Monday, March 25, 2013

Mungkin sudah sampai masanya untuk awak lepaskan saya pergi...


1.

Hari ini bangun dengan perasaan paling gemuruh. Bila bangun tak nampak apa-apa. Ambil masa setengah jam untuk pulihkan mata. Nampaknya mata semakin kritikal. Peristiwa yang paling di takuti akan berlaku. Mungkin akan jadi seperti Keumala...

Doktor kata sampai satu masa nanti bertutur pun tak mampu. Jadi kena bersedia dengan sebarang kemungkinan di luar jangkaan. Hanya dengar dalam renungan panjang. Enggan melayan perasaan.

Mungkin tak sempat melayan Adam bila dia pandai bercakap kelak.


2.

Terima kasih sayang atas semangat dan dorongan. Saya tak pandai berkongsi rasa. Saya lebih suka menangis sendiri-sendiri. Bukan untuk tunjukkan yang saya kuat tapi sememangnya saya tak mampu berkongsi rasa ini.

Rasa sedih lebih elok di simpan dalam hati.


3.

Bagaimana nanti bila saya tak mampu melihat dan bertutur? Bagaimana agaknya hidup kita nanti? Bagaimana agaknya anak-anak akan melihat saya nanti? Dengan perasaan kasih sayang atau simpati.

Saya penat menanti keajaiban. Saya perlu berpijak di bumi yang nyata. Berpijak di bumi yang saya enggan terima kenyataan.


4.

Saya tahu awak tak akan tinggalkan saya. Maaf, sekiranya hidup kita tak seperti yang awak  impikan. Yang tinggal cuma harapan yang tak bertepian.

Semuanya kelihatan mudah pada orang lain tetapi tidak pada kita.

Saya rasa saya tak kuat lagi untuk hadapi semua ini. Mungkin sudah sampai masanya untuk awak lepaskan saya pergi...