Monday, April 09, 2018

Hello Penang!

Saya selalu memilih untuk tinggal di bandar yang serba sederhana seperti Ipoh. Setelah beberapa tahun menetap di Ipoh, saya mengambil keputusan untuk pulang semula ke Kuala Lumpur dan menetap di sana. Kenangan zaman kanak-kanak di Bukit Antarabangsa, zaman remaja di Bukit Tunku sangat mengamit hati. Niat saya pulang ke KL adalah untuk menghadiri program-program ilmiah yang banyak di jalankan di Kuala Lumpur oleh pelbagai pihak. Malangnya, minat saya menghadiri program ilmiah semakin berkurangan kerana hampir setiap hari saya terperangkap dalam kesesakan jalan raya.

Oleh sebab itu, tanpa berfikir panjang, saya mengambil keputusan untuk berpindah ke Pulau Pinang. Pulau Pinang sama sahaja seperti Kuala Lumpur yang padat dengan pembinaan bangunan. Kenderaan di Pulau Pinang di anggarkan berjumlah kira-kira 1.5 juta. Bezanya, Pulau Pinang tidaklah begitu sesak seperti Kuala Lumpur. Masyarakatnya lebih sivik berbanding masyarakat Kuala Lumpur. Saya memilih menetap di Batu Ferringhi. Rumah ini telah lama saya beli dengan hasrat di jadikan sebagai rumah peranginan bila bercuti ke sini. Suasananya amat damai, tidak begitu terpencil tapi membahagiakan. 

Banyak juga program ilmiah yang berlangsung di sini di bawah kelolaan Majlis Bandaraya Pulau Pinang dengan kerjasama Gerakbudaya Penang. Selain itu, saya kira tinggal di Pulau Pinang lebih ada ‘life’ berbanding Kuala Lumpur. Setiap petang saya akan bawa anak-anak ke pantai mengutip siput atau menonton acara tari-menari di Padang Kota Lama. Jika bosan, terdapat sejumlah muzium, dan tapak pelancongan untuk di lawati. Saya bercadang membawa anak-anak ke Pulau Aman dan Pulau Jerjak tidak lama lagi. Orang kata tinggal berhampiran laut sungguh mendamaikan - jauh dari hiruk-pikuk kesibukan bandar. 

Saya hampir terlupa saya akan berkahwin tidak lama lagi. Keputusan berpindah ke Pulau Pinang tidak pula saya bincangan bersama tunang. Saya berada di Pulau Pinang tidak begitu lama kerana bulan Ogos nanti saya akan berpindah ke Kanada selama 4 bulan. Setelah berkahwin nanti, saya akan berpindah ke Rimba Ara, Negeri Sembilan. Kata pemaju, Rimba Ara merupakan residensi rumah pintar yang di bangunkan selaras dengan perkembangan teknologi masa kini. Harapnya ketika saya menetap di Rimba Ara, masalah capaian internet yang berkelajuan amat perlahan akan selesai. 

Hari ini saya berada di Pulau Pinang menguruskan perpindahan persekolahan anak-anak. Tidak banyak perabot yang perlu di beli kerana rumah ini telah di isi dengan kelengkapan sejak awal-awal saya membelinya tidak lama dulu. Selain pakaian, barangan yang pasti di bawa adalah buku. Anak-anak sudah mula mengemas barangan yang perlu mereka bawa. Huda masih belum mengemas kerana dia berat hati meninggalkan studio lukisan yang semakin mendapat sambutan. Adam pula mengemas dengan sangat perlahan kerana dia perlu berhati-hati mengendalikan kamera dan peralatan video untuk di bawa ke sini.




Miami Beach, Penang
5.05 petang, April 9, 2018