaman. Dan, kadang-kadang bergelora juga dengan gelombang-gelombang. Tetapi hanya itulah sahaja yang wujud sekarang ini. Sebuah kenangan adalah sebuah rahmat yang sulit di buang. Ia memberi kesejahteraan di waktu-waktu seperti sekarang – Shahnon Ahmad (Tunggul-Tunggul Gerigis)
4.
Piano di hujung penjuru
sudah berhabuk. Sudah lama tidak di gunakan. Dulu Karl selalu mainkan lagu
ciptaannya di ruang itu. Karl antara yang mahir bermain piano. Mempunyai suara
yang merdu ketika melontar setiap butir lirik ciptaannya. Sampai sekarang saya
tak tahu main apa-apa alat muzik. Pernah juga cuba bermain seruling tetapi
tidak begitu fasih.
Di sini ada
segala-galanya. Ada keluarga dan kasih sayang. Kasih sayang tak pernah
tenggelam dalam peredaran zaman. Kasih sayang akan tetap di kenang-kenang
selagi hayat di kandung badan. Ia sesuatu yang indah untuk di ingat
sekali-sekala. Sama seperti kita cuba mengingat setiap detik umur kita berlalu.
Dan, di sini ada
cinta.
31072013
31072013