Kalau kita mempunyai kenalan, adik-beradik atau saudara-mara yang sudah lama berkahwin tapi masih belum di kurniakan zuriat, tak usahlah kita bercakap soal anak ketika berbual dengannya. Setiap pasangan yang berkahwin pasti mahukan anak. Eloklah kita sebagai orang luar mendoakan yang baik-baik sahaja buat mereka. Usahlah kita menjadi garam yang memedihkan luka apabila kerap bercakap soal anak dengan pasangan yang tidak mempunyai anak. Tentulah hati mereka lebih terguris dan emosi mereka lebih tertekan.
Saya mempunyai seorang abang yang masih belum di kurniakan anak walaupun sudah agak lama berumah tangga. Baru-baru ini isterinya telah memberi izin jika dia mahu berkahwin lain untuk mendapatkan zuriat. Abang saya, sebagai seorang lelaki yang faham selok-belok rumah tangga tidak mahu berkahwin lain. Dia begitu sayangkan isterinya dan enggan berpoligami. Abang saya seorang yang begitu patuh pada suruhan agama. Dia takut sekiranya tidak mampu berlaku adil apabila dia bersetuju untuk menikah lain.
Saya tak pernah bual soal anak dengannya. Abang saya seorang yang sangat pendiam. Amat susah mendengar dia berkata-kata. Kakak ipar saya memaklumkan, beberapa bulan lepas dia sudah pun menjalani beberapa ujian / rawatan kesuburan. Saya dan adik-beradik yang lain tak pernah bertanya banyak soalan. Kita sebagai orang dewasa tentu faham situasi dan tekanan yang dihadapi oleh pasangan yang belum di kurniakan zuriat. Janganlah kita menambah beban di hati mereka.
Begitu jugalah dengan pasangan yang baru sahaja berkahwin. Tak usahlah kita bertanya soal anak kerana mereka baru sahaja menjalani fasa baru dalam kehidupan. Memulakan hidup dengan pasangan bukan sesuatu yang mudah. Orang kata fasa ini adalah fasa yang membina kematangan kerana kita perlu menggalas pelbagai tanggungjawab baru. Lebih molek jika pasangan yang baru berkahwin belajar untuk selesakan diri sebagai suami isteri sebelum bergelar ibu bapa.
Apabila sudah mempunyai anak kelak, masa kita bersama pasangan menjadi semakin terhad. Kata orang tua, kemesraan dan keintiman akan berkurangan kerana kita terlalu sibuk dengan karier dan hanya berfungsi sebagai ibu bapa. Kita terlupa bahawa kita adalah suami isteri. Hubungan yang renggang selalu mencipta peluang perpisahan. Pasangan yang baru berkahwin tak perlu terlalu gusar tentang kehadiran cahaya mata. Raikan cinta terlebih dahulu kerana hidup berdua tak kurang indahnya.
_
Umar: Kenapa daddy tengok kita orang macam tu?
Daddy: Tak ada apa. Daddy baru lepas baca pasal orang tak ada anak
Adam: Siapa daddy?
Daddy: Ramai orang belum ada anak
Umar: Daddy kenalah bersyukur daddy ada kita orang, kan Adam
Daddy: Oh daddy je lah yang kena bersyukur ni?
Umar: Hehehehe
Kakak: Breakfast!
Adam: Kakak masak mesti sedap!
Kakak: Mestilah!
Umar: Hangit
Kakak: Dengki
Daddy: Dahlah tu
Bukit Tunku, KL
7.45 pagi, 15 April 2018