Baru balik dari pelantar minyak. Cabaran paling utama ialah rindukan anak! Talian telefon di pelantar tak jelas (kerana menggunakan sambungan satelit). Banyak bunyi bising dan talian mudah putus. Pergi pelantar 5 hari. Dapat bercakap dengan anak cuma dua kali. Adam paling kuat merenggek. Dengar Adam menangis rasa nak terbang balik rumah. Tapi kerja...tak dapat buat apa-apa selain bersabar.
Dalam perjalanan balik ke Ipoh, kereta terlanggar tayar lori yang di tinggalkan di tengah jalan. Habis bahagian depan kereta. Manusia di Malaysia agaknya memang kurang kesedaran sivik dan selalunya kurang sikap bertanggungjawab. Dan PLUS pula tak tahulah mereka buat kerja dengan betul atau tidak. Sudah banyak kali kejadian seperti ini berlaku (malah kerap berlaku) dan seperti tiada tindakan susulan. Sudah buat laporan di balai polis dan bawa kereta ke bengkel. Salinan laporan sudah di hantar ke PLUS. Tak tahulah mereka akan bayar ganti rugi atau tak.
Ketika sampai di rumah, tersepak kayu. Jatuh dan terseliuh. Sepatutnya esok penerbangan ke New York. Terpaksa di tangguhkan. Terseliuh, tak dapat buat apa-apa kecuali berehat. Makcik Siti tak bagi banyak bergerak. Sudahlah kena minum air akar kayu. Selalunya perempuan bersalin saja minum air akar kayu. Tak tahu terseliuh pun kena minum juga. Punyalah pahit tapi kena telan juga sebab Makcik Siti tunggu sambil cekak pinggang. Kalau tak habis nanti mahu kena bebel sampai tengah malam.
Umar hadiahkan BlackBerry Passport dan Motorola klasik. Umar cakap dia bagi Motorola klasik sebab daddy dia suka barang antik (sabar banyak dengar alasan Umar!). Beli sim kad Celcom (Umar cakap daddy kipas mati Celcom). Belum sempat ke Celcom Centre untuk aktifkan semula nombor lama (itu pun kalau boleh di aktifkan semula). Taklah selalu tengok skrin sebab tahu nombor baru. Tak mungkin dapat SMS dari sesiapa. Tapi taklah dapat di nafikan sesekali terasa lain juga bila check inbox.
_ _ _
Petang tadi hujan lebat berserta guruh dan kilat. Saya teringatkan awak. Awak selalu takut dengan kilat dan guruh yang berdentum kuat. Biasanya, kalau saya ada, saya yang akan tenangkan awak. Saya tak suka awak menangis sebab takutkan guruh tapi jarang sekali awak tak menyorok bawah bantal, dalam selimut bila kilat sambung-menyambung. Saya rasa awak comel sangat bila menangis takutkan guruh. Saya selalu tak percaya awak takutkan bunyi guruh (maklumlah awak iron lady). Tapi itulah hakikatnya. Awak takut guruh.
Malam tadi saya mimpikan awak. Awak bercakap baik-baik dengan saya. Selalunya awak suka marah-marah, selalu garang. Saya tak faham kenapa awak suka marah saya. Walhal sebenarnya saya yang patut marah-marah dan garang. Ini tidak, terbalik. Agaknya saya rindukan saat awak bercakap baik-baik dengan saya. Tak garang, tak marah-marah, tak keluarkan perkataan yang pedas dan menyakitkan hati saya. Tapi itu cuma dalam mimpi dan saya pun tak berharap akan jadi kenyataan. Saya sebolehnya cuba mengelak dari menulis tentang awak tapi kadang-kadang (selalunya) tak berjaya.
Saya belum delete emel yang awak hantar. Belum lagi delete lagu yang kita kongsi. Saya tak ada habit baca emel lama. Saya tak ada habit baca catatan lama. Cuma kadang-kadang saya buka emel dan baca mana-mana emel yang awak hantar. Kebanyakan emel ketika awak berada di luar negara. Ada emel yang buat saya senyum. Ada emel yang buat saya sedih. Satu emel ada pelbagai perasaan. Dalam hidup, saya tak pernah gagal. Tapi tahun lepas saya gagal. Saya mengalami kekalahan yang teruk. Saya gagal bila awak ambil keputusan untuk tinggalkan saya. Inilah kali pertama saya rasa sesuatu yang amat pedih, amat menyakitkan hati.
Lama tak sentuh buku pantun. Sejak awak tak ada, saya rasa malas pula nak baca pantun. Agaknya saya rindu nak bagi awak pantun. Bila saya bagi awak pantun, biasanya awak cuma gelak kemudian senyum. Saya rasa itulah saat yang paling saya rindu tentang awak sebab awak manja jadi awak selalu mengada-ngada. Saya orang lama. Saya tak pandai cakap I love you. Saya malu. Kalau bagi awak pantun, taklah rasa malu sangat. Saya tak ada kawan nak bergosip. Saya tak ada kawan nak mengusik. Rasanya saya hilang kekasih dan kawan baik. Masa tak boleh di undur. Saya tak tahu apa khabar awak sekarang. Saya harap awak hidup lebih gembira dari dulu.
Raden Galuh menyebut nama,
Bergelar Cekel Waneng Pati,
Sakitnya rindu terlalu lama,
Tidak tertahan rasanya hati.
Cenderawasih burung yang sakti,
Singgah menghinggap di atas karang,
Kasih berputik di dalam hati,
Dari dulu sampai sekarang.
Watu terdiri mengarah awan,
Jadi sembah raja berhala,
Ingat kakanda padamu puan,
Selama-lama tak boleh lupa.