Monday, May 18, 2015

Nuha

Perkara yang selalu di buat di perpustakaan adalah melihat susunan buku. Melihat susunan buku yang sama walau berulang kali tak pernah memenatkan. Tak mencari sebarang buku khusus. Sengaja singgah di library setelah menghantar anak-anak ke pusat latihan atau sebetulnya cuba - menjalani - rutin - harian - seorang - ayah yang - sibuk - menguruskan -anak-anaknya.

Waktu pagi tak begiu ramai orang. Sedang ralit mencari buku, terpandang seorang perempuan (cantik!) sedang mencari buku. Entah kenapa mata (seperti biasa tak mahu terlepas memandang (satu pembaziran kalau tak memandang hahaha) perempuan yang sedang membelek-belek buku di rak. Memerhatinya antara deretan buku yang tersusun. Dia sungguh manis. 

Cuba menjadi seorang gentleman dengan (tolong) mengambil buku di rak paling atas. Tak ingat pula buku apa yang di capai (sebab terlalu teruja (hmm) melihat perempuan - bad habit yang masih gagal di buang). 

“Saya tolong ambilkan”
“Terima kasih”
“Selalu ada kerusi panjat. Tak nampak pulak. Selalu datang sini?”
“Kadang-kadang”
“Nah. Buku ni berat. Pegang elok-elok”
“Terima kasih. Encik tak pelik tengok orang buta cari buku?”
“Eh?”

Nama dia Nuha dan dia cacat penglihatan. Setelah duduk-duduk di Ipoh Padang sambil makan rojak, balik rumah dengan seribu kesyukuran. Masih ada mata walau pernah nyaris-nyaris jadi buta kerana kanser. Waktu bertemu Nuha, dia tak memegang tongkat dan tak memakai kaca mata hitam (tentu nampak pelik kalau dia memakai kaca mata hitam di dalam library). 

Kata Nuha, dia suka pergi library. Dia suka ‘melihat’ buku dan bergaya seolah-olah sedang mencari buku khusus untuk di baca/pinjam. Kata Nuha, orang tentu pelik melihat perlakuannya tapi dia tak kisah. Hendak bertukar e-mel tentu tak boleh. Hendak bertukar nombor telefon, handphone pun tak beli lagi tapi ambil jugalah nombor Nuha. Mana tahu kalau-kalau rasa hendak telefon dia nanti.

“Nuha yang manis, selamat berkenalan. Jalan baik-baik. Saya balik dulu”
“Ya, selamat berkenalan. Sweet talker. Bahaya” 


Dan senyum sepanjang hari.