Wednesday, February 18, 2015

Iron Lady

Sejak 3 atau 4 hari lepas, mimpi buruk datang hampir setiap malam. Mulanya ia sekadar mimpi biasa hinggalah di akhiri dengan sesuatu yang dahsyat. Sudah tidak berhubungan agak lama namun mimpi tentang dia masih ada. Mimpi yang tidak menyenangkan. 

Untuk bertanya secara berlebihan rasanya sudah tidak relevan lagi memandangkan kita sudah jadi orang asing. Namun kegelisahan yang awak rasakan ‘sampai’ juga kepada saya melalui mimpi-mimpi ngeri yang datang saban malam. 

Saya cuba untuk hulurkan tangan tapi rasa seakan tidak perlu/tidak manis atau sebetulnya huluran tangan saya tidak begitu bermakna seperti waktu dulu. Tapi saya yakin saat ini hanya saya yang awak fikirkan untuk leraikan kekusutan fikiran (dan hati awak).

Kita pernah melalui episod yang lebih parah. Ya, waktu itu ‘kita’. Berdua, kita selalu rasa kuat. Kita ada antara satu sama lain. Berdiri sendiri tak sama sewaktu kita berdua. Bila berdua, emosi kita semakin kuat. Kita susah untuk rebah kerana yang seorang lagi akan cuba memapah supaya kita tak jatuh ke tanah.

Doa saya agar segala ribut yang melanda diri dan hidup awak akan cepat pulih. Saya nak awak tahu untuk setiap perkara sukar yang awak lalui, saya ada, cuma adanya saya hanya di balik tabir. Saya selalu ada dengan awak.

Sayang, bila kita semakin dewasa, cabaran yang datang sesuai dengan usia kedewasaan kita. Abang tahu awak kuat. Awak perempuan besi. Perempuan tahan di uji. Jangan pernah merasa penat dengan hidup. Tak kisahlah apa yang terjadi, hadap apa saja yang ada.

Awak iron lady abang. Jangan tunduk pada dugaan.



Lyme Park, Manchester
17 Feb 2015