Thursday, April 12, 2018

Buat perempuan yang pernah memeluk hatiku

Sejak 2 minggu lepas, ketika saya melihat dan menanda kalendar, saya menghitung April 12. Hari ini genap usia awak menginjak ke angka baru - angka yang lebih besar dan seharusnya dengan angka ini awak menjadi lebih dewasa. Sukarnya menjadi dewasa seperti sukarnya mencari titik persefahaman dalam sebuah hubungan. Kita pernah melalui beberapa fasa penting dalam hidup, bahkan kita pernah berkongsi hampir segala-galanya. Saya tahu api kemarahan di hati awak tak akan pernah padam sepertimana cinta dan rindu awak buat saya - segalanya masih bernyala sama seperti saya mengasihi dan mencintai awak setiap hari. Kita tak pernah mampu menipu hati kita sendiri.

April 12 selalu menjadi perbalahan antara kita. Selalunya awak berkecil hati kerana sikap saya yang sering mengambil mudah akan tarikh penting ini. Kerap juga awak memendam rasa kerana saya tak pernah membuat apa-apa kejutan. Saya tak pernah lupa hari penting ini. Mungkin sahaja saya acuh tidak acuh dengan tarikh ini tapi saya tak pernah lupa. Wajarlah saya di tinggalkan kerana sikap jelek saya ini. Wajarlah awak memilih lelaki lain yang lebih menghargai diri awak. Saya tak pernah marahkan awak memilih lelaki lain sebagai peneman hidup. Malah saya bersyukur kerana Tuhan hadirkan seorang lelaki yang dapat memenuhi kekosongan yang tak mampu saya penuhi.

Siddiq Fadzil dalam bukunya berjudul Perspektif Qur’ani: Siri Wacana Tematik menyatakan “Kualiti hidup menurut al-Qur’an diukur dengan pencapaian tahap kebahagiaan dunia dan akhirat”. Saya kira awak sedang melayari bahtera rumah tangga dengan penuh kebahagiaan. Kebahagiaan dan kegembiraan yang tak dapat saya berikan ketika kita sama-sama berkongsi kasih. Mungkin sahaja benar kata-kata Rainer Maria Rilke dalam Letters to a Young Poet bahawa “Orang muda selalu tersilap dan sering parah kerana resmi mereka selalu tidak sabar: Mereka menyerahkan diri kepada satu sama lain apabila jatuh cinta”. Kita adalah pantulan kata-kara Rilke.

Sesuatu yang bernyawa dan penting kepada kita adalah hati. Hati sama sekali tak dapat di bohongi. Hati sama sekali tak pernah membohongi. Hati, sama seperti mata manusia - tidak pernah berdusta. Apa sahaja yang tersurat di hati pasti terpancar pada wajah kita. Saya mungkin sahaja telah kuburkan segala kenangan kita tapi saya yakin hati saya tak pernah melupakan setiap detak rasa yang pernah kita kongsi bersama. Perasaan tak mungkin terhapus. Benarlah kata Tan Twan Eng dalam The Gift of Rain, “The mind forgets, but the heart will always remember. And what is the heart's memory but love itself?”. Manisnya cinta kita masih terasa hingga kini.

Melihat awak bahagia bersama lelaki lain kadang-kala tetap juga menguris hati saya, tetapi saya seperti biasa tetap memujuk hati agar biarkan segala kenangan berlalu pergi. Memujuk hati adalah satu-satunya perkara yang mampu saya lakukan agar hati tak hanyut di buai perasaan. Sukarnya melepaskan diri dari belenggu cinta awak hanya Tuhan sahaja yang tahu. Setiap hari saya berdoa agar awak di beri kebahagiaan yang berpanjangan. Doa saya tak pernah luput buat awak. Kata orang, doa adalah tanda kasih sayang kita pada seseorang. Moga awak selalu dalam lindungan Yang Maha Esa. Moga awak terpelihara dari segala musibah dan kesulitan dunia.

Kata bijak pandai, berpada-padalah dalam mencintai seseorang, mungkin suatu hari nanti kamu akan membencinya. Berpada-padalah pula dalam membenci seseorang, mungkin suatu hari nanti kamu akan menyayanginya. Pesan surah al-Baqarah ayat 216 pula, “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui”. Nasihat yang paling terkesan tentu sahaja datang daripada Saidina Ali. Baginda menyebut “Sometimes your prayers are turned down because you often, unknowingly, ask for things that are really harmful to you. Begitulah cara saya memujuk hati.

Saya kira wajarlah saya berhenti di sini. Panjang sudah saya menulis walaupun saya tahu awak tak akan baca setiap bait yang saya nukilkan. Tak dapat saya bohongi bahawa perasaan yang paling mendamaikan dalam hidup saya ialah ketika saya menulis tentang awak. Ia suatu perasaan yang tak dapat di ungkapkan dengan baris kata-kata. Tidak ada nilai yang setara dengannya. Kata Isabel Allende dalam Paths of Resistance: The Art and Craft of the Political Novel, “Maybe the most important reason for writing is to prevent the erosion of time, so that memories will not be blown away by the wind. Write to register history, and name each thing. Write what should not be forgotten”.

Selamat hari lahir, renek.

“Stop escaping me through the myriad of daily distractions which cloud my mind and my heart. The noises of everyday life, the fears of how to fill empty spaces; you had promised me peace, you had promised to meet me halfway and yet I’m still searching for you. I long for your sweet comfort and I miss the calmness and clarity you bring me. 
My heart seeks for you my loyal companion. Today I feel love for you again, it is limitless and infinite. I want to break and fall in your arms like petals of a rose fall so carelessly from its bud. Every cell of mine desires to see you, please come close to me. My yearning for you is greater than any other wish of mine. 
I’ll be waiting for you my dearest companion as you are my only journey and destination”. 
― Jalāl ad-Dīn Muhammad Rūmī 







Lelaki yang pernah memeluk hatimu,
11.04.2018, 9.45 malam
Taman Tun Dr. Ismail