Friday, July 26, 2013

Hujan



1.

Sebenarnya, saya risau-tapi-tak-nak-menyebok-sangat bila awak belum lagi buat keputusan 1)Resign 2)Tukar tempat kerja 3) Buat internship 4)Sambung MA. Saya tahu memang susah. Saya tahu stres di tempat kerja (dan di buli oleh senior dalam kes awak HOD) bukan perkara mudah untuk ditangani. Saya juga tahu yang awak tak akan bekerja semula di tempat kerja lama. 

Dan saya harap awak tak give up. Saya harap sangat semangat awak masih menyala macam dulu walaupun sebenarnya tak. Awak balik dengan rungutan. Awak merungut tentang banyak perkara dan saya layankan saja sebab kita manusia biasa. Kita tak sempurna. Kadang-kadang kita akan merungut bila kita buat kerja sehabis baik tapi orang masih tak puas hati (dan sengaja cari salah kita). Ini perkara biasa. Awak juga kata awak tak suka merungut sebab nanti kerja tak ikhlas.


2.

Bila kita dewasa, banyak keputusan sukar yang perlu kita buat. Keputusan yang tak banyak beri kita pilihan. Kadang-kadang kita cuma ada dua atau tiga pilihan saja. Macam dulu – sama ada awak 1)Terima saya 2)Tolak saya 3)Cari orang lain. Semuanya nampak mudah tetapi tidak semua menyakinkan. Awak mungkin beberapa kali membuat keputusan yang salah  tapi kemudiannya awak harus juga membuat keputusan dan memilih.

Hidup kita memang ada pilihan. Kalau kita tak suka A, kita pilih B. Tapi semuanya tak semudah itu. Tak semua perkara kita mudah membuat keputusan. Selalunya banyak perkara memerlukan kita membuat keputusan berhati-hati dan berfikir panjang tentang implikasi di masa hadapan. Justeru, memilih (hatta apapun yang harus di pilih) bukanlah sesuatu yang mudah. Sayang, awak harus berani. Saya tak akan masuk campur urusan pemilihan ini kerana ternyata ini bukan bidang saya. Saya tak tahu antara 4 pilihan yang mana satukah yang terbaik untuk awak.


3.

Awak perlu memilih. Memilih dengan berani dan penuh keyakinan. Masa terus berlalu. Saya rasa sudah hampir sebulan lebih awak berehat di rumah. Tak, saya tak maksudkan yang saya tak suka awak berehat-rehat di rumah. Tentu saya suka tapi ada sisi lain yang lebih penting. Masa depan kerja awak penting. Sangat penting untuk awak dan saya. Penting untuk kita. 

Bila kita rasa kita lemah, kita perlu bangun semula. Kita tak boleh biarkan orang lain buat kita fikir yang kita lemah dan tak berguna. Kita perlu bangun dan buktikan bahawa orang yang mahu kita fikirkan diri kita lemah itu sebenarnya salah.

Hidup ini adalah perjuangan. Hidup ini adalah pemilihan di antara pilihan-pilihan yang kita miliki. Kita yang harus tentukan hidup kita bukan orang lain. Kalau kita suka, kita pilih. Kalau tak suka, tak usah. Tak usah pilih sesuatu yang kita tak suka semata-mata untuk puaskan hati orang lain. 

Kita hidup untuk diri sendiri bukan untuk orang lain. Jadi kitalah yang menguasai keseluruhan hidup kita. Jangan benarkan orang lain rampas dan buat keputusan penting dalam hidup kita. Jangan juga biarkan orang lain tentukan bagaimana kita harus hidup dan berfikir. Kalau kita biarkan orang lain lakukan maknanya kita sudah mati.


4.

Setiap dari kita ada limitasi. Kita tak boleh push diri kita kalau kita tak mampu. Kita tak boleh desak diri kita semata-mata untuk buktikan yang kita mampu. Kalau kita tak mampu, kita mengalah. Kita mengalah bukan bermakna kita kalah, bukan bermakna kita lemah. Tak. Kita mengalah sebab kita hendak bangun semula dan bina kekuatan baru. Kekuatan yang berkali ganda lebih tinggi dari sebelumnya. Kita tak lemah bila kita mengaku kalah. 

Tuhan berikan kita limitasi. Ada had dan batasan yang tak mampu kita tempuh. Tapi Tuhan juga sediakan kita pilihan lain. Kita boleh tempuh dan lalui limitasi dengan pilihan lain yang kita ada. Kalau kita gagal dan jatuh melalui jalan A, kita pilih jalan B. Kita tukar cara dan strategi. Kita bina asas baru yang lebih kental dan kukuh. Jangan terlalu lama berada di jalan A sedangkan kita tahu kita tak mampu. 

Jangan sesekali takut mengangkat bendera putih bila kita tahu itu saja kekuatan yang kita ada. Jangan lupa bahawa kita ada seribu satu jalan yang boleh kita ambil sebagai jalan keluar. Jangan terpaku terlalu lama di jalan buntu yang membuatkan kita stuck terlalu lama.  Angkat bendera putih, pilih cara lain, bina strategi baru dan move on

Kekalahan hanya ujian dalam hidup. Kekalahan hanya tapak kepada kemenangan – Shahnon Ahmad (Ranjau Sepanjang Jalan)


5.

Kalau kita tak mampu, jangan paksa diri. Bila kita rasa kita jatuh, kita akan rasa kita mengada-ngada dan lemah. Sebenarnya tidak. Itu hanya mainan perasaan kita. Apa yang perlu kita buat adalah bangun dan cari semula kekuatan kita. Biarlah kita jatuh seribu kali pun asalkan kita bangun. Biarlah orang nak cakap apa pun. Kita tahu di mana kedudukan kita. Kita tahu setiap kelemahan dan kekuatan diri kita. Orang lain tak tahu. Orang lain cuma tahu terus kritik dan membuat kita jatuh. Membuat kita rasa lemah dan tak berdaya. Membuat kita rasa tak berguna. 

Akhirnya yang akan melalui hidup yang perit/bahagia/derita adalah kita. Jadi kitalah penentu segalanya.