Agaknya semalam Hara keletihan. Hara terlelap di meja kerja. Seperti biasa, abang angkat dan letakkan Hara di atas katil. Ketika abang menyusun fail, abang terselak beberapa halaman - gambar mangsa rogol. Kanak-kanak sekolah rendah berusia 8/9 tahun. Fail kedua pula memaparkan kes 7/8 orang mangsa liwat / gangguan seksual. Fail-fail lain masih dalam kajian kes yang sama - rogol / gangguan seksual / liwat; dari kanak-kanak, remaja hinggalah wanita dewasa. Sukar di gambarkan perasaan abang ketika itu - sedih, kecewa, kasihan, marah, geram dan pelbagai lagi. Fail-fail ini adalah rutin harian hidup Hara. Kehidupan yang serba gelap, penuh noda dan nista.
Abang tak tahu malah tak pernah bertanya soal kehidupan yang Hara pilih ini. Kehidupan ini penuh kesedihan, kesengsaraan, luka yang sangat sukar di padam. Sebagai seorang suami pastilah abang berasa gusar dan takut kerana Hara bergelut untuk bernafas dalam dunia penuh kegelapan. Abang sendiri berasa kuatir akan keselamatan Hara baik fizikal mahupun mental. Dalam masa yang sama abang kagum melihat Hara berjaya melintasi lautan kegelapan saban hari untuk memberi cahaya dan pengharapan kepada mangsa yang menjadi pemuas nafsu manusia berhatikan iblis bernafsukan syaitan. Abang benar-benar kagum kerana Hara seorang wanita yang berani, cekal dan tabah.
Abang juga menjumpai fail yang diperkatakan Baba - fail yang Hara bawa ke mana saja Hara pergi. Kes yang membuatkan Hara hampir berputus asa dengan keadilan dan kemanusiaan. Mahkamah dunia kadang-kala pelik sekali. Mangsa rogol di jatuhi hukuman berat kerana mencederakan perogol sedangkan iblis yang membuat angkara terlepas bebas begitu sahaja. Mangsa ini mati kerana membunuh diri. Dulu, kenalan rapat abang selalu bercerita tentang kes-kes rogol yang sengaja di senyapkan kerana tidak mahu berlakunya kekecohan atau masyarakat panik seperti kes rogol hampir 20 orang di KL angkara orang minyak. Kes ini berjaya di tutup sebaiknya oleh pihak berkuasa.
Setelah hampir dua bulan berumah tangga, barulah abang tahu Hara kerap berjaga malam kerana membaca / mengkaji / meneliti / mencari bahan bukti baru bagi setiap kes yang Hara kendalikan. Abang tak maksudkan apa-apa. Hara membahagikan masa antara kerja dan rumah tangga dengan baik sekali. Jika ada cacat-cela di sana sini, abang maafkan. Manusia tentu tak sempurna, pasti ada kurang-lebih pada bahagian-bahagian tertentu. Abang berharap Hara pandai menjaga diri. Abang mahu Hara sentiasa selamat. Abang tak mahu kehilangan Hara. Hidup kita baru bermula, hendaknya biarlah kita bersama hingga ke tua. Abang selalu ada bersama Hara.
Terima kasih masakkan untuk abang sup burung layang-layang bersama kanji cendawan dan jus barli. Demam abang semakin kebah. Tekak tak sakit lagi. Sakit kepala semakin hilang. Terima kasih kerana menjaga abang dengan penuh kasih sayang dan perhatian. Abang bahagia bersama Hara, teramat bahagia. Setiap hari abang belajar perkara baru dari Hara. Kebetulan pula abang tak miliki apa-apa pengetahuan dalam bidang yang Hara ceburi. Pasti sahaja abang gembira menerima ilmu dan pengalaman baru dari Hara. Abang mahu menulis lagi tapi nampaknya abang perlu berhenti. Abang masih belum mandi. Jam sudah menunjukan 12.30 pagi.
Selalu di sampingmu,
Imran