Thursday, February 09, 2017

I always believe in you

Huda janganlah terlalu memikirkan kata-kata yang di lemparkan kawan-kawan. Daddy rasa Huda tak perlu fikirkan semua itu. Tugas Huda cuma melukis dan bukan menerangkan kepada orang lain apa yang Huda lukiskan. Seni lukis sesuatu yang abstrak. Apa yang ingin kita sampaikan pada orang lain belum tentu mereka faham. Jadi, Huda tak perlu bimbang kalau Huda tak mampu lafazkan dengan kata-kata mengenai lukisan yang sedang Huda siapkan. Bahasa seni lukis menurut Latiff Mohidin adalah bahasa senyap, bahasa diam, bahasa keheningan dan tugas pelukis menurut beliau hanyalah melukis. 

Secara jujurnya, daddy tak faham bahasa lukisan. Ia bahasa yang sangat halus dan daddy bukan berlatar belakangkan arts. Setiap hari daddy bermain dengan digit. Dunia daddy bukan dunia yang halus dan penuh kesabaran - dunia daddy memerlukan kepantasan, bijak membuat keputusan, pandai memilih dan cerdik mencari peluang. Setiap detik adalah duit. Setiap jam bernilai. Daddy juga beberapa kali mengambil risiko yang besar. Untuk maju ke hadapan kita perlu berani keluar daripada zon selesa dan mengambil risiko. Lebih besar risiko yang kita ambil, lebih terbuka luas potensi diri kita untuk berkembang maju.

Dunia Huda sangat berbeza dengan dunia daddy. Dunia Huda perlukan kesabaran yang maha besar. Pernah daddy lihat Huda siapkan lukisan di kanvas hampir seminggu lamanya. Daddy, kadang-kadang senyap-senyap memerhati Huda melukis. Ada kalanya hasil akhir tak seperti yang di impikan. Pernah juga daddy melihat Huda menangis di kertas kanvas. Huda perlu tahu usaha adalah satu proses yang panjang dan kadang-kadang melelahkan. Satu-satunya obor yang mampu menyalakan semangat kita adalah passion yang ada pada diri kita. Orang yang mempunyai passion tak akan menyerah kalah. 

Semua antara kita mempunyai cabaran masing-masing untuk berjaya. Cabaran kita mungkin tak sama dengan orang lain tapi sama saja susahnya. Untuk sampai pada tahap kemuncak, kita akan melalui seribu satu kemungkinan. Kita perlu kerja keras. Daddy percaya pada work hard. Tak ada jalan singkat untuk berjaya. Kita perlu lakukan sesuatu yang luar biasa untuk dapatkan apa yang kita impikan. Perjalanan Huda baru bermula. Perjalanan masih panjang untuk Huda tempuh di tahun mendatang. Huda perlu kuat, kental, tebal telinga, sanggup berkerja keras dan sanggup bersusah-payah demi mencapai apa yang Huda hajati. 

Kalau Huda hendak berjaya, Huda perlu punya impian yang besar. Punya hati yang besar. Punya mimpi yang besar. Punya jiwa yang hebat. Kalau cakap-cakap orang sudah buat Huda berasa kecil, Huda tak boleh berdiri sama tinggi dengan Mama sebab Mama punya jiwa yang kental, hati yang besar, impian yang menggunung tinggi. Mama tak pernah putus asa. Daddy tahu Mama work hard. Huda perlu belajar banyak dari Mama. Daddy rasa, sekadar cakap-cakap orang, Mama tak ambil peduli. Dia tahu apa yang dia mahukan dan dia berjuang untuk dapatkannya. Mama, kadang-kadang daddy lihat dia sangat feministdalam soal ini. 

Huda perlu hormati diri sendiri. Huda perlu percaya pada diri. Orang yang mempunyai kedua-dua sifat ini akan berjaya. Hormati diri sendiri sebelum kita mahu orang lain hormati kita. Percaya pada diri sendiri sebelum kita mahu orang lain percaya pada kebolehan kita. Setiap hari adalah hari yang baru untuk Huda kembangkan bakat. Tak kira betapa lambat proses yang Huda ambil, itu lebih baik dari tiada perkembangan. Salah satu petikan yang daddy suka dari Petua Konfusius ialah “Tidak penting berapa lambat kau berjalan selagi kau tidak berhenti berjalan sama sekali”. Ingat juga kata Konfisius bahawa “Orang yang upaya mengalih gunung bermula dengan membuang batu kecil”

Jadi, jangan menangis dan terus melukis. Daddy belikan kertas dari Tibet. Kertas yang berkualiti. Huda cubalah guna. Kalau Huda selesa dan suka kertas Tibet, nanti daddy belikan lagi. Daddy sengaja tak jumpa Huda sebab daddy akan outstation selama 14 hari. Kalau daddy datang jumpa Huda, tentu daddy susah hati nak tinggalkan Huda. Mungkin daddy pergi lebih daripada 14 hari. Mungkin 3 minggu. Huda jaga diri, ambil berus dan terus melukis. Bulan Mac nanti kita akan pindah ke Kenny Hills. Daddy akan sediakan sebuah studio untuk Huda melukis dengan peralatan lengkap. Huda jangan putus asa. Selalu ingat, I always believe in you.


Daddy
10.02.17
1.45am