Dalam Kitāb Perubatan Melayu: Al-Raḥmah fī al-Ṭibb wa al-Ḥikmah karya ‘Abbas Kuta Karang, terdapat sebuah bab yang menarik iaitu perihal sakit rindu dan tahap-tahapnya bagi kegunaan diagnosis penyakit jiwa. Syaikh ‘Abbas Kuta Karang merupakan seorang ‘ulama Aceh abad ke-18. Beliau memperincikan tahap-tahap kerinduan seperti berikut:-
Al-Mālīkhūliyyāt: Rindu Dendam akan Suatu.
- Dan tersebut dalam Kulliyāt, bermula mula-mula dikasih itu dinamai "hawa" iaitu cenderung nafsu akan suatu.
- Dan jika bertambah-tambah kasih dan kuat ia maka jadi ‘ilāqah" iaitu kasih yang lazim bagi hati.
- Dan jika bertambah-tambah daripadanya maka jadi akan "kalaf" iaitu kasih yang sangat-sangat dalam hati hingga tiada dapat lupa.
- Dan jika bertambah-tambah daripadanya maka jadi akan "‘ishqun" iaitu sangat rindu dan sangat kasih dan dalam hati, dan adalah ‘ishqun pada ulama ahli al-tīb dinamai "mālīkhuliyyāt".
- Dan jika bertambah-tambah daripadanya maka jadinya "shifaf" ya‘ni sangat kasih serta berbangkit hangat dalam hati dan tertununya serta didapat ladhat yang dikasihnya.
- Dan jika bertambah-tambah daripadanya maka jadi "law‘ah" iaitu berbangkit-bangkit hawa yang sangat hangat dalam hati.
- Dan jika bertambah daripadanya maka jadi akan "jawā" iaitu berbangkit hawa yang bāṭin daripada sangat rindu dendam hingga datang kedukaan.
- Dan jika bertambah-tambah daripadanya maka jadi akan "tatayyam" iaitu rindu yang sangat hingga jadi hamba bagi yang dirindukan.
- Dan jika bertambah-tambah daripadanya maka jadi akan "tablun", iaitu hawa yang sangat hingga jadi kesakitan tubuhnya.
- Dan jika bertambah-tambah daripadanya maka jadi akan "al-walhu", iaitu rindu yang sangat yang jadi hilang akal dengan sebabnya.
- Dan jika bertambah-tambah daripadanya maka jadi akan "hayyam", dan "hā’im" pun namanya, iaitu orang yang sangat rindu dendam hingga jadi hilang dan berjalan-jalan kepada barang ke mana-mana.
_
Saya masih belum baca laporan penuh yang telah di keluarkan oleh pihak hospital. Secara sepintas lalu, laporan menyebut saya gagal mengawal tekanan perasaan sebagai akibat pasangan berlaku curang. Tekanan yang tinggi boleh menyebabkan saya hilang kewarasan dan mampu bertindak di luar kawalan. Jadi saya perlu menjalani rawatan.
Walaupun sakit di hati masih pedih dan belum hilang sepenuhnya, saya masih merinduinya seperti masa-masa lepas. Saya cuba sedaya-upaya membendung hati supaya kasih sayang tidak bertukar menjadi benci dan dendam kerana kebencian lebih parah akibatnya. Kebencian yang tidak di bendung mendatangkan mudarat bukan saja pada saya tapi pada orang lain.
Saya sendiri kadang-kadang tidak pasti sama ada mahu ketawa atau menangis pabila mengingat hal-hal silam. Mungkin kerana cinta pertama, bekasnya sukar di padam. Masih bersemi di dalam hati walaupun beribu orang mengatakan hanya lelaki dayus mengasihi pasangan yang berlaku curang. Saya tak ada penjelasan yang rasional untuk menjawab pertanyaan mereka.
Cinta itu sangat indah dan mententeramkan. Ia cinta pandang pertama, cinta zaman remaja, cinta yang mahu di bawa mati. Kata Jalaluddin Rumi “Mabuk cintalah kerana cinta itu adalah apa sahaja yang ada”. Saya barangkali bukan hanya mabuk cinta tapi gila kerana cinta seperti kata Rumi “Cinta yang terlihat cuma selintas dapat menjatuhkan hidup kita”.
Entah berapa hari dari sekarang orang yang saya cintai akan mengikat tali kasih dengan insan lain dan saya masih di sini. Bukan saya tak mahu bergerak terus ke hadapan tapi saya tak mampu. Seringkali saya mencuba dan saya gagal. Bagaimana cinta sebesar ini boleh berada dalam diri saya, saya sendiri tak tahu. Saya tiada jawapan.
Cinta ini terlalu manis untuk di lepaskan. Semakin hari semakin membawa mudarat pada diri tapi saya masih enggan melepaskan ia pergi. Saya tak mahu membohongi diri. Sudah berkali saya cuba, hati saya tetap mahukan dia. Hati saya masih memilih dia seperti kata pujangga “I choose you. And I'll choose you over and over and over. Without pause, without a doubt, in a heartbeat. I'll keep choosing you”.
Dan saya tak pernah menyesal mencintai dia walaupun pada dirinya telah terpadam semua memori tentang saya. Dia tak akan mengingati saya. Katanya, kalau boleh dia mahu Tuhan hapuskan segala kenangan tentang saya. Saya lelaki yang malang sekali. Malang kerana hilang segala-galanya dalam sekelip mata dan kini semuanya hanya tinggal kenangan.
Kupu-kupu ku hantar
menghuni perutmu, lenyap,
siapa telah datang mengusir mereka
hingga tersenyap?
― Karl Agan