Menghabiskan seharian suntuk di Disneyland. Bila melangkah keluar badan mula terasa penat. Hentian seterusnya ambil keputusan untuk tidak tidur di khemah tapi menyewa sebuah bilik di motel berhampiran. Badan terlampau penat untuk memandu dan memasang khemah apatah lagi untuk masak makan malam. Tinggal di motel lebih selesa dan dapat rehatkan badan secukupnya.
Mujurlah dapat sebuah bilik - bilik yang agak kecil untuk menampung 4 orang tapi itu tak menjadi masalah bila diri terasa amat letih. Selesai makan malam anak-anak tidur bergelempangan akibat kepenatan. Disneyland benar-benar menjual keseronokan. Pelbagai permainan tersedia untuk di nikmati. Anak-anak bergembira dengan hampir semua permainan yang ada di Disneyland dan mereka kata ingin datang lagi.
_ _ _
Pagi tadi pergi dobi untuk cuci pakaian. Cadangan awal ingin mencuci di sungai bila tiba di hentian (tapak khemah) seterusnya. Ada baiknya juga menggunakan mesin kerana dapat jimatkan masa dan tenaga serta pakaian tidak rosak. Mungkin di hentian akan datang akan mencuci di sungai bila berkhemah nanti. Buat masa ini lebih mudah gunakan mesin.
Seperti biasa, balut buku yang sudah di baca sepanjang perjalanan untuk di pos ke Ipoh. Kalau simpan terlalu banyak buku agak susah untuk bergerak dan tentu akan ada masalah semasa ambil penerbangan nanti. Kebiasaannya hanya buku yang baru di beli akan di bawa bersama. Apa saja barang yang sudah di gunakan/tak mahu di gunakan lagi akan di pos ke rumah bagi mengelakkan beg menjadi berat dengan bebanan yang tak perlu.
_ _ _
Akan bergerak ke San Francisco untuk melihat mercu tanda San Francisco iaitu Golden Gate Bridge secara dekat. Tentu saja akan berjalan-jalan di sekitar kota yang cantik ini sambil menikmati pemandangan yang indah. Bercadang juga melawat Alcatraz Island yang terkenal dengan Penjara Alcatraz melalui penjenayah bernama Al Capone dengan menaiki feri. Tentu saja selepas itu akan singgah di Fisherman's Wharf untuk lihat sea lion secara dekat. Secara jenakanya orang kata kita hidup bukan untuk bekerja dan bayar bil sahaja tapi untuk menikmati hidup.
Maybe the journey isn’t so much about becoming anything. Maybe it’s about unbecoming everything that isn’t really you so you can be who you were meant to be in the first place. - Unknown