Monday, January 16, 2017

Dinner with Yasmin

Terasa segar dan sihat setelah membuat rawatan spa. Ambil tiga pakej; therapeutic massage, aroma shell release, dan power lift facial yang setiap satu sesi mengambil masa kira-kira 1 jam 20 minit. Spa ini sangat cantik dengan interior design yang amat mengagumkan. Terdapat pelbagai pakej yang di tawarkan dengan caj sekitar £165 untuk setiap sesi. Sebelum pulang, ahli terapi nasihatkan supaya selalu bermeditasi. Katanya badan terlalu stres dan perlukan rehat yang banyak. 

Selesai sesi spa, bergerak ke kedai gunting rambut. Seperti bulan lepas, gaya pompadour masih di kekalkan cuma kali ini pompadour fade with hard part + defined lines menjadi pilihan. Bila usia menganjak 40an, rasanya lebih manis jika wajah di hiasi jambang nipis/halus. Jambang nipis/halus menampakkan sisi matang seorang lelaki dan kelihatan lebih maskulin. Entah kenapa sejak dahulu tak pernah berminat untuk menyimpan janggut walaupun ia adalah sunnah Nabi. 

Berjanji dengan Min untuk makan malam di rumahnya. Oleh itu, singgah di butik William Hunt dan beli sepasang suits - The Ashmore Classics Dinner Jacket in Navy Geometric Pattern with Purple Hugh. Selepas butik William Hunt, ke Harrods dan beli sepasang lagi suits. Setelah hampir sejam membuat pilihan, akhirnya memilih Dolce & Gabbana - Wool Martini Fit Three Piece Suit untuk di pakai pada acara dinner syarikat nanti. 


* * *

Sampai di rumah Min jam 9.00 malam. Makanan telah pun terhidang di atas meja. Kehadiran di sambut mesra oleh bonda Min. Nampaknya malam itu dia sangat gembira bila di hadiahkan sejambak bunga lavender. Katanya, dia sudah lama tidak menerima jambangan bunga sejak arwah suaminya meninggal dunia kira-kira 20 tahun lepas. Suaminya pada fikiranku, adalah seorang suami yang amat menghargai isteri kerana kerap menghadiahkan bunga sebagai lambang ketelusan hati.

Masakan malam itu sangat sedap terutamanya sup kambing. Sudah lama rasanya tak makan sup kambing sesedap ini. Orang kata, sup kambing dapat menyegarkan tubuh yang lesu dan keletihan. Banyak juga hidangan malam itu terutamanya menu dari Turki. Tentulah bonda Yasmin mahir memasak masakan Turki kerana dia berkahwin dengan lelaki Turki yang menurutnya amat gemarkan makanan. 

Kami berbual panjang malam itu dan tentu sekali sedikit sebanyak menyentuh hal peribadi masing-masing. Banyak yang kami bualkan sebenarnya; dari satu topik ke satu topik yang lain - tentang percintaan, perpisahan, karier, dunia global dan tentu sekali tentang Yasmin. Aku berterus terang memberitahunya bahawa aku menganggap Yasmin sebagai kawan, kawan yang sangat baik dan senang di dampingi supaya dia tidak tertanya-tanya. 




Hyde Park,
6.05 am
16-01-17