Thursday, October 18, 2018

Kegagalan

Ketika abang menulis surat ini Hara sedang di buai mimpi. Sesudah solat Isyak Hara terlelap. Abang tak sampai hati kejutkan Hara. Abang tahu Hara keletihan. Hari ini merupakan hari pertama Hara melangkah ke pejabat baru. Tahniah abang ucapkan atas penubuhan sebuah firma di Pulau Pinang! Sebagai suami, abang tumpang bangga dengan kejayaan Hara. Hara pastinya akan sibuk dengan tugas seharian. Abang doakan segalanya berjalan lancar dan seperti yang di rancangkan. Abang gembira kerana Hara tak patah semangat malah lebih beriltizam untuk berbakti kepada masyarakat. Janganlah terlalu memandang kegagalan kerana setiap dari kita pasti pernah gagal. Sekurang-kurangnya kita akan gagal sekali seumur hidup walaupun kebiasaannya kegagalan kita tidak terhitung.

Abang pernah mengalami beberapa siri kegagalan yang besar sebelum mencapai tahap ini. Bonda pernah ceritakan tentang kegagalan pertama Hara; kegagalan yang menyebabkan Hara cuba melarikan diri dari bidang yang sangat Hara cintai. Abang percaya Hara tak gagal tapi sistem yang menyebabkan Hara gagal. Sistem ini terlalu besar dan tak mampu kita lawan. Hara perlu tahu, bukan mudah untuk melawan sebuah sistem sungguhpun ia sebuah sistem yang gagal berfungsi dengan baik. Selalunya kelemahan sistem ini tidak mahu di bincangkan malah di tutup serapatnya pintu kritikan.. Setiap sistem yang kita bangunkan tentu ada cacat-cela. Kitalah yang harus mengubahnya walaupun ia suatu kelaziman yang di terima umum. 

Hara mempunyai reputasi yang baik. Hara tak seharusnya berhenti kerana satu kegagalan. Kegagalan tidak harus mematahkan semangat kita. Kegagalanlah yang harus memimpin kita untuk naik ke atas, ke tempat yang lebih tinggi. Dengan setiap kegagalan yang kita tempuhi, kita belajar untuk membaiki diri agar menjadi insan yang lebih baik. Kita menjadi lebih fokus, berdaya saing, dan beriltizam untuk menjadikan hari esok lebih baik dari hari ini. Kegagalan harus menaikkan semangat kita untuk bekerja lebih keras lagi. Bidang yang Hara harungi pastinya mempunyai tekanan yang hebat dari setiap penjuru. Hara harus persiapkan diri untuk menempuh setiap kemungkinan. Pelbagai cabaran harus di tempuhi sama ada baik atau buruk.

Dalam hidup ini kita jangan mudah putus asa. Jangan mudah patah semangat dan paling penting jangan mudah berpuas hati dengan diri sendiri. Arwah Walid pernah pesan supaya kita selalu cabar diri sendiri agar kita lebih maju dan berdaya saing. Abang mahu Hara kuat semangat, tak mudah putus asa dan berani menempuh apa sahaja yang berada di hadapan kita. Kadang-kala dalam kehidupan kita tak di berikan pilihan. Kita di berikan ujian yang pelbagai. Kita harus mendepani setiap ujian dengan penuh keberanian. Abang mahu Hara menjadi perempuan yang berani, tegak berdiri mempertahankan prinsip. Jangan biarkan orang lain meremahkan pemikiran, sikap dan kepercayaan Hara. Jangan sesekali benarkan orang lain merendah-rendahkan nilai diri kita.

Abang mahu Hara tahu bahawa abang gembira memperisterikan Hara. Untuk setiap perkara-perkara kecil yang Hara lakukan, besar maknanya buat diri abang. Hidup dengan abang tidak mudah. Terima kasih kerana Hara sudi menjadi sebahagian dari hidup, semangat dan jiwa abang. Abang sangat bersyukur di kurniakan seorang isteri sebaik Hara. Seni pemikiran dan sisi keintelektulan Hara sangat mengagumkan. Abang rasa sungguh bertuah memperoleh seorang isteri yang sukakan buku dan diskusi, seorang puteri secantik bidadari kayangan. Abang harap Hara tak berputus asa dengan abang. Bersama Hara melalui hari-hari yang mendatang sangat mengujakan abang. Moga kita saling mencintai hingga akhir hayat.

Abang sayang Hara.

.

The fragrance of
The flower there
So lovely in
Your pretty hand
And that makes
My happy heart sing

The birds in the trees are singing
My heart's mellow, dear
I whisper, I love you, my darlin'
Together we'll always be



My Happy Heart Sings
Marty Robbins





11.30 malam, 17 Oktober 2018
Pulau Pinang Indera Sakti