Saya di bazar teman anak-anak berniaga. Anak-anak saya jual kek cawan, puding, bubur kacang, bubur gandung. Huda dan Umar bercadang hendak kumpul duit untuk bantu orang Islam Rohingya dan rumah anak-anak yatim. Anak-anak saya tak mahu kutip derma/minta sumbangan dari mana-mana pihak. Mereka pilih berniaga. Modal pun saya tak keluarkan. Semua duit anak-anak.
Hasil jualan agak memberangsangkan. Cuma kalau hari hujan jualan sedikit menurun. Semalam tak berniaga sebab saya mahu anak-anak rehat. Tahun lepas mereka berniaga sampai demam (dan si cantik manis dah warning kalau nak berniaga jangan sampai anak-anak demam macam tahun lepas). Buat masa sekarang Huda masih membantu Umar tapi mungkin selepas ini Huda perlu beri sepenuh perhatian pada lukisan. Ada pertandingan yang dia mahu sertai.
Oleh sebab anak-anak saya bersekolah di rumah jadi jadualnya fleksibel. Sempena bulan mulia ini, saya tidak mengajar mereka pada waktu malam seperti selalunya. Aktiviti P&P berubah ke waktu pagi sesudah solat Subuh hingga jam 10. Kemudian mereka akan rehat hingga jam 2 petang. Selepas itu mereka kembali sibuk untuk persiapan menjual di bazar. Saya tetapkan mereka hanya boleh berniaga sehingga jam 6.45 petang. Kemudian balik ke rumah untuk berbuka dan bersiap untuk solat terawih.
Bulan mulia ini banyak bersedekah. Kita boleh sedekahkan buku, wang atau apa saja pada pihak yang memerlukan. Sebenarnya aktiviti ini wajar di lakukan sepanjang tahun dan tidak terhad di bulan Ramadhan. Bagi yang berminat untuk sumbangkan buku bolehkan berikan buku-buku tersebut kepada Dusun Buku atau Projek Pelita. Bagi yang berminat untuk sumbangkan telekung/wang/atau sertai apa saja kerja berbentuk kebajikan bolehlah hubungi The Telekung Project. Bagi yang mempunyai sedikit lebihan rezeki bolehlah menghulurkan wang kepada warga Rohingya. Moga-moga dengan sedikit sumbangan kita dapat meringankan beban insan lain.