Aduhai kekasih…berat sungguh rasa ini…kerana aku akan pergi meninggalkanmu, meninggalkan cerita kita…
_
Salam ke atasmu duhai kekasih pemilik hatiku,
Selamat Hari Lahir, sayang. Semoga usiamu yang berbaki ini di manfaatkan untuk memberi kebaikan dan kesejahteraan kepada dirimu keluargamu, masyarakat, negara dan sekalian alam — terutama kepada Rabbmu. Berpegang teguhlah kepada tali Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang — yang menjagamu setiap saat dan waktu. Moga engkau terpelihara selalu.
Peliharalah dirimu, duhai kekasih — tutuplah auratmu dengan sempurna, jagalah batasmu sebagai perempuan, bersederhanalah selalu; marahmu jangan keterlaluan, bencimu jangan berlebihan, sedihmu jangan berpanjangan. Hiasilah dirimu dengan al-Quran, lengkapilah dirimu dengan adab dan ilmu. Jauhi permusuhan, ikhlas dalam setiap niat dan perbuatan. Nescaya engkau akan disenangi selalu.
Sayangilah sesiapa yang menyayangimu, hargailah sesiapa yang menghargaimu, perjuangkanlah sesiapa yang memperjuangkanmu. Bersabarlah dalam menempuh setiap ujian, kukuhkan pendirian, berani hadapi apa jua tantangan. Hidup ini tidak mudah tetapi kekal indah. Lebarkan sayapmu duhai kekasih, kejarlah cita-citamu, gapailah impianmu. Balutilah dengan doa dan usaha — engkau pasti akan berjaya.
Selamat Hari Lahir kepada insan pertama yang menetap di hatiku, yang mengajarku tentang cinta dengan selautan sabar, yang mengajarku ikhlas dalam perhubungan, yang memberiku ilmu seluas langit malam, juga yang mengajarku erti melepaskan dengan penuh keredhaan. Maafkan aku kerana tidak punya keberaniaan untuk memilikimu. Semoga engkau berbahagia selalu.
Hidup baik-baik, sayang.
Abang pergi dulu.