Thursday, July 25, 2013

Epik Romeo dan Juliet



1.

Cinta memang sesuatu yang sukar di fahami. Manusia akan lakukan apa saja untuk cinta. Sesuatu yang di luar dugaan. Sesuatu yang semua orang tak akan faham. 

Jenazah Amar masih belum di kebumikan. Masih belum selesai postmortem. Jam 4 pagi semalam, saya bergegas ke hospital. Dapat pesanan dari Nina yang Sarah (kekasih arwah Amar) masuk hospital kerana minum racun. 

Sarah meninggal dunia jam 10 pagi. Selepas balik dari hospital semalam, Sarah ingin berehat di pusat komuniti kerana tak mahu pulang ke rumah. Tiada yang mahu temankannya kerana masing-masing penat dan perlu balik ke rumah. Saya juga tak dapat temankan Sarah. Kepala sakit dan muntah tak henti-henti. Mata juga pedih. Saya perlu berehat kerana badan terlalu lemah.

Saya tahu tak baik “berkalau-kalau” tapi kalau saya temankan Sarah semalam mungkin dia masih hidup hari ini. Khabarnya Sarah bunuh diri kerana perasaan bersalah terhadap arwah Amar. Berada di hospital dari jam 4 pagi. Pulang ke rumah jam 1.20 petang.


2.

Huda selesema. Umar batuk. Adam selesema, batuk dan demam. Baru nak tidur, Umar datang merengek. Selepas tidurkan Umar, Adam pula bangun dan merengek. Lepas tidurkan Adam, bergegas ke Perpustakaan Tun Razak untuk pulangkan buku pinjaman (yang sudah di denda beberapa ringgit). Tak sempat berehat. Cuma sempat tidur lebih kurang setengah jam ketika di hospital semasa menunggu Sarah.

Selepas ke Perpustakaan Tun Razak bergegas ke pusat komuniti. Rupanya ada kelas mengajar dan hampir terlupa. Mengajar lebih kurang dua jam sebelum balik rumah. Tak boleh nak fokus sangat 1) Kerana penat/tak cukup rehat 2) Kerana teringatkan arwah Amar & Sarah. Peristiwa ini benar-benar menganggu. Berputar seperti tayangan filem. 

Kalaulah saya boleh bantu mereka lebih lagi...


3.

Terawih di rumah. Adam tak habis-habis nak panjat. Ketika solat pun dia panjat juga. Baru segar sikit dari demam sudah mula aktif. Dia suka panjat, belek-belek wayar yang ada di hidung saya, kemudian sandar diam-diam. Kemudian sambung belek tangan, pegang tiub yang ada di tangan saya. Kemudian mula berdiri belek-belek telinga saya (yang kadang-kadang berdarah) dan peluk. Bila dia mula peluk leher dan letak kepala di bahu, dia tak akan lepas hingga tertidur. Daddy dan Adam tertidur tak lama selepas itu.

Selamat malam sayang.