Thursday, July 13, 2017

Salah sendiri

Tak ada baris yang sesuai abang tuliskan selain permohonan maaf yang setulusnya dari hati. Abang tahu abang telah sakitkan hati Hara dan kejujuran abang sebenarnya tidak bertempat. Abang tak harus beritahu Hara yang abang hubungi orang lama dalam hidup abang. Abang tak tahu apa yang abang fikir. Selalunya abang dapat kawal hati tapi hari ini abang terbabas. Abang sungguh-sungguh minta maaf. Maafkan abang akan ketelanjuran. Abang terlalu mengikut kata hati. Abang tak rasional. Dari sudut hati paling dalam, abang minta maaf. Maafkan abang. Abang tahu Hara terluka. 

Abang buat kesilapan dengan menghubungi dia. Abang tak ada niat apa pun. Abang cuma mahu bertanya khabar. Abang tak harap apa-apa pun sebab abang sudah ada Hara dalam hidup abang. Abang sedih sebenarnya bila orang yang kita pernah kenal begitu lama, hanya bertanya “Sorry, siapa ni?” sedang abang tahu dan yakin, dia tahu abang yang hantar SMS. Dia buat-buat tak tahu, buat-buat tak kenal. Sedikit sebanyak abang rasa sakit hati, abang rasa marah. Abang tak marah dia. Abang marah pada diri abang. Agaknya abang masih tak tahu malu, masih tak sedar diri. Abang terluka, sakit hati. 

Bohonglah kalau abang kata abang tak ingat nombor telefonnya. Tentu saja kita hafal nombor telefon orang yang kita pernah sayang. Tentu sahaja jari kita fasih menekan nombornya. Cuma bodohnya abang kerana terlalu mengikut kata hati. Abang nampaknya masih gagal diri dan emosi. Hara, tak pernah terdetik di hati abang untuk patah balik pada kenangan cinta silam. Tak, abang tak mahukan hal-hal lepas. Abang sayang Hara. Abang mahu Hara dalam hidup abang. Abang nak hidup dengan Hara. Abang minta maaf walaupun abang tahu seribu kata maaf tak dapat ubati luka di hati Hara. 

Terima kasih kerana tidak melulu menuduh abang dengan tuduhan yang tidak berasas. Terima kasih masih berikan abang peluang. Ini adalah pengajaran yang paling besar dalam hidup abang untuk tidak menoleh ke masa silam. Mujurlah kita tak bergaduh tentang hal ini. Abang akui salah abang. Abang tak ada sebarang alasan untuk pertahankan diri. Memang abang yang gagal mengawal perasan. Memang abanglah yang gagal mengawal fikiran. Abang temukan banyak sesalan selepas perkara ini berlaku. Hara, maafkan abang sekali lagi. Abang tak ada niat lukakan hati Hara. 



Kruger National Park, South Africa
5.51 pagi