Min belum balik? Bila nak balik? Lama sangat menghilang. Hari ini aku bawa anak-anak ke utara Selangor untuk urban exploration (urbex). Aku pandu Jeep Cherokee XJ tahun 90-an yang sudah diubah suai dan uplifted. Huda pula pilih Toyota Land Cruiser Prado 1994. Dia minta untuk pandu Defender kesayangan aku, tapi aku tak benarkan. Kemudian dia mencuba kalau-kalau aku benarkan dia memandu Suzuki Jimny 1996 — tentulah tidak. Model-model lama 4×4 sangat tahan lasak, rugged dan nampak sporty. Suzuki baru-baru ini telah keluarkan model baharu; AllGrip Plus dan Jimny Rhino Plus. Mungkin aku akan beli satu. Keluaran baharu nampaknya lebih bergaya. Harga bermula RM 160,000.
Beberapa bulan lepas, aku belikan Umar Honda N-Box. Kata Ara, kereta ini menyerupai mini Alphard. Aku tak begitu minat. Ketika di bilik pameran, aku ternampak sebuah kei car yang menarik perhatian aku — Suzuki Taft (memang tegap, cun dan seksi!). Kemudian, jurujual tunjukkan aku sebuah lagi model — Daihatsu Move Canbus. Aku tengok, aku senyum dan aku ketawa kecil sampai jurujual lihat pelik. Aku tak buat pilihan. Aku sambar sahaja. Harga kei car agak murah berbanding kereta lain. Sekarang aku sedang mengintai Mazda Flair Crossover. Harga di luar Malaysia cuma RM42,000. Isteri aku sarankan kalau Huda berminat dengan Suzuki Jimny — belikan saja iCAUR. Bentuk lebih kurang saja.
Berbalik kepada lawatan kami pada hari ini, kami melawat projek pembinaan yang terbengkalai. Mula-mula kami ke Templer Hills Boutique Bungalow, Rawang. Terdapat kira-kira 45 unit banglo mewah yang kini terbiar sepi kerana pemaju gagal mendapatkan Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC). Kegagalan itu berpunca daripada pembinaan projek di kawasan cerun/bukit yang menghadapi isu pelaksanaan dan keselamatan. Harga semasa pelancaran ialah RM2.2 juta seunit dengan konsep gaya hidup luxury hill residential. Kini dilelong dengan nilai RM800,000. Banyak rumah telah ditumbuhi pokok-pokok liar dan tidak terjaga. Reka bentuk rumah dan susun aturnya sangat cantik.
Projek siap sepenuhnya pada tahun 2011 oleh Rentak Arena Development Sdn. Bhd. Kediaman mewah ini di dibina 2.5 hingga 3 tingkat dengan keluasan 4,853 hingga 6,665 kaki persegi. Selepas itu kami melihat Ulu Yam Abandoned Train atau lebih terkenal dengan jolokan LRT Graveyard di Ulu Yam. Terdapat puluhan gerabak lama LRT disimpan di kawasan ini. Pada sekitar tahun 2015, Prasarana memindahkan hak milik tren-tren lama ini kepada CSR-Zhuzhou (kini CRRC Zhuzhou) sebagai sebahagian daripada program beli balik (buy-back programme) bersempena pembelian 50 set tren baharu untuk Laluan LRT Ampang–Sri Petaling. Aku tak bawa anak masuk ke dalam kawasan — sekadar melihat dari luar.
Sayang juga melihat banyak gerabak yang sudah rosak. Aku berminat untuk dapatkan sebuah dua, tapi tak dapat kenal pasti pihak yang perlu dihubungi. Beberapa tahun selepas pertukaran hak milik, CRRC Zhuzhou telah menjual gerabak-gerabak tersebut kepada pihak ketiga yang identitinya tidak pernah diumumkan secara rasmi. Pemilik tersebut dilaporkan merancang untuk mengubah suai gerabak berkenaan menjadi hotel kapsul atau restoran. Gerabak lama seperti ini kalau diubah suai dengan baik, boleh menjana pendapatan sebagai suatu tarikan yang unik. Kami kemudian bergerak ke destinasi seterusnya iaitu Bandar Baharu Lembah Beringin — sebuah bandar yang dibangunkan dengan konsep bandar hijau eksklusif.
Ia dirancang sebagai sebuah bandar baharu dengan yang menggabungkan pembangunan perumahan, padang golf, pendidikan dan komuniti. Terkenal dengan gelaran bandar berhantu (ghost town) terbesar di Malaysia, projek ini telah diklasifikasikan sebagai projek terbengkalai oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada tahun 2001. Projek BBLB dibangunkan oleh Land & General (L&G) melalui anak syarikatnya, Lembah Beringin Sdn. Bhd., menerusi usaha sama 70:30 dengan Kuala Lumpur Kepong. Di kawasan tersebut telah dibina kira-kira 2,300 unit rumah pelbagai jenis serta ratusan unit rumah kedai, termasuk pembangunan padang golf bertaraf antarabangsa.
Padang golf tersebut direka oleh Ted Parslow dengan panjang kira-kira 5,897 meter, mempunyai 18 lubang dengan par 72, dan diberi nama SSG Beringin (Beringin Golf Club). Kelab golf ini khabarnya telah ditutup sepenuhnya ketika pandemik Covid-19 melanda Malaysia. Di sini juga dibina sebuah kolej swasta, iaitu Kolej Yayasan UEM (KYUEM), yang menawarkan program Cambridge A-Level. BBLB kembali bernafas apabila Legenda Beringin Holding Sdn. Bhd. membeli kawasan seluas 1,400 ekar untuk membangunkan Beringin High-Tech Auto Valley. Syarikat automotif terkenal dari China, Cherry, turut membuat pelaburan di BBLB dengan membuka kilang pemasangan. Harapnya Lembah Beringin terus maju.
Kami kemudiannya singgah makan tengah hari di Bukit Beruntung Golf & Country Resort (BBGC). BBGC nampaknya sudah kembali hidup selepas melalui fasa kejatuhan akibat masalah pengurusan. Pelbagai program kini dianjurkan, namun suasananya masih belum begitu meriah. Kawasan sekitar Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa (BBBS) juga merupakan sebahagian daripada era mega township Malaysia. Syarikat yang mendominasi pembangunan kawasan ini ialah Talam Corporation. Mereka memperoleh tanah daripada kerajaan negeri untuk tujuan pembangunan. Pada zaman kemuncaknya, Talam Corporation merupakan antara pemaju hartanah terbesar di Selangor dengan pelbagai projek township berskala besar.
Pada masa itu, banyak syarikat hartanah dan hartawan persendirian membeli tanah secara besar-besaran kerana desas-desus mengenai pembinaan lapangan terbang baharu di Utara Selangor. Selain berpotensi untuk dijual semula pada harga yang lebih tinggi, banyak pemaju turut berebut untuk membangunkan kawasan tersebut. Talam Corporation bukan sahaja mempunyai satu atau dua projek bermasalah, malah beberapa projek pembangunan mereka turut terjejas. Syarikat ini akhirnya jatuh terduduk apabila Dr. Mahathir menukar lokasi lapangan terbang baharu ke Sepang. Keputusan itu mematahkan sebahagian jangkaan pelabur yang sudah bertaruh pada Koridor Utara Selangor.
Selepas Krisis Kewangan Asia 1997/98 dan berdepan masalah kewangan korporat, beberapa projek perumahan serta pembangunan mereka mengalami kelewatan atau terhenti. Keadaan ini menyebabkan ramai pembeli hilang keyakinan. Syarikat Talam kemudiannya berdepan masalah kewangan yang serius dengan hutang sekitar RM690 juta kepada GLC Negeri Selangor. Pembeli hartanah yang paling terkesan kerana mereka terpaksa meneruskan bayaran pinjaman walaupun rumah masih belum siap. Bank bukanlah rakan yang baik kepada penghutang. Tak kira apa jua situasi, bayaran harus dilunaskan walaupun yang didirikan hanya tiang sebatang. Banyak pembeli yang muflis.
Usai makan tengah hari, solat dan tidurkan kembar di dalam kereta (ini susah sikit — tak mahu pula tidur), kami ke Taman Ilmu, Bestari Jaya. Taman Ilmu terletak bersebelahan kampus UNISEL. Taman ini dibina di atas tanah bekas lombong. Pada mulanya, ia merupakan kawasan perumahan untuk pelajar UNISEL, tetapi diarahkan untuk dikosongkan kerana struktur bangunan didapati tidak selamat untuk didiami. Projek ini dilaporkan terbengkalai sejak tahun 2004 dengan kos anggaran kos baik pulih mencecah RM60 juta. Khabarnya, beberapa blok asrama telah diserahkan kepada UniSZA). Taman Ilmu dibangunkan menggunakan konsep bandar pendidikan. Sayangnya, hanya tinggal impian.
Menariknya, semua projek ini muncul dalam era optimisme pembangunan pada tahun 1990-an. Ketika itu, banyak pemaju percaya pertumbuhan Lembah Klang akan merebak jauh ke utara. Hal ini dapat dilihat melalui pembinaan jalan yang luas, susun atur taman yang besar, serta lot kedai dan rumah yang jaraknya jauh. Keadaan ini menggambarkan kawasan tersebut direka untuk menampung populasi yang jauh lebih besar daripada jumlah penduduk semasa. Banyak rumah dibina sebelum wujud komuniti, peluang pekerjaan, dan kemudahan sokongan yang mencukupi. Peluang pekerjaan banyak tertumpu di Lembah Klang. Krisis Kewangan Asia menjadi meranapkan sebilangan pemaju hartanah.