Saturday, August 31, 2013

Bakeri



1.

Awak comel. Macam roti-roti yang awak masak. Sedap macam awak juga. Kalau awak buka bakeri, tentu dapat sambutan. Lagipun tak banyak bakeri yang di miliki oleh orang Melayu/Islam. Kebanyakan bakeri di miliki oleh orang Cina. Kalau awak minat dengan dunia bakeri dan bersungguh-sungguh tentu awak boleh berjaya. Apa salahnya seorang doktor membuka bakeri? Awak tahu, bukan semua orang pandai membuat roti yang gebu, lembut dan cukup rasa.


2.

Kalau kedai makan/kafe, sudah ramai orang menceburinya. Tapi bakeri tidak. Peluang pasaran juga besar. Kita boleh cuba jual online kemudian bergerak perlahan-lahan membuka sebuah bakeri. Seorang penulis novel terkenal, Faisal Tehrani juga mempunyi bakeri. Bakeri Rindu Ali nama perusahaannya. Raya yang lalu dia membuat dan menjual biskut raya. Nanti bila tiba perayaan, awak juga boleh jual biskut raya. Awak pandai buat semprit & tat nenas. Saya rasa awak super woman. Awak pandai masak macam-macam makanan.


3.

Saya harap awak tak give up. Urusan perpindahan tempat kerja memang mengambil masa yang agak lama. Kita tinggal di Malaysia, sayang. Urusan di sini banyak birokrasi. Sabarlah. Sampai masa nanti pasti awak dapat penempatan yang baru. Untuk menunggu perpindahan, awak boleh buat macam-macam perkara. Awak boleh cuba pelbagai resepi. Awak boleh baca novel, awak boleh study dan awak boleh duduk-duduk dengan saya tanpa buat apa-apa. Saya nak awak tahu, apa pun yang awak buat – saya bangga dengan awak.

xoxo

Friday, August 30, 2013

Bob, Gimbo & Rosabella



1.

Umar cuba pujuk Adam dengan membuat kek coklat. Mula-mula Adam tak mahu turun. Adam lari bila nampak Umar. Tapi akhirnya Adam turun juga makan kek coklat. Adam kata “Sedap tapi hangus”. Dan semua orang gelak. Umar tak akrab dengan dapur. Umar tak minat masak. Adam suka masak. Selalu menyelit bila Huda ke dapur. Selain main tepung dan kacau Huda, Adam suka tidur di bawah meja makan atau dalam kabinet.

Selepas makan kek coklat Umar ajak Adam lepak di balkoni sambil tengok hujan. Adam suka tengok hujan. Tengok hujan sambil minum coklat panas sangat membahagiakan buat Adam. Umar minum kopi o’ di cicah biskut. Dan mereka dengar lagu klasik yang di mainkan melalui piring hitam. Tak dengar pula mereka bercakap. Masing-masing cuma diam dan memerhati hujan. Sebenarnya hubungan mereka belum pulih sepenuhnya.


2.

Malam tadi gantung bendera. Rumah Bob pun Adam letak bendera. Bob sudah tinggal di sini bersama isteri dan dua ekor anaknya (yang belum di beri nama). Adam kata Bob tak ada tempat tinggal. Kawasan Bob tinggal telah di musnah untuk di bina perumahan. Saya pun tak pasti bagaimana Bob berinteraksi dengan Adam atau Adam memahami bahasa Bob atau seperti kanak-kanak lain Adam berimaginasi Bob bercakap-cakap dengannya. 

Pak Mad sudah siapkan rumah Bob. Tapi nampaknya Bob lebih suka “ambil angin” di luar. Bila Bob ada, Adam lebih suka habiskan masa dengan Bob. Semalam, Bob juga makan kek coklat yang di masak Umar. Rasanya hampir semua makanan, Adam akan kongsikan dengan Bob (isteri & anak-anak Bob belum biasa makan makanan yang Adam makan). Minggu lepas Bob makan nasi lemak dan aiskrim. Harap-harap Bob tak makan kucing jiran sebelah rumah.


3.

Umar dapat empat ekor anak kucing yang comel. Umar membebel panjang selepas balik dari Krabi sebab Rosabella beranak lagi. Umar cakap dia tak nak jual anak kucing yang comel ini. Katanya nak bela. Tapi kalau ada orang nak beli dengan harga yang mahal – Umar akan jual. Baru-baru ini Umar dapat komisyen. Dia jual kereta Proton Perdana dan dapat komisyen sebanyak RM 3000. Seribu ringgit telah di gunakan untuk beli makanan dan mandian kucing.

Anak-beranak Gimbo pun dah banyak. Tak lama lagi boleh jual. Malam tadi, selepas pasang bendera kononnya hendak menonton dokumentari tentang Darurat tapi tak jadi. Anak-anak kucing masuk dalam rumah sebab sejuk (malam tadi hujan lebat). Bob pun masuk juga. Umar lepaskan Gimbo. Gimbo takut nak “berkawan” dengan anak-anak kucing dan Bob. Gimbo asyik menyorok. Agaknya sebab takut dengan Bob. 

Dah ada “semua” siapa lagi nak menonton dokumentari. Akhirnya menonton kartun. Adam tak menonton. Dia asyik tengok anak-anak kucing.

Thursday, August 29, 2013

Adam tak sayang daddy?



1.

Adam lari dari rumah pagi tadi. Semalam Umar marah Adam. Umar cakap Adam letak anak kucing dia dekat Bob. Umar risau Bob makan anak kucing dia. Adam cakap dia kesiankan anak kucing. Hujan lebat, Umar lupa letakkan anak kucing dalam rumah. Anak kucing kesejukan. Adam cuma bantu anak kucing supaya “tak demam”. Untuk “panaskan” anak kucing, dia letakkan dekat Bob. Umar mengamuk sakan.

Adam betul-betul merajuk. Adam cakap Umar tak sayang dia. Adam cakap Umar tak macam “abang kucing sayang adik kucing”. Umar tak nak main bola dengan dia. Umar buat tak tahu dengan dia. Adam merajuk. Adam kemas beg. Adam cakap nak pergi rumah Daud. Adam minta hantar dia pergi sana. Semalam lepas pujuk Adam, Adam nampak okey. Tapi pagi tadi Adam lari dari rumah. Adam bawa beg berisi baju, seluar, kasut & botol susu. 

Adam cakap dia tak nak duduk sini lagi...


2.

Semuanya salah faham dan Umar sudah pun minta maaf tapi Adam belum beri respon. Adam nak Umar layan dia macam adik. Tapi Umar memang tak pandai layan Adam macam adik. Umar tak manjakan Adam. Umar memang sayang Adam dengan cara dia tersendiri. Umar akan beli aiskrim, coklat, pau, roti dan macam-macam benda untuk Adam. 

Agaknya kerana dia selalu berkawan dengan orang yang lebih dewasa, Umar jadi kaku bila dengan Adam. Umar tak banyak kawan sebaya. Dia lebih selesa bergaul, berkawan, berborak dengan orang-orang tua. Umar sayang Adam. Bila Kak Ain minta nak bawa Adam pergi Jepun temankan Daud, Umar tak bagi. Kak Ain provok macam-macam. Sampai sudah Umar tak cakap pun dia sayangkan Adam. Mata dia basah tahan perasaan. Dia tak nak Adam pergi mana-mana.

Seharian rumah senyap. Kalau Adam nampak Umar dia terus lari masuk bilik.


3.

Daddy harap semuanya akan okey. Daddy betul-betul harap Umar dan Adam akan berbaik semula. Dalam keadaan daddy yang semakin lemah, dan baru pulih dari sakit yang teruk sejak beberapa minggu lepas, daddy memang harap Umar dan Adam tak bergaduh lagi. Daddy tak boleh nak sebelahkan sesiapa. Daddy sayang dua-dua. Dua-dua pun anak daddy. Dua-dua pun ada keistimewaan tersendiri. 

Adam...jangan lari lagi. Adam tak sayang daddy?

Saturday, August 24, 2013

Adam & Mimpi



Adam: Daddy! Daddy! Daddy!
Daddy: Laa..kenapa awal sangat bangun ni? Nak susu lagi eh?
Adam: Adam takut...
Daddy: Adam takut apa ni? Meh dekat daddy.
Adam: *peluk daddy kuat-kuat* Adam takut monster.
Daddy: Oooo... Adam mimpi ye. Mana ada monster.
Adam: Daddy, mimpi tu apa?
Daddy: Masa tidur ada gambar macam-macam tu.
Adam: Kenapa ada gambar, daddy? Gambar datang dari mana?
Daddy: Daddy pun tak pastilah Adam. Kita tidur eh?
Adam: Daddy, Adam boleh nampak macam-macam gambar bila Adam tidur?
Daddy: Boleh! Apa-apa gambar pun Adam boleh mimpi.
Adam: Macam mana Adam nak mimpi Ultraman daddy?
Daddy: Daddy pun tak pasti. Kita mana boleh pilih mimpi.
Adam: Kenapa tak boleh pilih gambar?
Daddy: Daddy pun tak tahu. Gambar tu memang ada bila kita tidur.
Adam: Kenapa memang ada gambar daddy?
.
..
...
....
.....
Daddy & Adam bercakap tentang mimpi sampai azan Subuh.

*Betul orang kata. Kalau nak tahu kita cerdik ke tidak cuba “bercakap” dengan kanak-kanak berumur 2 tahun. 

Terbukti benar.

Wednesday, August 14, 2013

Cinta pertama selalunya indah



1.

Bulan Mei berat naik 1KG. Bulan Jun naik 1KG lagi. Hasil makan biji aprikot. Tapi bulan Julai berat turun 3 kilogram. Mungkin sebab bulan puasa. Tak ada good news lain kecuali berat naik beberapa bulan lepas dan hari ini berat turun kembali. Doktor kata perlu buat kimoterapi selewat-lewatnya bulan depan. Kimoterapi tak pernah menyeronokkan...

Melihat orang mati sebab kanser sesuatu yang memedihkan. Sesuatu yang sukar untuk di ungkap dan perkatakan. Melihat orang terlantar sakit juga sesuatu yang memeritkan. Dua atau tiga tahun lepas doktor mengatakan bahawa masa yang tinggal antara 6 – 12 bulan. Tapi hari ini, masih hidup walaupun nyawa-nyawa ikan. 

Hidup segan mati tak mahu.


2.

Kadang-kadang saya tertanya-tanya adakah saya masih berlegar-legar di dunia ini bila saya sudah mati nanti dan melihat orang-orang yang saya cintai. Agaknya saya terpengaruh dengan filem-filem yang pernah saya tonton. Ia sesuatu yang menyeksakan. Melihat orang yang kita sayang dari jauh dan dia tak mampu melihat kita kembali. 

Melihat dia menangis dan kita tak mampu mengesat air matanya atau sekurang-kurangnya memberi satu pelukan hangat untuk meredakan kesedihan. Sayang, kalau boleh saya tak mahu di bekukan dan di letakkan dalam balang kaca. Saya tak mahu dan tak mampu melihat awak bersedih (menangis) kerana teringatkan saya.

Ia suatu yang menderitakan.


3.

Jadi, saya tak nak awak bekukan saya dan letakkan saya dalam balang kaca. Kita akan sama-sama lebih derita. Saya tak mahu awak habiskan seluruh usia awak mengenangkan saya. Mengenangkan kasih sayang kita. Ada banyak perkara yang kita harap kita boleh ubah tapi kita tak mampu nak ubah apa-apa. Kita cuma mampu menulis di atas kertas segala yang kita mahu. Tapi, bukan semua yang kita mahu kita akan dapat. 

Banyak perkara yang kita mahu dan kita tak dapat.


4.

Cinta pertama selalunya indah dan awak adalah keindahan dalam hidup saya.



Krabi 
130813