1.
Jam 4 pagi tadi
bersama-sama beberapa kumpulan remaja memberi makanan kepada geladangan sekitar
Ipoh. Tidaklah begitu ramai homeless
di sini. Saya masih tak dapat mengingati nama remaja ini. Mereka menawarkan
diri. Sebenarnya, mereka tak tidur malam kerana merempit. Mereka jugalah yang
membawa beberapa krew lain ke tempat-tempat yang di kenal pasti mempunyai homeless.
Remaja-remaja
ini tidaklah begitu teruk. Mereka mungkin memberontak dengan sistem kehidupan
dan sistem persekolahan yang begitu mendesak mereka menjadi cerdik pandai
seperti rakan-rakan sebaya yang lain. Mereka terlampau di desak untuk belajar
bagi menjamin mutu kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan. Dari apa yang
saya tahu, memang tidak ada dalam kalangan remaja di flat ini yang dapat menyambung
pembelajaran hingga ke universiti.
Universiti bukan
satu-satunya platform untuk kita belajar. Terdapat individu yang berhenti
belajar dan membuat sesuatu dalam kehidupan mereka. Mereka menjadi pelukis
jalanan, pemuzik, dan sebagainya. Mereka tidak lagi terikat dengan sistem
kehidupan yang menekan dan mementingkan material. Kehidupan kita, kita sendiri
yang mencorakannya. Sungguhpun begitu, setiap manusia memerlukan kekuatan dan
keberanian untuk keluar dari sistem kehidupan “normal” – sistem kehidupan yang
di ikuti/di praktis oleh hampir seluruh masyarakat.
2.
Beberapa remaja
ini juga memberitahu saya tentang kekuatiran mereka untuk menjadi seorang
dewasa, tentang kehidupan di masa hadapan dan pelbagai lagi. Nampaknya, remaja
yang masyarakat sifatkan sebagai tidak berguna ini bukanlah tidak berguna dan
tidak langsung berfikir. Mereka berfikir dan kuatir cuma mereka tidak tahu
memulakan langkah pertama. Langkah pertama untuk mengubah perangai, tingkah
laku, pemikiran dan pandangan mereka tentang hidup.
Saya di besarkan
dalam kalangan keluarga elit. Memandangkan saya datang dari keluarga begitu,
tentu sahaja saya di larang bergaul dengan remaja begini ketika saya masih
remaja. Keluarga saya tidak mahu saya dan adik-beradik yang lain terpengaruh
dan terjebak dengan kegiatan yang tidak bermoral dan saya amat memahami tujuan
baik mereka. Oleh sebab saya bersekolah di sekolah yang juga terkenal dengan
elitnya, maka saya tidak pernah mempunyai kawan-kawan dalam kalangan
remaja-remaja begini.
Saya tak mahu
mendidik anak-anak saya membezakan manusia dalam kehidupan mereka. Saya mahu
anak-anak saya bergaul dengan keseluruhan masyarakat. Saya tidak mahu anak-anak
saya mempunyai tanggapan/pandangan terhadap seseorang sebelum mereka mengenali
individu. Saya tak mahu mereka menghakimi orang lain. Saya tidak mahu anak-anak
saya menjadi Tuhan dan mengadli orang lain walaupun individu itu di sifatkan
paling jijik dalam masyarakatnya. Saya mahu mereka belajar bahawa menghakimi
seseorang bukanlah jalan penyelesaian untuk menyelesai pelbagai masalah sosial.
3.
Saya berjaya
hari ini kerana usaha didik keluarga. Dan tidak sesekali saya menyalahkan
mereka sungguhpun didikan mereka tidak begitu serasi dengan saya. Sejak dari
sekolah, semuanya di tentukan keluarga. Bermula dari sekolah, aliran yang akan
di ambil, bahasa asing yang di pelajari, sukan yang di ceburi hampir semua di
tentukan oleh keluarga. Mungkin mereka menjaga prestij keluarga. Mungkin juga
kerana mereka beranggapan bahawa saya tidak mampu membuat keputusan sendiri.
Mungkin juga mereka beranggapan bahawa saya tidak matang dalam membuat
perancangan untuk masa hadapan.
Saya tidak
pandai memberontak. Saya ikutkan sahaja segala yang di aturkan oleh keluarga.
Saya tidak di berikan apa-apa pilihan ketika itu. Semuanya telah di tentukan.
Tapi saya tak pernah menyesal walaupun saya tidak begitu menyukai sekolah elit
tersebut (misalnya). Di sekolah itu saya belajar “berniaga” secara haram –
menjual rokok, maggi, dan dan sekali-sekala menjual benda-benda haram yang lain
yang boleh di klasifikasikan sebagai 18PL (ketika itu sekadar suka-suka tapi
sekarang agak menyesal juga). Saya mendapat untung yang agak lumayan. Jika
melihat latar belakang, ramai yang tidak percaya saya berniaga secara haram di
sekolah dulu. Seperti yang saya katakan, saya datang dari keluarga elit.
Mencari duit
poket sendiri memberi satu kepuasan. Hasil berniaga selama 5 tahun saya dapat
mengumpul sekitar RM 7000. Itu belum termasuk yang sudah saya belanjakan.
Keuntungan ini saya gunakan sebagai modal awal untuk berniaga di universiti.
Ketika di universiti, untungnya lebih besar. Hasil itu saya gunakan untuk
memulakan perniagaan yang saya punyai sekarang. Dengan keuntungan itu jugalah
saya meneruskan kehidupan di kampus tanpa mengharap wang dari keluarga (anak
lelaki harus pandai berdikari!). Saya pelajar tajaan, jadi masalah pembayaran
yuran memang tidak ada.
Kerana enggan
bekerja dengan pihak yang menaja, saya terpaksa membayar wang tajaan yang telah
di biayai. Dan, ya, saya berhasil membayarnya dalam tempoh setahun enam bulan
(rasanyalah). Ketika itu saya sudahpun berada di tahun kedua pengajian peringkat
sarjana. Agaknya, ketika di kampus dulu saya lebih banyak berniaga melebihi
belajar (bila di fikir-fikirkan kembali). Saya tak begitu bergiat aktif dalam
apa-apa persatuan. Cuma saya amat suka menghadiri sebarang forum, syarahan
perdana dan diskusi. Saya langsung tak melibatkan diri dalam aktivisme (kerana
sibuk berniaga). Ketiga di tahun dua pengajian sarjana muda, saya sudahpun
memiliki sebuah syarikat bermodal kecil.
Saya tak berhenti
belajar kerana priority ketika itu
adalah belajar. Selepas tamat pengajian di tahap yang telah di tetapkan
keluarga barulah segala percaturan hidup, saya tetapkan sendiri. Saya di beri
ruang dan peluang sebebas-bebasnya untuk mencorakan hidup sendiri. Saya
percaya, setiap ibu bapa mahukan anak-anak berjaya walaupun kaedah yang mereka
guna kadangkala tak sesuai dengan anak-anak mereka. Tapi tujuan mereka baik.
Mereka mahu lihat anak-anak mereka mempunyai hidup yang baik walaupun hidup yang
baik belum tentu berkualiti. Sifat ibu bapa selalunya mereka yakin yang mereka
tahu segala walhal tidak.
Bila kita
sendiri jadi ibu bapa, barulah kita tahu susahnya mendidik anak. Ketika itu
barulah kita tahu bahawa setiap yang ibu bapa kita lakukan adalah untuk
menolong kita menentukan arah hidup kita walaupun “pertolongan” itu kadangkala “mengerikan”
(di paksa belajar, tak boleh berkawan dan sebagainya).
4.
Selamat pagi,
sayang. Abang dah keluar waktu sayang terlelap tadi.
Hospital Pantai
8:08 pagi