Sabtu - 29/6/2024
Hari ini teman Bonda keluar membeli barangan elektrik. Bonda ingin menukar penapis air. Tak mahu lagi komitmen bulanan kerana dia rimas dengan petugas yang hadir ke rumah untuk pembersihan penapis air setiap dua bulan. Saya syorkan beberapa jenama. Antaranya 3M, Midea, Intrix 5-in-1, Konigway, Yamada, Kangen Water, Aquasana dan eSpring. Air eSpring sedap tapi tak ada sejuk panas. Begitu juga dengan Aquasana. Bonda mahukan sejuk panas jadi Bonda pilih 3M. Selain penapis air, Bonda beli outdoor water filter. Katanya yang lama sudah sangat uzur.
Selesai beli penapis air, Bonda ajak ke Harvey Norman. Bonda nak beli wet & dry robot vacuum cleaner. Setiap kali balik Malaysia, saya pujuk Bonda beli robot vacuum. Bonda suka lantai yang berkilat jadi inilah barangan terbaik yang saya syorkan. Vacuum ini boleh kawal melalui telefon menggunakan WiFi dan mempunyai penapis HEPA - sesuai untuk pengidap asma dan alergi habuk. Selesai beli vacuum, Bonda beli dishwasher. Reka bentuknya cantik - design 3 tingkat dengan 18 tempat letak pinggan. Bunyi pun tak kuat sangat - lebih kurang 39dB saja.
Selepas itu bawa Bonda ke nursery. Bonda beli dua buah pasu untuk gantikan pasunya yang sudah pecah. Selain pasu, Bonda beli bunga dan baja NPK. Bolehlah rantingkan dahan supaya pokok tumbuh dengan lebih subur. Semasa di nursery, terlihat satu pokok yang saya suka iaitu Syzygium Buxifolium. Pokok ini sesuai di letakkan di dalam rumah sebagai natural air purifier. Saya ingin hadiahkan pokok ini kepada dia. Saya nak ajar dia cara menanam pokok. Kalau pokok ini di letakkan di dalam rumah, udara akan jadi lebih segar dan nyaman.
Malamnya saya menonton teater Haji Murat di Dewan Syed Nasir. Ara yang belikan tiket. Hari terakhir tayangan, panggung masih penuh dengan penonton. Terlihat kelibat Victor Pogadev, pengiat sastera dari Rusia yang banyak berkerjasama dengan DBP dalam menterjemahkan karya-karya hebat. Di ruang legar, DBP menjual cetakan terbaru novel ini sempena pementasan yang sedang berlangsung. Malam yang mengujakan tapi hati dan fikiran jauh melayang terkenangkan suri yang berada jauh dari diri. Alangkah indah kalau dapat menonton bersama.