Tuesday, July 23, 2013

Kudrat saya tidak kuat lagi


1.

Hampir seminggu di wad. Hampir seminggu tidak berpuasa. Muntah darah, sakit kepala, batuk, selesema. Sepanjang di wad hanya tidur. Tidur yang kadang-kadang terganggu dengan tangisan, raungan manusia yang menangisi pemergian orang-orang tersayang. Melihat orang sakit memang menderitakan batin kita. Melihat kanak-kanak yang masih kecil mengidap penyakit menambahkan sebak di jiwa. Usia mereka sepatutnya di habiskan di padang permainan, bergembira, tetapi mereka terlantar derita. 

“Sesungguhnya akan Kami uji kamu dengan sesuatu (cubaan) iaitu ketakutan, kelaparan, dan kekurangan harta, manusia dan buah-buahan. Dan berilah khabar gembira buat orang-orang yang sabar” (Al-Baqarah: 155). 

Semua ini sudah tertulis. Setiap manusia akan di duga. Tidak ada yang terlepas. Umar membacakan surah ini sebelum tidur semalam. Membisik merdu di telinga tatkala sakit sendi mula menyerang. Bisikan merdu yang di susuli air mata. Anak kecil ini sudah faham erti derita.


2.

Program di Pulau Pinang berjalan tanpa penglibatan saya. Umar dan Don yang menguruskan segalanya. Mendengar Umar bercerita hampir 2 jam. Katanya mereka bergerak jam 3 petang seleps solat Jumaat. Sampai di Penang ketika waktu Maghrib. Mereka berbuka puasa di Masjid Negeri. Kemudian menunaikan terawih. Seterusnya bergerak ke tempat penginapan. Jam 4.00 pagi mereka bergerak untuk mengagihkan makanan sahur untuk geladangan di samping memberi selimut, pakaian dan tikar. 

Jam 8.30 pagi mereka sudah berada di rumah orang-orang tua. Beramah mesra dan bertukar cerita selama hampir 2 jam sebelum bergerak ke Pusat OKU. Ada sedikit aktiviti di sana. Jam 3.00 petang mereka bergerak ke rumah anak-anak yatim. Bermain, bertukar cerita, membaca bersama-sama hingga lewat petang. Kemudian berbuka puasa. Selepas solat Maghrib bergerak pulang ke Ipoh.

Umar kata di Pulau Pinang banyak geladangan dari Rohingya. Mereka ada di mana-mana. Ada yang sudah terlalu tua, ada juga yang masih bayi. Masalah bahasa menyebabkan Umar tak dapat banyak bertanya tentang situasi mereka. Umar kata dia hiba melihat orang tua, kanak-kanak dan wanita tidur di kaki lima bangunan.


3.

Kerja menyantuni geladangan tidak harus di lakukan sewaktu bulan Ramadhan sahaja. Ini tahun kedua kerja-kerja amal ini di lakukan. Sepuluh tahun lepas adik saya sudah melakukannya. Tidak saja di bulan Ramadhan malah sepanjang tahun. Bila dia meninggal dunia akibat leukimia, banyak aktiviti terhenti. Pusat-pusat yang di bangunkannya masih berjalan hingga hari ini. Bersama-sama kawan-kawannya yang lain dia memasak buat geladangan. Menyerupai gerak kerja FoodNotBomb. Mereka bergerak sekitar KL. Tidak lama selepas itu, sebuah pusat tuisyen di bangunkan untuk anak-anak orang miskin. Pendidikan percuma di berikan.

Malangnya, saya tidak pernah melibatkan diri.


4.

Hari Ahad pagi Umar sudah datang melawat. Matanya merah. Menangis kerinduan. Tidur lena di bahu saya dari pagi sampai petang. Tidur yang lena dan bahu saya keleguhan.  Banyak perkara yang mengusik jiwanya. Banyak perkara yang membuatkan dia resah. Dia semakin mengerti bahawa kehidupan antara manusia mempunyai pelbagai corak. Dia semakin memahami erti tanggungjawab. Tanggungjawab terhadap masyarakat. 

Minggu ini saya tak benarkan dia buat apa-apa aktiviti. Dia perlu berehat. Pusat komuniti masih berjalan seperti biasa. Saya masih belum berkesempatan berbual dengan remaja-remaja yang mengikuti program ke Penang tempoh hari. Masih juga belum membuat susulan program-program akan datang. Saya benar-benar berharap ada sesuatu yang mereka dapat (kerana ini kali pertama mereka mengikuti program seperti ini).

Kudrat saya tidak kuat lagi. Mungkin memerlukan rehat yang panjang untuk pulih.


5.

Huda dan Pak Longnya menjual biskut raya tahun ini.