Sunday, July 26, 2026

Berjalan tanpa Kasut

Dua hari ini aku habiskan masa bersama Ocio dan anak-anaknya. Sabtu, selepas bawa kembar masuk hutan secara santai dan mengutip cendawan, aku ke rumah Ocio. Aku bawa mereka ke Subang Parade untuk membeli pakaian, buku dan permainan. Kemudian kami makan tengah hari di NU Empire. Selesai solat Zuhur, kami ke pusat rawatan Tabib Cina. Ocio akan jalani urutan Tuina. Sebelum ini, Ocio sudah pun jalani akupunktur dan moxibustion bersama minuman herba secara berkala. Rawatan fisioterapi di hospital juga banyak membantu. Ocio nampaknya semakin pulih. Wajahnya nampak lebih ceria daripada biasa.

Prosiding mahkamah masih berjalan kerana bekas isterinya tidak hadir perbicaraan. Dia juga mengemukakan beberapa tuntutan termasuk hadhanah. Selepas bercerai, aku nampak Ocio jauh lebih tenang dan santai, seolah-olah batu besar yang sekian lama menghempap pundaknya akhirnya terangkat. Kata Ocio, dia tidak lagi mahu berkahwin. Ungkapannya ringkas tetapi padat — "Remarriage does not necessarily lead to happiness." Aku memahami kekecewaan yang masih bersisa daripada pengalaman perkahwinannya yang pahit. Herodotus pernah berkata "Punca segala kekacauan dalam sejarah ialah orang perempuan." 

Pagi ini, ketika berjalan di dalam hutan, kami berkaki ayam. Aku teringat tulisan Park Dong-chang dalam bukunya Walk Barefoot, yang membincangkan amalan berjalan tanpa memakai kasut (earthing). Beliau berpendapat amalan tersebut berpotensi membantu merawat kanser dan beberapa penyakit lain, termasuk kardiovaskular. Beliau turut menghimpunkan pelbagai testimoni daripada bekas pesakit yang mendakwa memperoleh manfaat daripada amalan ini walaupun sehingga kini belum ada bukti saintifik yang kukuh untuk mengesahkan dakwaan tersebut. Testimoni itu boleh di baca melalui karya keduanya, Barefoot Walking Saved Me.

Selesai meredah hutan, Ocio mandi sungai bersama anak-anaknya. Kembar pun tidak melepaskan peluang untuk turut sama bermain air. Aku pula ke dapur membantu Ara menyiapkan hidangan tengah hari. Menu hari ini ringkas sahaja — kari hijau daging, ikan bakar, air asam, kerabu perut, ulam raja dengan sambal kelapa dan tentunya air kelapa muda pandan. Selepas makan tengah hari, Ocio berehat. Anak-anaknya ikut tidur bersama. Sebelum berlepas pulang, kami hidagkan Ocio pulut mangga santan bersama sagu gula Melaka. Anak-anak kecil makan ais krim goreng yang di sediakan Adam. Selepas Asar, aku menghantar Ocio pulang ke rumahnya.